Kita Hanya Bermain

Salam Jumaat semua,

Hari ni 10 Muharram bermakna hari ni ialah Hari Asyura. Selamat berpuasa buat yang dah berniat dan mampu berpuasa. Semoga amal ibadah diterima oleh Allah SWT.

Aku tertarik dengan kata-kata yang aku baca di Instagram baru-baru ni:

Kehidupan kita sudah pun diatur. Kita hanya "bermain". Ada masa kita menang, ada masa yang lain perlu menang. Berimanlah pada Qada' dan Qadar, Maha Suci Allah yang takkan sia-siakan hambaNya. 

Sumber: IG @hanimyangjujur

Sebenarnya aku admire orang yang boleh bermadah pujangga dan berfalsafah ni haha. Dan yes, ada kebenaran pada kata-kata ni sebab dalam Al-Quran pun ada menyebut dunia ni ialah permainan dan hiburan yang tak kekal abadi. Semua yang berlaku dalam hidup kita dah diatur sejak azali, sejak sebelum kita lahir ke dunia. Kita cuma perlu bermain permainan ni dengan bijak, supaya kita menang di akhirat.

Buat renungan kita semua pada pagi ni. 


al-an'am ayat 32
Kredit foto: Pinterest

Morning Walk di Taman Tasik Titiwangsa

Pagi tadi lepas hantar Khadeeja ke sekolah, aku rasa bersemangat sikit nak buat senaman kaki di Taman Tasik Titiwangsa sebab cuaca redup dan sejuk je. Dah lama aku tak pergi brisk walking, best jugak sekali-sekala keluarkan peluh.


Taman Tasik Titiwangsa
Selamat pagi KL!

Sambil berjalan, aku bukak apps Apple Fitness+ dan cari podcast di segmen 'Time to Walk'. Aku pilih untuk dengar podcast Nathan Chen, bekas pemenang pingat emas Olimpik sukan luncur angka (figure skating) yang berdurasi 31 minit. Boleh la cover untuk satu pusingan tasik ni.

Antara intipati podcast:

  • Kejayaan seorang anak ialah hasil pengorbanan dan sokongan padu dari ibubapa - ibu Nathan Chen ialah penyokong terbesar beliau di mana ibunya seorang suri rumah berusaha mencari pendapatan tambahan - menjadi penterjemah bahasa Jepun, mencuci rumah orang dsb. untuk menampung minat Nathan dalam sukan luncur ais.
  • Bila dah jumpa minat dalam sesuatu perkara, tetapkan matlamat dalam minat - Nathan jatuh cinta dengan sukan luncur ais sejak kecil. Merasakan dirinya berbakat, dia berazam untuk menyertai sukan Olimpik. Nathan bertanya dengan ibunya pada usia bilakah dia boleh layak mencuba untuk sukan Olimpik dan berlatih bersungguh-sungguh sampai dia mencapai usia 18 tahun.
  • Sikap tidak mudah berputus-asa dan mengalah pada takdir akan membuahkan kejayaan - Nathan Chen pernah mengalami kecederaan pinggul yang memerlukan pembedahan. Akibatnya, Nathan tak dapat menjalani latihan selama berbulan-bulan dan hampir-hampir berputus-asa untuk menyertai sukan Olimpik. Tapi sikapnya yang tidak mudah mengalah akhirnya mendorong Nathan untuk mengatasi kecederaannya dan akhirnya berjaya melayakkan diri dalam pasukan Olimpik US.
  • Kegagalan tak bermaksud gagal selama-lamanya - Kali pertama Nathan bertanding di sukan Olimpik, Nathan melakukan kesilapan yang menggagalkan pasukannya untuk muncul juara. Dia berasa kecewa dan malu atas kekalahan pasukannya tapi percaya yang dia boleh memperbaiki prestasi jika diberi peluang lagi. Nathan berusaha keras untuk menebus peluang kedua dan akhirnya berjaya muncul sebagai pemenang pingat emas. Yakin pada kemampuan diri dan cuba lagi!


Taman Tasik Titiwangsa
Pemandangan yang mengujakan

Tu je la perkongsian hari ni. Harapnya esok cuaca elok lagi dan masih bersemangat nak berjalan-jalan waktu pagi macam hari ni 😬.

Review: Pembersih Udara Levoit Core 600S Smart True HEPA Air Purifier

Korang ingat tak aku cerita pasal guna ChatGPT untuk survey pembersih udara yang sesuai untuk dipasang kat rumah? Lepas review model-model pembersih udara yang dijual di Shopee, akhirnya kiteorang pilih untuk pasang pembersih udara jenama Levoit Core 600S. Harga dalam RM1000 lebih jugak tapi mengenangkan kesihatan Khayla yang kerap bersin setiap hari sejak bela kucing kat rumah ni, Suami Terchenta kata pejam mata je la!

Dalam 2 hari lepas order dari Shopee, pembersih udara ni pun selamat sampai ke rumah. Walaupun kotak dia nampak gedabak, tapi sebenarnya ringan je pembersih udara ni.


Levoit Core 600S Smart True HEPA Air Purifier
Levoit Core 600S Smart True HEPA Air Purifier


Mula-mula unboxing, kena baca manual dulu. Cara nak pasang senang je. Keluarkan plastik pembungkus penapis HEPA dalam pembersih udara ni, pasang balik tanpa plastik pembungkus, sambung plag ke suis dinding lepas tu tekan butang power


Levoit Core 600S Smart True HEPA Air Purifier
Risalah manual dalam kotak

Pembersih udara ni boleh dikawal guna aplikasi kat telefon. Muat turun aplikasi, sambungkan ke pembersih udara guna bluetooth lepas tu boleh la pantau kualiti udara dalam rumah / guna aplikasi untuk hidupkan / matikan pembersih udara. Walaupun peranti ni bukan Homekit-enabled, tapi boleh jugak gunakan Apple Watch untuk hidupkan / matikan pembersih udara ni.


Levoit Core 600S Smart True HEPA Air Purifier
Pandangan dari atas

Levoit Core 600S Smart True HEPA Air Purifier
Pandangan dari depan
 

Cara semak kualiti udara, biru menunjukkan tahap udara yang sangat bersih, hijau bersih, kuning kurang bersih dan merah menunjukkan udara tercemar. Biasanya lepas memasak, pembersih udara ni akan bertukar jadi merah sebab nak hilangkan asap dari memasak (walaupun dah guna penyedut udara / kitchen hood).

Lepas 2 minggu lebih guna pembersih udara ni di rumah, so ni review aku tentang pembersih udara ni. So far, aku happy dengan pembersih udara ni. Khayla sebelum ni memang ada alahan dengan debu / bulu kucing, jadi pagi-pagi dia kerap bersin-bersin. Sejak bela 2 ekor kucing di rumah, Khadeeja pun nampaknya ada tanda-tanda alahan jugak, kerap berhingus dan batuk-batuk. Sebab tu la kiteorang memang perlukan pembersih udara untuk bantu anak-anak kiteorang bernafas dengan lebih baik di rumah.

Levoit Core 600S mempunyai penapis H13 True HEPA yang mampu menapis 99.97% zarah bawaan udara (airborne particles) termasuk debu, debunga, bulu haiwan peliharaan dan asap. (Tips bila nak cari pembersih udara: pastikan ianya ada penapis True HEPA H13 atau H14 sebab ianya bertaraf gred hospital). Ianya jugak ada penapis karbon yang menghilangkan bau-bauan kurang enak dan gas. Pembersih udara ni ada 4 kelajuan kipas dan mod waktu malam yang senyap.

Aku selalu guna pembersih udara Core 600S ni dengan mod auto dan setakat ni, nampaknya ia berjaya mengekalkan udara bersih dalam rumah ni. Yang paling penting, Khayla dan Khadeeja dah berhenti bersin-bersin dan batuk-batuk sejak guna pembersih udara. Takde lagi dah nampak bulu Kiera berterbangan!

Pembersih udara ni jugak sangat senang digunakan. Ia ada paparan sentuh yang memudahkan untuk menukar kelajuan kipas, mengaktifkan mod waktu malam dan menetapkan pemasa. Pembersih udara ni jugak dilengkapi dengan sambungan Wi-Fi supaya kita boleh kawal menggunakan telefon pintar.

Kat sini aku rumuskan pros dan cons Levoit Core 600S ni:

Pros:

  • Penapis H13 True HEPA menyahkan 99.97% zarah bawaan udara termasuk bulu kucing
  • Penapis karbon menghilangkan bau-bauan kurang enak dan gas
  • Empat kelajuan kipas dan mod waktu malam yang senyap
  • Paparan sentuh yang senang digunakan
  • Kawalan jarak jauh guna sambungan Wi-Fi 
  • Kawasan liputan yang luas (147 meter persegi) - pasang di ruang tamu boleh bersihkan udara di dapur sampai ke bilik tidur
  • Berkesan mengurangkan / menghilangkan alahan yang berkaitan dengan udara kurang bersih di rumah
  • Waranti 2 tahun

Cons:

  • Agak bising bila dipasang pada kelajuan kipas tertinggi 
  • Tiada cahaya UV atau ionizer
  • Harga sedikit premium (tapi berbaloi sebab kawasan liputan yang luas)
  • Penapis karbon tak menghilangkan 100% bau-bauan kurang enak, masih kena bukak sliding door ke ruang balkoni tu untuk kurangkan bau makanan kucing (kibbles) dan bau-bauan kucing

Harapnya review ni membantu korang yang mencari pembersih udara. Psst.. korang yang ada kucing kat rumah pakai pembersih udara jenama apa untuk neutralkan bau kucing kat rumah? Boleh komen tak?


Levoit Core 600S Smart True HEPA Air Purifier
Kiera suka lepak tepi pembersih udara ni, agaknya sebab udara segar kot kat situ 😂

Nota kaki: Janji anak-anak dah tak bersin-bersin & batuk-batuk kat rumah kira ok la tu kan. Jangan tanya bil api naik ke tak sebab baru pakai sebulan 😜.

Sedap Jugak Fluffy Omelette Toast di Toast Maker @ KLCC

Ni kisah bulan lepas masa kiteorang pergi jalan-jalan ke Lowyat. On the way balik, singgah sekejap ke KLCC. Kiteorang end up mencuba menu roti bakar di Toast Maker.


Toast Maker @ KLCC
Toast Maker @ KLCC terletak di aras Concourse

Cara buat pesanan, pilih jenis roti lepas tu pilih menu yang kita nak. Kiteorang ambik 3-in-1 set classic toast (fluffy omelette) toast dengan minuman teh dan potongan buah. Lepas buat pesanan, staff akan buat roti bakar tu depan kita. 


Toast Maker @ KLCC
Set yang sampai

Surprisingly, toast kat sini sedap. Aku suka rotinya yang rangup di luar dan rasa manis sikit, telur dadarnya yang gebu dan rasa cheese dalam telur dadar tu. Boleh repeat lain kali.


Toast Maker @ KLCC
Classic toast dengan roti cloud wheat

Kreatif jugak orang zaman sekarang meniaga. Buat sandwich macam ni pun boleh bukak kedai di KLCC. Yang penting sedap dan harga berpatutan. Korang dah cuba ke menu di Toast Maker? Komen sikit roti bakar pilihan korang.