Masih belum terlambat untuk aku ucapkan 'Selamat Hari Malaysia' buat semua rakyat Malaysia di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Sabah & Sarawak.

Setiap tahun pada 16 September, Malaysia memperingati peristiwa penggabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura yang membentuk negara Malaysia pada tahun 1963. 

Satu soalan yang sering ditanya oleh orang luar - kenapa Malaysia ada dua sambutan berbeza iaitu Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September? Untuk menjawab soalan ni, jom kita tengok fakta menarik ni:

  • Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Parti Perikatan yang memerintah mendapati keadaan politik yang tidak tenteram dan ancaman komunis di negara-negara jiran boleh memberi kesan kepada kestabilan Tanah Melayu. Justeru, Perdana Menteri Tanah Melayu pada waktu itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah menyuarakan idea pembentukan gagasan Malaysia melibatkan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Brunei (Brunei walau bagaimanapun menolak menyertai gagasan Malaysia).
  • Pembentukan negara Malaysia pada awalnya dirancang pada 1 Jun 1963 namun diubah kepada 31 Ogos 1963 supaya dapat diraikan bersama-sama dengan hari kemerdekaan Tanah Melayu yang ke-6 (kalau ikut perancangan, memang kita sambut satu tarikh je iaitu 31 Ogos, tapi...)
  • Rancangan pembentukan persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak mendapat tentangan dari negara-negara jiran yang enggan mengiktiraf negara Malaysia.
  • Akhirnya pengisytiharan pembentukan Malaysia ditunda pada 16 September 1963 untuk memberi masa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diwakili oleh Lawrence Michaelmore mengadakan pungutan suara sekali lagi di Sabah dan Sarawak selepas pungutan suara yang dilakukan oleh Suruhanjaya Cobbold. Pada 14 September 1963, laporan PBB telah dikeluarkan yang mengesahkan majoriti penduduk Sabah dan Sarawak menyokong penyertaaan dalam gagasan Malaysia sebagai rakan sekutu Tanah Melayu. Justeru, Hari Malaysia akhirnya diputuskan disambut pada 16 September.
  • Untuk meraikan pembentukan Malaysia, sebuah lagu iaitu "Malaysia Forever" telah dikarang oleh Bobby Gimby ("Pied Piper dari Kanada") dan dirakamkan di Kuala Lumpur dan Singapura. Beberapa hari sebelum penggabungan Malaysia, lagu "Malaysia Forever" telah diajarkan kepada murid-murid sekolah dan dimainkan di radio-radio untuk menjadi lagu rasmi Hari Malaysia yang pertama.
(Sumber: Wikipedia)


Keratan akhbar pada 16 September 1963

Itulah secara ringkas sejarah tentang penubuhan negara Malaysia. Tapi kalau dikaji lebih mendalam sebenarnya perjalanannya agak complicated.

Persetujuan Sabah dan Sarawak Menjadi Rakan Sekutu Tanah Melayu dan Singapura

Sebelum Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak bersetuju menyertai gagasan Malaysia sebagai rakan sekutu seperti termaktub dalam perjanjian yang dikenali sebagai 'Malaysia Agreement' 1963 (MA 1963), ada beberapa perkara dari Memorandum 20 Perkara telah dipersetujui untuk dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan untuk: 

  1. memberi keyakinan bahawa tujuan Tanah Melayu membentuk gagasan Malaysia bukanlah untuk menjajah Sabah dan Sarawak; dan
  2. melindungi kepentingan kedua-dua rakan sekutu Tanah Melayu tersebut. Antaranya kuasa autonomi Sabah dan Sarawak dalam bidang mengendalikan hal ehwal imigresen, peruntukan kerusi dalam Parlimen Malaysia, sistem pendidikan negeri, agama dan bahasa rasmi di Sabah dan Sarawak. 

Boleh dikatakan sebelum bersetuju untuk jadi rakan sekutu, Sabah dan Sarawak agak ragu-ragu motif pembentukan gagasan Malaysia sebab masa tu negara Sabah dan Sarawak masih dijajah oleh British. Jadi pemimpin tempatan Sabah dan Sarawak masa tu bimbang yang gagasan Malaysia ni ialah satu lagi bentuk penjajahan dan taknak Sabah dan Sarawak dijajah oleh negara yang baru mencapai kemerdekaan. Tapi sebab nak bebas dari British, Sabah dan Sarawak pun buat syarat-syarat untuk melindungi kepentingan mereka yang kemudiannya dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.


Hari ni ramai yang lupa sejarah penubuhan Malaysia sehingga menimbulkan pelbagai sentimen yang boleh menggugat perpaduan rakyat. Kita seharusnya menghayati semula sejarah supaya kita faham kenapa negara kita membentuk sebuah gabungan pada saat ancaman komunis yang berleluasa di Tanah Melayu dan Singapura dan penjajahan British di Borneo. #lestweforget

Bak kata pepatah - bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Apa yang kita kecapi sekarang ialah hasil usaha pemimpin-pemimpin terdahulu yang berkongsi misi & visi yang sama - sebuah negara yang kuat & kukuh dari segi ekonomi dan politik, selamat dari ancaman komunis / musuh negara dan berdaulat. Selamat Hari Malaysia!

8 comments:

  1. benar ya... ada x paham kenak mesti byk gilak sambutan... benda tok mmg harus dibelajar dari sekolah... tp masalahnya org dewasa yg suka molah isu benda tok

    ReplyDelete
  2. good sharing.. tq.. happy malaysia day!!!

    ReplyDelete
  3. Perkongsian yg menarik.. Penuh inti pati maklumat sejarah..

    ReplyDelete
  4. Perkongsian yang berilmiah. Selamat Hari Malaysia buat kita rakyat Malaysia.

    ReplyDelete
  5. terharu sgt pengorbanan pahlawan dan pejuang kemerdekaan dulu

    ReplyDelete
  6. Dapat ilmu baru. Waktu saya di Penang, saya tak terlalu ingat apa ada rayakan hari Malaysia atau tak di kampus. Soalnya yg saya ingat sangat hanya hari kemerdekaan 31 ogos.

    ReplyDelete
  7. kalau sabah sarawak tak join malaysia, sekarang mungkin tinggal 12 negeri sahaja hari ini. pergi SS kena ada visa mungkin ;-)

    ReplyDelete

Thank you for coming by.
Comments are your responsibility.
Any comments are subjected to the Act 588 MCMC 1988.
Comment wisely, and do it with pure intentions.

Happy Blogging .