Showing posts with label Journal. Show all posts
Showing posts with label Journal. Show all posts

Tukar Ubat Lagi...

Nampaknya dah terlalu lama blog ni dibiarkan sepi. Kemalasan, kesibukan dan perasaan kurang sihat semuanya jadi penyumbang kepada blog ni jadi lombong tinggal. Beberapa job yang datang untuk buat paid review pun terpaksa aku tolak sebab buat masa sekarang aku tengah fokus untuk memperbaiki kesihatan diri-sendiri dulu.

Bercakap tentang kesihatan, hari ni aku pergi temujanji susulan lagi dengan endocrinologist. Aku rasakan ubat yang diberikan belum cukup serasi atau kurang sesuai dengan badan aku sebab tekanan darah aku masih lagi tinggi. Kali pertama Dr Sakinah ambik bacaan lepas aku duduk depan dia, terus dia komen, "Cuti sekolah ni wad kosong kalau bacaan awak macam ni (182/102)." Aku gelak nervous je, mujur bacaan kedua dan ketiga turun sikit, cuma masih tinggi (150/95). Aku pun dah tak tau nak buat apa sebab aku dah turun 4kg, jaga makan dan berpuasa dan kerapkan pergi bersenam di gym dengan harapan bacaan tekanan darah aku makin menurun tapi masih lagi tak terkawal. 

Jadi hari ni dia bagi aku ubat lain pulak. Harapnya ubat yang baru ni lebih sesuai. Tak sangka nak kawal tekanan darah lebih susah dari kawal gula dalam darah. Alhamdulillah setakat ni bacaan gula dalam darah aku masih elok. Nak jaga tekanan darah tu je yang masih lagi fail. Rasa seriau mengenangkan risiko tekanan darah tinggi ni sebab baru-baru ni dalam group kawan-kawan uni aku ada kawan yang share tentang 2 orang kawan sekelas kiteorang yang dah meninggal dunia, salah seorangnya asbab strok. Umur awal 40-an. Jadi no choice, nak sihat memang kena ubah lifestyle

Aku doakan kawan-kawan yang lain sihat walafiat semuanya. Pesanan penaja buat adik-adik yang masih muda umur 20-an dan 30-an tu, start jaga makan dan kawal stress dari sekarang ye. Jaga kesihatan dari awal sebab bila dah sampai umur 40-an, akan mula nampak kesannya bila tak jaga makan dan tak kawal stress. 


Jenuh menunggu giliran setiap kali ada appointment dengan Dr Sakinah

Kisah Handphone Jatuh dan Sarapan Pagi di Breakfast Spot

My mom baru sampai dari Sarawak Sabtu lepas jadi pagi semalam kakak aku ajak keluar sarapan. Mula-mula kiteorang plan nak pergi ke Restoran Haslam di Jalan Pahang. Anak-anak tak nak ikut jadi aku dan Suami Terchenta decide naik motor sebab kat situ susah nak parking.

Perangai aku sejenis yang tak suka bawak handbag jadi handphone aku sumbat dalam poket je. Tak sedar bila jatuh tapi nampaknya jodoh aku dengan handphone tu panjang lagi sebab bila kiteorang dah dekat nak sampai, ada van ambulans kat belakang yang dok hon-hon kiteorang. Ingatkan sebab nak suruh bagi laluan tapi rupa-rupanya pemandu ambulans tu ternampak handphone aku jatuh dan dia tolong kutip dan kejar kiteorang untuk pulangkan handphone tu. Alhamdulillah, syukur sangat 💕.

Sampai di Restoran Haslam, penuh pulak. Jadi kiteorang pun tukar plan - kali ni ke Breakfast Spot sebab dah lama tak ke sana. 

Mula-mula ingatkan Breakfast Spot pun penuh tapi nasib baik dekat tingkat atas kosong jadi kiteorang duduk dekat tingkat atas. Yang best nya, takde orang lain yang duduk di tingkat atas. Sambil kiteorang tunggu pesanan makanan, ada persembahan live lagi. Betul-betul rasa chillax je sambil breakfast sambil layan persembahan lagu-lagu lama (mak la yang beriya-iya request lagu Beautiful Sunday, Yesterday oleh kumpulan Beatles, Suatu Masa dari M. Nasir dan Getaran Jiwa oleh P Ramlee).


Breakfast Spot KL
Layan persembahan live sambil bersarapan

Breakfast Spot KL
Hari Ahad yang chillax

Breakfast Spot KL
Sarapan aku - French omelette, salad, baked beans, smoked salmon, mushroom ragout dan sourdough toast

Breakfast Spot KL
Sarapan Suami Terchenta - seafood chowder

Lepas sarapan, Suami Terchenta hantar aku balik sebelum dia turun ofis sebab boss panggil masuk ofis hujung minggu tu. Hmm. Jadi pekerja IT macam tu la, weekend pun kadang-kadang kena bekerja.  Weekend korang pulak macamana?

Kenapa Jarang Update Blog dan Blogwalking

First time naik LRT kosong macam ni


Gambar takde kaitan sebenarnya haha. Aku just nak bagitau reason kenapa blog aku sekarang jarang update. Sekarang aku tengah fasa tukar ubat baru so tengah deal dengan efek ubat baru pulak. Minggu lepas doktor tukar lagi ubat darah tinggi untuk aku sebab masih lagi tak stabil. Mana taknya, 3 kali ambik bacaan, asyik berubah-ubah. Kejap tinggi, kejap elok. Last-last dia tanya, 

"You ada anxiety ke?" 

"Ye, doktor. Saya ada masalah anxiety."

Oleh sebab tu, dia bagi ubat jenis beta blocker yang katanya dia selalu prescribed untuk orang yang ada masalah anxiety dan darah tinggi. So far, efek ubat ni nampak serasi dan buat aku rasa chillax je sebab ubat ni memperlahankan denyut jantung.

Kadang-kadang aku chillax sangat sampai mengantuk haha. At the same time, otak aku chillax sampai nak buat satu ayat pun terkebil-kebil. Jadi nak buat satu entry tu memang ambik masa la. 

Anyway, sekarang badan dah slowly mula adapt dengan ubat baru ni. Insha Allah, aku cuba untuk update blog sekerap mungkin lepas ni.

Nota kaki: ICJ dah keluarkan perintah interim terhadap kes yang berlaku di negara bergolak. Keputusan yang mengecewakan kedua-dua pihak, terutama pihak yang tengah ditindas dan dibiarkan kebuluran tanpa pembelaan dari kuasa-kuasa besar. Hanya Allah yang Maha Adil dan Saksama, kepada Allah kita berserah dan memohon agar saudara-saudara kita mendapat keadilan yang sewajarnya. Ameen Ya Rabbal Alameen...

Ajar Anak-anak Naik LRT Sendiri

Ahad lepas, anak-anak ada playdate dengan kawan-kawan dieorang di Wangsa Walk. Pagi tu kiteorang hantar dieorang ke sana, tapi balik aku bagitau kena balik sendiri. Aku cuma mintak tolong kawan aku yang jugak ibu kepada salah seorang kawan anak-anak aku untuk hantar dieorang dekat stesen LRT terdekat (dia drop off anak-anak di stesen Setiawangsa). 

Kawan aku siap tanya, "Eh, betul ke you nak suruh dieorang balik sendiri? I boleh hantarkan dieorang balik." 

Tapi aku cakap, "Eh, takpe. I tengah latih dieorang macamana nak guna pengangkutan awam. Dieorang dah tau macamana nak pergi and balik dari sekolah naik MRT dan tukar ke LRT, sekarang I tengah expand their capability to take the LRT from a different route". 

Kawan aku ni gelak je la, katanya, you ni memang ex-HR betul la 🤭.

Sebelum keluar rumah aku dah bagi briefing kena tunggu dekat platform mana dan turun di stesen mana. Mula-mula nampak dieorang takut-takut je, tapi yang bagusnya dieorang berani mencuba. Jadi dengan lafaz bismillah, aku pun lepaskan dieorang keluar pagi tu dengan harapan takde la dapat call mintak ambik kat mana-mana sebab tersesat 😆.


Malaysia public transport
Gambar yang kawan aku ambik sebagai bukti dieorang dah selamat sampai ke stesen Setiawangsa 🤣

Cumanya - dah nama training, idok ler aku lepas 100% kan. Aku tunggu jugak dekat LRT Masjid Jamek untuk ambik dieorang kat situ sebab dari Masjid Jamek ke stesen Bandaraya nak kena naik bas perantara pulak. Yang ni belum masuk dalam training module lagi 😜. Hari tu jugak la baru aku ajar dieorang kat mana nak tunggu bas nak ke stesen Bandaraya pulak.

Dah sampai stesen Bandaraya, aku pura-pura bagi alasan nak makan jap dekat Sogo. Dua ketul budak yang dah kepenatan ni taknak ikut (macam yang aku dah agak), dieorang kata takpelah kiteorang balik dulu. Tau tak macamana nak balik? Aku tanya. Ye, naik je LRT sampai stesen terakhir. Good job, anak-anak.


Malaysia public transport
Meneruskan perjalanan ke stesen terakhir sebelum menapak balik ke rumah

Alhamdulillah, dah boleh hidup dekat KL ni naik pengangkutan awam 😄. 


Doa keluar rumah

بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

Bismillahi tawakkaltu ‘alallah, laa haula wa laa quwwata illaa billaah

Maksud : Dengan nama Allah (aku keluar). Aku bertawakal (berserah diri) kepada Allah, tiada daya upaya melainkan dengan izin Allah.

Jangan lupa jugak untuk baca doa perlindungan untuk anak-anak setiap kali mereka melangkah keluar ke sekolah atau ke mana-mana.


Lepas ni mommy dah tak payah teman walk-walk (jalan-jalan) sebab korang dah pandai walk-walk sendiri. Asal jangan jadi kaki rayau sudah ye.

Selamat Tahun Baru 2024

Salam korang semua,

Selamat Tahun Baru 2024 buat kawan-kawan semua. Semoga tahun ni membawa berkah, kejayaan dan kebahagiaan buat kita semua terutama kepada rakyat di P*lestin yang masih lagi menghadapi keganasan tentera Z*onis di sana. 

Tahun ni memang tak terasa sangat nak menyambut tahun baru. Tahun lepas sebelum masuk tahun baru lagi dah siapkan matlamat tahun 2023 untuk aku tampal dekat depan meja. Tapi tahun ni - illek. Belum ada rasa nak buat azam tahun baru walaupun dah masuk 2 Januari hari ni.

Salah satu sebabnya ialah sejak keluar hospital hari tu, badan aku kurang serasi dengan ubat darah tinggi yang baru dibekalkan oleh Dr Sakinah. Akibatnya tekanan darah aku mencanak-canak naik sampai cecah 190+/100+! Jadi aku terpaksa baring je supaya tekanan darah aku tak tinggi sangat. Pagi tadi ada appointment dengan Dr Marlik, bila dia check tekanan darah aku 172/109, terus dia suruh aku jumpa balik Dr Sakinah untuk review balik ubat. So Dr Sakinah suruh aku combine ubat darah tinggi yang baru tu dengan ubat darah tinggi yang lama  - satu ambik pagi dan satu lagi ambik waktu petang/malam supaya efek ubat tu berterusan je. Harap-harap lepas ni tekanan darah tinggi aku lebih terkawal huhu.

Bila dah baring je memang takde mood la nak update blog sebab susah nak edit gambar dan update blog guna h/p. Sebab tu blog ni pun terpaksa la letak tepi dulu.

Lepas tu petang tadi Suami Terchenta balik dari ofis mengadu sakit tekak. Dia dah suspek dia kena Covid masa kat ofis lagi jadi sebelum balik rumah dia singgah farmasi beli test kit Covid yang baru. Bila dia check, sah kena Covid! Allahu. Aku suspek dia jangkit dekat ofis sebab kiteorang tak keluar mana-mana pun cuti panjang ni dan tempoh inkubasi virus Covid ni pun biasanya hari ke-4 atau ke-5 baru keluar simptom-simptom Covid. Alhamdulillah test Covid aku negatif. Semoga tak berjangkit la dekat aku dan Khadeeja sebab Khayla baru je baik dari Covid so Insha Allah dah ada imuniti dalam tempoh terdekat ni.

Itu la je la update aku untuk tahun 2024 setakat ni. Apapun kita hadaplah semuanya dengan senyuman dan rasa syukur kepada Allah. Apapun yang Allah bagi semuanya ada hikmah dan untuk kesedaran diri. Macam aku ni la - tiap-tiap tahun kata nak diet kan, sekali dah kena penyakit darah tinggi ni terus doktor bagi aku matlamat tahun baru tahun ni - kena hilangkan 20kg berat badan! 😵 Mampu berhuhu je la dalam hati bila Dr Marlik kata next appointment dia nak tengok berat aku turun lagi. Jadi hmm.. itu la kot matlamat utama aku tahun ni - kena turun 20kg untuk sihat!

Nota kaki: Seminggu lepas prosedur D&C, berat dah turun dari 3kg. It's a good start 🤭


Sumber imej: Pinterest

Pengalaman Admitted di KPJ Ampang Puteri

Rupa-rupanya dah nak masuk seminggu discaj dari KPJ Ampang Puteri. Perancangan awal nak ke Hospital KPJ Tawakkal sebab nak ambik dekat dengan rumah tapi sebab doktor kat situ semua nak bercuti last-last pergi ke KPJ Ampang Puteri. Walaupun jauh sikit dari rumah tapi lebih puas hati dengan kemudahan dan layanan doktor pakar kat situ.

Alhamdulillah insurans company Suami Terchenta cover untuk duduk bilik single standard kat sini dengan kadar RM250 semalam (corporate rate). Malam pertama, kiteorang duduk dekat wad di tingkat 5. Kalau tak silap aku nama wad ni, Magnolia Ward. Bilik ni agak besar dengan sofa 3-seater. Selesa sikit la Suami Terchenta tidur dekat sofa.


Magnolia Ward
Magnolia Ward

Magnolia Ward
Bilik air Magnolia Ward siap ada rain shower

Hari kedua dan ketiga, kiteorang kena pindah pulak ke wad maternity di tingkat 3. Bilik wad maternity ni bagi aku kecik sikit berbanding dengan wad di tingkat 5. Dekat sini pun ada disediakan sofa untuk orang yang temankan pesakit tidur, tapi sofanya 2-seater je jadi masa ni kesian Suami Terchenta kena tidur mengerekot. Bilik kat wad maternity pun lebih sejuk walaupun kiteorang dah naikkan suhu bilik jadi kalau kena admit kat sini  baik bawak sweater.


Maternity ward
Wad maternity

Maternity ward
Bilik air di wad maternity

Sebelum admitted, aku diberi personal hygiene kit - dalamnya ada berus gigi, ubat gigi, sikat rambut, syampu, gel badan, tuala mandi, tuala muka dan shower cap. Kit ni hospital bagi masa dekat admission counter.


Patient kit
Personal hygiene kit untuk pesakit yang kena admit dalam wad

Sepanjang duduk di KPJ Ampang Puteri ni, makanan dalam wad memang sedap-sedap semuanya. 


Makanan hospital
Makaroni goreng dengan dada ayam panggang dan sayur

Makanan hospital
Ayam masak kicap, sayur campur, sup kosong, jus dan low fat yogurt

Makanan hospital
Ikan masak kicap, sayur bok choy tumis, sup kosong, puding dan jus

Makanan hospital
Nasi lemak

Makanan hospital
Ayam masak merah, sayur sawi tumis, buah oren, sup cendawan

Walaupun makan sedap-sedap macam ni, tapi gula dalam darah aku terkawal sepanjang duduk di hospital. Mesti makanan kat sini dah diluluskan oleh dietitian dekat sini.

Satu perkara je yang aku tak expect - sebelum masuk wad aku ingatkan sepanjang dalam wad kena pakai baju hospital sebab pengalaman duduk kat kat HKL dan PCMC memang diberi pakaian dalam wad. Jadi masa aku pack baju nak admit malam Jumaat tu, aku bawak baju untuk discaj je. Sampai hospital baru tau sepanjang dalam wad pakai baju sendiri. Terpaksa la Suami Terchenta balik ke rumah ambik baju ekstra untuk sepanjang dalam wad.

Lain-lain, macam tuala wanita pun kena bawak sendiri. Hospital cuma sediakan disposable panty masa nak masuk OT je. Tapi ni benda kecik je la, kalau tak bawak boleh je beli kat kedai serbaneka dekat bawah. 

Bagi aku puas hati la duduk di KPJ Ampang Puteri ni. Caj hospital pun bagi aku reasonable for a specialist private hospital.

Keguguran Kali Ketiga dan Buat D&C

Mula-mula sekali aku nak ucapkan - alhamdulillah alla kulli hal. Segala yang berlaku pasti ada hikmahnya, dan Allah lah sebaik-baik Perancang.

Khamis lepas, kiteorang dapat tau yang aku keguguran kali ketiga. Aku nak catatkan di sini buat kenangan sebab begitulah setiap kali aku mengandung, akan ada cerita yang perlu disimpan sebagai kenangan berharga.


malaysian hospital
View bilik hospital 

Sebenarnya sebelum ke Istanbul lagi aku dah rasa semacam je. Balik dari Istanbul aku pun buat pregnancy test - positif! Tapi kali ni aku dengan Suami Terchenta tak nak excited sangat, sebab aku kan ada sejarah keguguran tahun lepas. Ikutkan kiraan, patutnya minggu ni dah 10 minggu.


21 Disember 2023 (Khamis)

Kiteorang buat appointment di KPJ Tawakkal untuk ultrasound scan, confirmed memang kali ni pun kosong, cuma ada kantung je.

Bila dapat tau je, aku terus request nak buat prosedur D&C. Tapi doktor pakar ob&gyn yang aku jumpa dekat KPJ Tawakkal tu tak nak ambik kes aku dengan alasan dia dah nak pergi bercuti sampai hujung tahun. Mungkin jugak sebab aku ada masalah darah tinggi dan diabetes. So dia suggest aku tunggu spontaneous miscarriage atau cari doktor lain. Tapi bila aku tanya doktor mana yang dia nak rekemen dekat hospital tu jugak, dia macam mengelak pulak - alasannya, doktor perempuan nak pergi bercuti semuanya, doktor lelaki pulak selalu takde kat klinik. Eh, macam tu ye. Kecewa sikit dengan jawapan doktor ni seolah-olah nak lepas tangan dan tolak kes ke hospital lain. Macam tak berbaloi je bayar RM250 semata-mata nak dengar jawapan 'carilah doktor lain di hospital lain'.

Aku taknak tunggu spontaneous miscarriage sebab pengalaman tahun lepas bila tunggu keluar bleeding, tiba-tiba aku kena Covid dan prosedur D&C terpaksa ditangguhkan. Bila dah lama sangat bleeding dalam wad, tiba-tiba kena jangkitan kuman dalam darah (sepsis). Masa aku dapat jangkitan kuman dalam darah tu, tekanan darah aku naik tinggi mendadak, kalau tak silap aku sampai cecah 190/108 paling! Tu dah level strok sebenarnya. 

Jadi aku lebih prefer buat prosedur D&C, kalau apa-apa berlaku masa tengah prosedur at least ada doktor yang monitor. Risau jugak sekarang kan tengah musim Covid, jadi kalau tunggu spontaneous miscarriage tiba-tiba kena Covid lagi memang takde la hospital nak admit kecuali HKL kot, dan aku jujurnya dah trauma nak ke sana huhu.

Lepas jumpa ob&gyn yang pertama tu, kiteorang pun call mana-mana hospital untuk cari doktor lain yang available. Suami Terchenta call Pusrawi, aku call KPJ Ampang Puteri. Alhamdulillah, jumpa pakar ob&gyn yang ada slot kosong hari tu jugak - Dr Marlik Abu. Klinik kata boleh terus datang pagi tu, jadi tanpa berlengah-lengah, kiteorang pun pergi ke KPJ Ampang Puteri.

My first impression bila jumpa Dr Marlik - Masha Allah, Allah dah aturkan sebaik-baiknya sebab Dr Marlik ni sangat la knowledgable! Dia tanya soalan yang sangat-sangat detailed sampai sejarah sebelum kahwin dan sejarah perubatan mak dan bapak aku pun dia siasat. Lepas tu bukan je dia consult pasal hal-hal melibatkan sakit puan dan sejarah mengandung, in fact consultation dia menyeluruh sampai la ke penyakit diabetes dan darah tinggi yang aku hidapi sekarang ni. Dia siap rekemen ubat apa yang sepatutnya aku ambik untuk penyakit diabetes dan darah tinggi. Sampai aku pun confuse - aku ni jumpa pakar ob&gyn ke atau pakar endokrinologi? 😅 

Agak lama jugak dia bagi penerangan tentang masalah kesihatan aku, lepas tu barulah dia buat ultrasound scan. Cara dia scan pun agak berhati-hati dan terperinci. Lepas scan, dia terangkan dekat kiteorang berdasarkan volume dalam kantung tu, dia buat kesimpulan "the fetus stopped developing because there was extra chromosome". Kalau la Allah izinkan jugak pregnancy tu menjadi, kemungkinan besar anak kiteorang ni akan menghidap Down Syndrome. 

Jujur aku cakap setakat 3 kali aku keguguran, belum pernah ada doktor yang betul-betul explain kenapa pregnancy aku berakhir dengan keguguran. Selalunya alasan yang aku terima - denyut jantung tiba-tba berhenti dan blighted ovum (telur rosak). Tapi kali ni Dr Marlik bagi alasan yang terperinci - baby terlebih kromosom jadi pertumbuhan pun terbantut.

Sebelum buat prosedur D&C, dia explain tekanan darah aku perlu stabil dulu. Jadi dia refer aku ke doktor pakar endokrinologi, Dr Sharifah Sakinah. Dr Sakinah ni pun aku suka jugak - stail dia keibuan, dan dia sangat positif orangnya. Atas nasihat Dr Sakinah, aku kena admit wad malam tu jugak supaya dia boleh monitor tekanan darah aku sebelum dia decide sama ada aku dah selamat untuk buat prosedur D&C.


22 Disember 2023 (Jumaat)

Tekanan darah masih belum berapa stabil. Tengahari tu masa nurse datang check suhu badan, aku demam sikit (37.7℃). Alamak, risau pulak takut jangkit dengan Khayla 😰. Tapi aku tak rasa demam pun. Dr Sakinah tukarkan dos ubat. Lepas tu lab report keluar - rupa-rupanya ada jangkitan kuman sikit. Mungkin sebab tu badan panas. Dr Sakinah bagi antibiotik pulak. Malam tu suhu badan aku normal balik. Tak jadi panik. Dr Sakinah bagi green light boleh proceed buat prosedur esoknya, alhamdulillah.

Malam tu jugak, pakar bius datang sekejap tanya aku ada alergik ubat bius ke tak. Setau aku memang takde. Lepas tu aku dan Suami Terchenta kena sign borang pelepasan untuk prosedur bius.

Oh ya, sepanjang aku kena admit, kakak aku tolong jaga anak-anak kat rumah sebab Khayla masih lagi kena kuarantin. Kalau tak memang kakak suruh angkut je dieorang ke rumah dia. Suami Terchenta la temankan aku kat hospital sebab dia kena berurusan dengan bahagian insurans/pembayaran dan ada borang-borang kebenaran yang perlukan tandatangan suami jugak.


23 Disember 2023 (Sabtu)

Pagi tu hospital hantar sarapan pagi awal sikit sebab kena start puasa dari pukul 7 pagi. Minum air pun tak boleh. Sepatutnya pukul 10 pagi Dr Marlik datang masukkan ubat induce untuk cepatkan bukaan pintu rahim dan ubat tahan sakit - tapi dia datang pukul 9 pulak. Kelam-kabut Suami Terchenta kena balik dari sarapan di luar (kafe hospital tak bukak pulak hari Sabtu) sebab Dr Marlik takkan masukkan ubat tanpa kehadiran suami sekali. Lepas masukkan ubat, aku kena tahan kencing selama sejam. Dah la bilik wad sejukkkkk. Lepas sejam je terus aku pegi toilet. Legaaaa haha.

Start pukul 10.30 dah rasa sakit contraction tapi sangat-sangat mild macam kena period cramp je. Tak macam masa kat HKL dulu - sakit tak boleh bawak bincang. Bila mintak painkiller nurse tak nak bagi sebab dah bagi panadol katanya. Panadol untuk demam, manalah dapat tahan sakit contraction huhu. Bila doktor datang check petang tu nampak aku dah kesakitan teramat sangat baru nak bagi injection painkiller. Fuhhh... ngeri betul bila diingatkan balik sebab takut sangat tekanan darah aku masa tu naik mencanak-canak sampai kena strok. Syukur sangat kali ni aku ada rezeki boleh pilih untuk buat D&C.

Pukul 12.30 tengahari, nurse tolak katil ke bilik OT. Sepanjang perjalanan tu, aku beristighfar banyak-banyak dan mengucap beberapa kali sebab dah lama tak masuk bilik OT sejak melahirkan Khadeeja. Seriau beb! Sampai sana, nurse mintak pengesahan tandatangan aku, lepas tu barulah Dr. Arul (pakar bius) datang untuk cucuk branula (jarum untuk masukkan ubat bius) kat belakang tapak tangan kiri aku. Masa ni aku siap mintak doktor buat sekali je tau, haha. Adoi. Trauma dari pengalaman di HKL tu tak habis-habis lagi sebab kena cucuk banyak kali dua-dua belah tapak tangan pulak tu. 2 minggu tangan aku bengkak tau.

Tapi itulah bezanya doktor pelatih dengan doktor pakar. Doktor pakar cucuk sekali je dah terus jumpa saluran darah walaupun tak berapa nampak sangat kat mata kasar. Dah la dia buat tak sakit tau, pedih sikit je la macam ambik darah biasa. Bukanlah aku nak perlekehkan skill doktor pelatih, sebab doktor pakar ni pun bermula dari seorang doktor pelatih yang buat silap jugak. Cuma aku tak sanggup tadah tangan aku ni berkali-kali untuk jadi latihan amali huhu.

Lepas masukkan branula, aku pun ditolak masuk ke wad OT. Dekat situ, nurse pun bagitau aku - ok kak, baca selawat, baca bismillah kita nak masukkan ubat bius sekarang. Time ni memang aku tak berhenti-henti mengucap lagi-lagi time masukkan ubat bius tu agak sakit jugak, terasa pedih bila ubat tu masuk dalam saluran darah. Itu la benda terakhir yang aku ingat. Tau-tau aku dah sedar lepas prosedur. Perasaan bangun lepas kena bius tu macam baru bangun dari tidur yang sangat lena. Sayup-sayup aku dengar nurse panggil nama aku, bila aku bukak mata dia bagitau - ok kak, dah selamat semuanya. Alhamdulillah.

Bila nampak aku dah sedar, tekanan darah pun stabil, barulah dieorang tolak aku masuk balik ke wad maternity. Sepanjang hari tu aku tidur je la sebab rasa lemah sikit lepas prosedur. Biasalah bila buat surgery macam ni, banyak la darah yang hilang jadi badan rasa lemah. Tapi rasa sakit contraction tu dah hilang, syukur Alhamdulillah.


24 Disember 2023 (Ahad)

Alhamdulillah, kiteorang dibenarkan balik. Terima kasih banyak-banyak kepada Dr Marlik, Dr Sakinah, Dr Arul dan semua nurse yang menjaga aku masa dekat wad. Lepas ni aku akan teruskan berjumpa dengan Dr Sakinah untuk rawatan penyakit kencing manis dan darah tinggi. Silap aku sebelum ni tak jumpa dengan doktor pakar tapi cuma dapatkan ubat dari klinik biasa. Rupa-rupanya ubat yang aku ambik dari klinik selama ni kurang sesuai dengan badan aku. Jadi sebaik-baiknya berjumpa dengan doktor pakar untuk khidmat nasihat pakar yang lebih khusus.


Dr Marlik
Dengan Dr. Marlik. Tapi dia dah nak bersara tahun depan huhu...

Alhamdulillah, ramai kawan yang bertanya khabar bila tau aku keguguran lagi. Tahun lepas aku sebenarnya sangat sedih bila dapat tau kandungan tak menjadi walaupun pada zahirnya aku ucapkan alhamdulillah. Tapi tahun ni mindset aku berbeza sikit - thanks to Palestinians! Aku banyak belajar dari sikap bersyukur rakyat Palestin yang kehilangan anak-anak dalam serangan Israel - dieorang tak berhenti-henti ucapkan syukur kepada Allah dan redha anak-anak mereka gugur sebagai syahid. 

Aku bersyukur diberi pengalaman mengandung sebanyak 5 kali walaupun 2 kali je kandungan aku selamat dilahirkan. Sebab orang macam aku yang ada PCOS ni sebenarnya sangat-sangat susah dapat peluang mengandung! Aku ni dikira bertuah sebab Allah pilih untuk diberi rezeki anak dalam keadaan aku ada PCOS. Aku percaya apa yang Allah tarik balik, Dia akan gantikan dengan yang lebih baik lagi Insha Allah 🥰.

Wordy Wednesday : Negara Kucing 🇹🇷

Kucing-kucing Istanbul


Salah satu sebab kiteorang memilih ke Istanbul ialah dekat sana ada banyak kucing dan rakyatnya terkenal sebagai pencinta kucing ❤️. Anak-anak especially suka sangat main dengan kucing di Istanbul. Setiap kali keluar mesti nak belai dan main dengan kucing tepi jalan. Bila sampai sini, memang betullah dieorang ni sayang sangat dengan kucing sebab kat mana-mana kiteorang pergi - stesen subway / tram, luar muzium, luar kedai, bawah pokok, masjid etc. memang disediakan makanan untuk kucing. Dekat taman awam pulak, kiteorang nampak kotak yang diubahsuai menjadi rumah kucing siap ada kain buruk untuk dieorang berlindung dari cuaca sejuk masa musim sejuk.

Tapi yang ajaibnya dekat sana jalan raya dan tempat pejalan kaki, stesen subway dan mana-mana kiteorang pergi tempatnya bersih dan tak kelihatan pun najis haiwan merata-rata. Berbeza dengan pengalaman aku pergi ke Paris berbelas tahun dulu, kena tekun tengok di mana bumi berpijak sebab takut terpijak najis anjing 😅. Even atas rumput pun tak nampak ye kucing membuang sesuka hati. Sampai aku tanya dekat Suami Terchenta, kat mana kucing-kucing ni membuang? Sampai sekarang tak jumpa lagi jawapan. 

Yang best nya kucing-kucing liar kat sana tak kisah pun kalau kena belai / letak kat pangku. Agaknya kucing sana lagi suka sebab rasa panas dan selesa kena peluk dan duduk atas jaket tebal. Terbalik pulak dengan kucing kat rumah ni - asal kena dukung / letak kat pangku je dah menggelupur macam cacing kepanasan! Dasar tak tau diuntung 😤. Kena hantar training dengan kucing kat Istanbul agaknya baru tau cara-cara menjadi kucing 😆.

Khayla Kena Covid

Semalam Khayla bangun tidur terus mengadu badannya panas. Dia pun check suhu badan guna termometer kat rumah ni. Tinggi, 39℃. Terus aku suruh dia buat ujian kendiri Covid. Ada 2 jenis dalam kotak Covid kit di rumah ni, jenis lollipop dengan jenis swab hidung. Dia buat yang jenis lollipop letak bawah lidah tu. Hasilnya negatif.

Tapi aku macam tak berapa sedap hati, so aku suruh dia duduk dalam bilik je. Ubat, makanan semua aku hantar masuk bilik. Lepas ambik panadol, suhu badannya turun sikit tapi 3-4 jam lepas tu naik balik. Then dia mengadu sakit tekak pulak dan start batuk-batuk. Aku bagi Strepsil lepas tu dia pun tidur sepanjang hari. Kebetulan minggu ni dia memang tak boleh solat jadi aku biarkan dia tidur je.

Malam tu suhu badan dia naik balik. Aku cakap kat dia kena repeat test Covid sebab simptom-simptom dah ada. Kali ni swab hidung pulak. Terbersin-bersin dia masa aku swab hidung dia. Dan akhirnya, memang betul sangkaan aku yang dia kena Covid huhu...


Covid test
Positif Covid akhirnya...

Result mula-mula pagi tu nampak macam negatif (guna air liur)

Terus Suami Terchenta angkut penapis udara masuk dalam bilik Khayla. Aku suruh Khayla pakai pelitup muka setiap masa kecuali masa makan dan tidur. Tingkap bilik pun kena bukak luas-luas dan pasang kipas untuk bagi udara bergerak keluar. Aku syak Khayla dapat jangkitan di sekolah sebab biasanya incubation period 3-5 hari sebelum timbul simptom. 

Alhamdulillah hari kedua ni nampak suhu badan dah turun ke 36℃. Sakit tekak tu masih ada tapi dah kurang. Ada baki 3 hari lagi untuk dia habiskan kuarantin dalam bilik. Harap-harap hari ke-5 keputusan dah negatif, Ameen YRA. Semoga kiteorang yang lain ni tak dijangkiti oleh Covid jugak huhu.

Pagi ni aku mop satu rumah guna Dettol. Lepas habis kuarantin nanti memang kena bersihkan pulak cadar, lantai dan semua permukaan dalam bilik Khayla pulak. Macamana la tiba-tiba virus Covid ni naik mencanak-canak. Semoga kita semua terlindung dari virus Covid ni. Take care ye korang!

KLAF 2023

Semalam pagi-pagi lagi kiteorang menghantar Khadeeja ke Pusat Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) di Bangsar sebab Khadeeja terpilih mewakili sekolah dalam pertandingan 'Joy of Creating and Building'.


KLAF 2023
Bangunan PAM yang memaparkan konsep lestari / low-energy consumption

KLAF 2023
Maklumat pertandingan

Sebanyak 9 buah sekolah telah layak ke peringkat akhir bagi kategori sekolah rendah tahun ni, termasuklah sekolah Khadeeja. Bulan lepas, Khadeeja dan kawan-kawannya kena siapkan projek merekabentuk bangunan yang berkonsepkan kelestarian (sustainability) dan kena present depan wakil PAM. Minggu ni tiba-tiba cikgu Khadeeja mesej bagitau kumpulan dieorang terpilih dan dieorang kena present sekali lagi depan juri pertandingan pulak. Memang tak sempat la nak rehearse speech, hentam saja la labu...

Alhamdulillah, dieorang dapat present dengan baik pagi tu kata cikgu. Ada sekolah yang siap mintak nak present sekali lagi agaknya kali pertama tu dieorang gugup dan tak berapa bersedia jadi tu yang mintak peluang kedua. Tapi juri kata tak adil la buat sekolah lain.


KLAF 2023
Kiri & tengah: bangunan yang direkabentuk oleh Khadeeja dan kawan-kawan; Kanan (atas dan bawah): Antara kreativiti yang ditonjolkan oleh kategori sekolah rendah menggunakan bahan-bahan terpakai

Sementara tunggu pemarkahan dari juri, dieorang join jugak mini-contest iaitu pertandingan merekabentuk jambatan. Kalau tak silap, hasil dinilai dari segi kestabilan jambatan, nilai estetik dan penggunaan bahan yang disediakan.


KLAF 2023
Khadeeja dan kawan-kawan sibuk merekabentuk jambatan

KLAF 2023
Antara hasil kerja peserta kumpulan

Alhamdulillah, Khadeeja dan kawan-kawan berjaya merangkul tempat ketiga bagi pertandingan merekabentuk bangunan! Kalau tengok sekolah lain, bukan main ramai pelajar dalam satu kumpulan tapi kumpulan Khadeeja ada 3 orang je. Jadi memang bangga la sebab walaupun hantar 3 orang wakil tapi masih tetap dapat tempat 3 teratas 😊.


KLAF 2023
Tempat ketiga rekabentuk bangunan lestari kategori sekolah rendah

Khadeeja dengan 'piala' yang dimenangi

Seterusnya untuk pertandingan rekabentuk jambatan yang disiapkan dalam tempoh satu jam, Khadeeja dan kawan-kawan berjaya merangkul naib johan! Alhamdulillah, satu kemenangan yang tak terduga sebab bila tengok design jambatan dieorang sempoi je (tapi kukuh dan praktikal) 😄.


Naib johan pertandingan merekabentuk jambatan

As parents, kiteorang tumpang gembira dan bangga dengan pencapaian anak-anak sebab ni kali pertama dieorang join pertandingan rekabentuk senibina ni, dengan takde basic design nya hihi. Tapi dieorang berjaya buatkan juri kagum dengan susun atur bangunan dan bangunan dieorang ni multi-purpose selain menekankan konsep lestari (dengan penggunaan kincir angin, panel solar dan rain catchment dalam merekabentuk bangunan). Cuma mungkin sebab dari segi praktikal tu yang lemah sikit sebab tu tak berjaya dapat tempat pertama atau kedua 🤭 .

Apapun tahniah buat anak-anak semua, terutama Khadeeja yang tak habis jetlagged lagi dah kena present rekabentuk bangunan hihi. 

Tahniah anak-anak KLC!

Kenangan Kad Kahwin

Bulan ni Insha Allah kiteorang sambut ulangtahun perkahwinan yang ke-17. Rasa macam lama bebenor kiteorang ni kahwin rupa-rupanya bila congak balik baru 17 tahun 😂. Bila kenangkan balik, time-time macam ni 17 tahun lepas aku tengah sibuk agihkan kad kahwin dengan kawan-kawan. Terus teringat pulak pengalaman buat kad kahwin sendiri sebab takde bajet nak tempah hehe.

Masa tu nak tempah kad kahwin bukan murah dan kena tempah ikut MOQ (minimum order quantity). Banyak tempat yang kiteorang survey masa tu letak kuantiti minimum 250 keping. Bayangkan harga paling murah RM2.50 x 250 = RM625 🤑. Tu harga 17 tahun yang lepas la. 

Aku pun baru 2 tahun bekerja, faham-faham je la duit simpanan tak banyak mana. Simpanan yang  kiteorang buat tiap-tiap bulan cuma untuk bayar deposit rumah sewa dan beli barang keperluan rumah lepas kahwin. Belanja majlis perkahwinan kiteorang Encik Tunang (Suami Terchenta) yang usahakan buat freelance projek sistem perisian untuk company kecik. Jadi bajet majlis kahwin memang sangat-sangat terhad. 

Tapi kebetulan masa tu aku bekerja bahagian Corporate Comm lepas tu kerja pulak dengan CEO yang semua benda kena jimat buat in-house. Sampaikan aku kena belajar sendiri guna Adobe Photoshop dan jadi graphic designer terjun dalam company 😆.Menggunakan skill yang tak seberapa tu, aku decide untuk design kad kahwin sendiri. 

Lepas tu, Suami Terchenta print atas kertas metallic yang lawa guna printer sendiri. Hujung minggu pulak kiteorang lepak kat mana-mana bawak gunting, sampul surat dan alatulis. Seorang menggunting kad kahwin (buat saiz separuh kertas A4 sebab nak jimat) dan seorang lagi tulis alamat masukkan dalam sampul surat. Nak jimat punya pasal kan. Anggaran kos kad kahwin kiteorang ialah RM50 semuanya. Berbaloi usaha  kiteorang DIY kad kahwin sendiri ahaks!

Lepas majlis kahwin, kiteorang terus lupa pasal kad kahwin tu. Ingatkan semua kad yang kiteorang agihkan tu dah selamat dalam tong sampah. Tapi tak sangka rupa-rupanya kawan baik aku masih simpan kad kiteorang ni sampai sekarang!

Baru-baru ni dia mengemas stor dan terjumpa balik kad kahwin DIY kiteorang ni. Siap ambik gambar kad hantar kat aku nak tunjuk kad tu dalam keadaan elok lagi haha! 


wedding invite DIY
Kad kahwin DIY kami
 

Korang masih simpan lagi ke kad jemputan kahwin korang? Apa pengalaman manis korang tentang kad kahwin sendiri? Cuba kongsi kat komen.

Wordy Wednesday - Cubit Peha Kiri, Peha Kanan Pun Terasa

Sumber: Anonymous


Mereka mati dalam peperangan, kita yang mati dalam keadaan dijajah (kewangan, kedaulatan dan keberanian).
Mereka mengalirkan darah, kita yang yang berdarah di hati.
Mereka dicederakan sampai syahid, kita yang menderita (atas penderitaan mereka).
Mereka disakiti, kita yang tersakiti.

Keadilan itu akan datang, bukan di mahkamah dunia tapi di mahkamah Allah. Di manakah kita nanti?

Kursus Umrah Percuma dan Makan Tengahari di Medan Selera Taman Sri Gombak

Minggu lepas Puan Hazel (PH) share dekat Whatsapp ada kursus umrah percuma diadakan di Surau Al-Kahfi berdekatan dengan rumah PH. Since Sri Gombak tak la jauh sangat dari Sentul, aku dan Suami Terchenta pun decide nak join kursus ni.

Ingatkan kiteorang dah lambat, tak sempat nak sarapan kat rumah. Bila dah sampai di surau, rupa-rupanya kursus dilambatkan sejam sebab ada kelas tafsir pagi tu. Sempatlah kiteorang pergi mencari sarapan di kedai mamak berhampiran. 


roti canai
Sarapan pagi roti canai sekeping seorang, alhamdulillah.

Tepat pukul 10 pagi, kiteorang pun daftar nama kiteorang untuk kursus ni. 


Kursus Umrah Percuma
Kaunter daftar kursus


Lepas daftar nama, aku dan Suami Terchenta pun masuk dan duduk dalam surau yang sangat selesa dan sejuk sebab ada aircond. Tiba-tiba datang PH menyapa aku. Terkejut jugak sebab ingatkan PH dah pergi minggu sebelumnya dan tak datang minggu tu hehe. Seronok pulak dapat berjumpa walaupun sepanjang kursus tu tak banyak bercakap sebab kiteorang khusyuk fokus dengan apa yang ustaz sampaikan.


Kursus Umrah Percuma
Bagus penerangan ustaz ni siap buat demo tawaf, saie dan kongsi tips memakai ihram untuk lelaki

Alhamdulillah, banyak ilmu baru yang dikutip dari perkongsian ustaz dalam kursus ni. Tambahan lagi kiteorang ni belum pernah lagi menunaikan ibadah umrah dan haji. 

Selesai kursus, sempat la bergambar sekejap dengan PH. Tak dapat nak sembang lama-lama sebab PH ada urusan lepas tu. Terima kasih PH sebab bagitau pasal kursus percuma ni 🥰.


Puan Hazel
Dengan Puan Hazel

Sebelum balik, Suami Terchenta ajak singgah dulu di Medan Selera Taman Sri Gombak. Dah lama betul kiteorang tak singgah di sini sejak berpindah dari Sri Gombak.


Medan Selera Taman Sri Gombak
Rambang mata tengok lauk-pauk kat sini

Niat nak ambik gambar lauk-lauk yang ada kat sini terpaksa dibatalkan sebab waktu ni ramai sangat orang tengah bersesak-sesak nak ambik lauk. Kiteorang berdua ambik ikan keli bakar, ulam-ulaman dan untuk sayur pulak aku pilih kerabu mangga dan sayur pucuk ubi dan pucuk paku masak lemak. Haha. Tamak sungguh kan. Suami Terchenta pulak ambik sayur campur dan kerabu mangga. Bila nampak ikan masin, dia nak jugak ikan masin. Ambik banyak pulak tu, tak habis makan sebab aku tak boleh makan banyak sangat sejak ada darah tinggi ni.


Medan Selera Taman Sri Gombak
Makan tengahari yang menyelerakan

Alhamdulillah, berselera kiteorang makan tengahari di sini. Memang tak pernah mengecewakan. Sebelum balik, tapau pulak makanan untuk anak-anak. Aku ambik satu pek durian crepe ada 4 keping untuk dessert. Sekali dah sampai rumah, sedap la pulak rugi tak beli 2 pek huhu.


Wordy Wednesday - Sabar

Quran quote
Sumber imej: Pinterest

Sekarang dah masuk hari ke-25 sejak peristiwa di bumi Anbiya bermula. Ramai dah saudara kita di sana telah dijemput menjadi penghuni syurga, Alhamdulillah. Tapi pada masa yang sama, ramai lagi yang masih menjadi mangsa keganasan dan berjuang untuk terus hidup.  

Jujur cakap - mood blogging aku lately jatuh teruk mengenangkan dieorang yang masih terus terus-menerus dibedil, ditindas dan dinafikan hak kemanusiaan di sana. As someone yang ada anxiety, it hurts to see their sufferings. Aku struggle untuk ingatkan diri-sendiri yang semuanya dalam perancangan Allah bila tengok anak-anak kecik terkujur tak bernyawa. 

Cuma dengan menghayati Al-Quran, hati jadi tenang dan keyakinan menjadi teguh. 

First, comes the trial. Second, comes the patience. And finally, with your perseverance and faith the hardship will end.

Sekarang ni, kita masih dalam fasa bersabar dengan ujian yang Allah turunkan. Kena sentiasa remind myself - Jangan cepat melatah, Carneyz! Teruskan berdoa, teruskan bangun malam, teruskan mengingati dieorang dalam setiap amal jariah sebab dengan amalan dan doa yang berterusan (perseverance) dan keyakinan dengan ketentuan Allah (faith), kesulitan ni akan berlalu. Berpegang teguhlah pada janji Allah, bahawa ganjaran dan kemenangan yang besar menanti orang-orang yang bersabar.

And that you emerge from your sorrow unscathed, without tumbling.

Sekitar Majlis Konvo MEF Academy 2023

Walaupun ni majlis konvo yang ketiga dalam sejarah perjalanan aku sebagai seorang pelajar, tapi still rasa excited nak pergi. Bila dapat surat dari MEF Academy meminta untuk sahkan kehadiran ke majlis konvo, laju je aku balas hehe. Bila pergi majlis konvo ni, barulah rasa berbaloi korbankan masa weekend selama 12 minggu mengikuti kelas online!


MEF Academy
Antara kelas yang paling aku semangat nak pergi ialah kelas Puan Saraswathi sebab dia tak lokek berkongsi pengalaman mengendalikan kes-kes di Mahkamah Perusahaan

Petang tu nak konvo, pagi tu baru nak selongkar almari cari baju yang sesuai dengan kod pakaian formal yang tertera dalam surat jemputan. Yang kelakarnya, Suami Terchenta dah lama tak pakai seluar kerja sejak company benarkan staff turun kerja menggunakan pakaian smart casual. Tup-tup bila dia cuba pakai seluar kerja yang lama, ehhhh dah tak muat la! Dah satu kerja pulak aku kena adjust butang seluar dia 🤣.


MEF Academy Convocation 2023
Nasib baik simpan lagi blazer hitam ni

Majlis konvo dibuat di Sime Darby Convention Centre. Graduan sepatutnya ambik baju jubah pukul 12 tengahari tapi sebab kena hantar Khayla ke sekolah dulu, jadinya kiteorang gerak lambat sikit. Sampai di Convention Centre pukul 1 tengahari lebih dan terus daftar nama dan ambik jubah. Lepas tu kiteorang pun naik ke tingkat 1 untuk solat Zohor dulu sebab lepas masuk ke dewan dah tak boleh keluar. Selepas tu barulah masuk ke dewan dan dengar penerangan ringkas tentang tatacara naik ke pentas. 

Tepat 2.30 petang, majlis konvo bermula dengan ketibaan tetamu kehormat diketuai oleh Presiden MEF Academy, Y.Bhg. Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman. Masa beliau berucap, timbul rasa kagum sebab beliau bukan setakat seorang pemimpin korporat yang dah berkhidmat di beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa tapi jugak pemegang bukan satu, tapi dua kelayakan PhD, salah satunya ialah DDB (Doctorates in Business Program). Memang hebat orangnya. Ucapan yang diberikan pun cukup padat dan ringkas menggambarkan tahap intelek beliau yang tinggi.


MEF Academy Convocation 2023
Y.Bhg. Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman duduk paling tepi di sebelah kiri

Selepas ucapan, majlis penyampaian sijil dimulakan dengan graduan program Sarjana (HRM) diikuti oleh graduan program Sarjana Muda (HRM & IR), Diploma (HRM & IR) dan barulah Sijil (HRM & IR). Cuma graduan program Sarjana dan Sarjana Muda je yang pakai mortar board, yang ambik Diploma dan Sijil pulak cuma pakai jubah konvo je. 

MEF Academy Convocation 2023
Nasib baik Suami Terchenta ikut sekali dan tolong ambikkan gambar naik ke pentas ni hehe

Selepas selesai majlis penyampaian sijil, ada sesi bergambar berkumpulan (group photo) dalam dewan. Lepas tu barulah kiteorang keluar dan ambik peluang ni bergambar dengan kawan-kawan satu course.


MEF Academy
Yang best bila sambung belajar ni dapat berkenalan dengan kawan-kawan baru dari industri berbeza

Tapi ada jugak dua tiga orang yang memang aku kenal sebab pernah bekerja satu department dulu. Rezeki dapat berjumpa balik dalam majlis konvo ni walaupun ada yang dari batch sebelum kiteorang (sebab tahun dieorang ambik course ni majlis konvo ditangguhkan sebab Covid).

Simpan kat sini buat kenangan. Lepas ni bila la pulak dapat join konvo lagi. Mungkin lain kali join sebagai tetamu ibubapa pulak which is konvo anak-anak 🤲🏻.

Wordy Wednesday - Dulu dan Sekarang

convocation
Dulu dan sekarang

Dulu (2004) - baru sebulan lebih couple selepas setahun lebih berkenalan, jadi ada 'halal gap' di situ ye. Masa ni dia turun dari KL ke JB untuk menghadiri majlis konvo aku sebab nak jumpa dengan bapak aku. Seminggu sebelum konvo, dah mesej tanya pukul berapa flight bapak aku sebab dia kena ambik kat airport 🤭. Gentleman sangat calon menantu tu kan. Sebab baru lagi couple masa ni, nampak la dia ada usaha sendiri untuk belikan jambangan bunga dan patung beruang untuk hadiah konvo.

Sekarang (2023) - selepas hampir 17 tahun berumahtangga, dah takde hal la nak letak tangan atas bahu hihi. Sehari sebelum konvo, kena ingatkan dia apply cuti untuk menghadiri majlis konvo aku sebab dia lupa pasal majlis konvo tu 😒. On the way pergi majlis konvo, mintak dia untuk belikan jambangan bunga sebagai hadiah konvo. Dah masak sangat yang Suami Terchenta ni tak boleh bawak berkias-kias, kalau nak apa-apa terus-terang je bagitau 🤣. 

Terima kasih Suami Terchenta sebab selalu support minat isterinya untuk belajar. Paling banyak dia support masa sambung Masters dulu. Suami Terchenta sebenarnya bukan la kaki belajar macam aku tapi sebab aku kata aku teringin nak sambung belajar dengan dia, jadi dia pun ambik Masters jugak supaya aku ada teman belajar dan teman buat assignment 🥺. Nasib awak la kan Suami Terchenta, dapat isteri nerd! 🤓