Wordless Wednesday - Gaya Chillax Anak-anak Bulus

cute cats
Seekor suka terlentang, seekor lagi suka duduk macam arnab


Ni la pe'el anak-anak bulus kat rumah ni bila tengah chillax. Seekor suka terlentang tunjuk perut yang gebu, seekor lagi suka duduk macam arnab tunjuk bulu yang gebu. Kalau Louis tengah chillax dan malas layan Kiera, Kiera akan datang mengendeng ke bilik kakak Khayla mintak perhatian. Tapi nak dekat masih takut-takut lagi. Jadi lepak dekat pintu je la hehe.

Perkembangan terbaru Kiera - dah mula jinak dan suka follow aku kemana-mana. Aku masuk bilik air pun dia nak ikut! 😂 Adoi la. Tapi dengan aku je la. Dengan Khayla dan Khadeeja pulak, Kiera masih lagi takut-takut. Tapi bila dah dapat pegang dan belai, dia akan diam je tak lari kemana-mana. Kalau dulu, jangankan dapat pegang, nampak kelibat kakak-kakak je pun Kiera dah lari lintang-pukang menyorok 😅.

Tapiiiiii dengan Suami Terchenta, Kiera memang alergik betul. Baru dengar tapak kaki Suami Terchenta, Kiera akan berdesup hilang menyorok bawah sofa atau kabinet TV! 🤣 Tu la aku dah puas nasihatkan Suami Terchenta jangan suka sangat menyakat Kiera masa awal-awal dulu tapi macam mencurah air ke daun keladi. Alasan Suami Terchenta, kalau tak sakat Kiera sampai bila dia nak biasa dengan kiteorg? Sudahnya satu hari tu Kiera cakar dan gigit tangan Suami Terchenta masa Suami Terchenta jolok tangan nak pegang Kiera. Bengkak woo! Kena pergi klinik ambik antibiotik, cucuk vaksin rabies, ubat tahan sakit dan sampai sekarang masih ada benjol kecik kat pergelangan tangan Suami Terchenta. Sejak tu baru Suami Terchenta tak sakat Kiera lagi, Kiera pun sampai sekarang menyampah nau tengok Suami Terchenta hahaha!

Girlfriends Outing di Botanica+Co Bamboo Hills

Salam Ogos semua,

Dah masuk bulan baru, harapnya bulan ni ada peningkatan prestasi untuk Google Adsense yang agak merudum sejak kebelakangan ni. Tak pasti la dapat ke tak capai sasaran untuk tahun ni. Huhu...

Malas nak fikir pasal ni, nak cerita pasal aktiviti hujung minggu lepas. Dah lama tak keluar dengan geng makan aku ni, jadi bila Nurul ajak keluar makan aku pun cadangkan kiteorang mencuba restoran Botanica+Co di Bamboo Hills.

Kali ni masing-masing nak ada tema baju pulak. Amboi, over sangat. Memandangkan filem Barbie tengah hangat sekarang ni, semua setuju pakai baju warna pink. Jumaat tu aku terpaksa (terpaksa la sangat!) shopping baju baru sebab dalam banyak-banyak warna baju, aku takde baju pink ok. Bila dah shopping baju, ter shopping sekali tudung Bokitta sebab berkenan dengan coraknya 😜. Kemain lagi ko Carneyz...


Botanica+Co Bamboo Hills
Makan kat sini pulak


Bamboo Hills ialah destinasi tempat makan, event space dan social scene terbaru di KL. Kalau korang kaki foodie, wajib pergi ke sini. Lokasi Bamboo Hillls tepi lebuhraya DUKE je. Selain Botanica+Co, ada lagi beberapa restoran lain kat sini. Yang best nya kat sini tak susah nak cari parking sebab tempat letak kereta kat sini boleh muat 500 buah kereta. FYI, parking kat sini kena bayar online sebelum keluar.

Masalahnya, papan tanda nak exit ke sini kecik sampai terlepas pandang. Nak elak terlepas pandang, better korang ambik lorong paling kiri dekat plaza tol Batu. Seelok-eloknya guna Waze kalau first time ke sini.

Bila masuk ke restoran ni, aku kagum dengan design restoran ni yang banyak menggunakan elemen semulajadi seperti natural lighting, natural colour palettes, material kayu dan greeneries. Hasilnya nampak eksklusif.


Botanica+Co Bamboo Hills
Sukanya sebab restoran nampak luas, terang dan redup sebab ada pokok-pokok hiasan at the same time

Botanica+Co Bamboo Hills
Ambik gambar kat sini memang cun sebab lighting semulajadi

Tempat lawa mesti la makan sedap kan? Sayangnya, makanan yang aku order bagi aku agak mengecewakan dari segi rasa. Tapi dari segi food presentation, memang A+ la.


baked salmon
Makanan yang aku pesan - baked eastern marinated Norwegian salmon dihidangkan dengan quinoa, couscous dan sautéed baby bok choy (RM52)

Aku dengan Zura sama-sama pesan menu salmon ni. Kiteorang berdua setuju yang salmon ni sepatutnya digoreng atas kuali sampai kulitnya rangup (crispy) barulah sesuai dengan quinoa dan couscous yang lembik tu.  

Nurul pulak order pasta dengan sos berasaskan tomato tapi aku tak ingat nama menu tu. Aku rasa sedap lagi pasta yang aku buat. Azie pesan wagyu beef burger dan Zaira pesan spaghetti alla gricia. Dua-dua ni aku tak rasa so tak pasti sedap ke tak.


Botanica+Co Bamboo Hills
Spaghetti alla gricia (RM38)

Botanica+Co Bamboo Hills
Rosmarino ale soda (RM19) - nasib baik minumannya sedap

Satu lagi yang kiteorang perhatikan, walaupun tempat ni nampak eksklusif tapi ada lalat dalam restoran yang sungguh mengganggu perhatian kiteorang yang tengah berborak-borak. Sepatutnya restoran bertaraf eksklusif macam ni kena la proaktif pastikan takde lalat dalam restoran.

Sebelum balik, macam biasa tangkap gambar dulu 🤭:

Botanica+Co Bamboo Hills
Tema Barbie untuk girlfriends outing kali ni hehe

Botanica+Co Bamboo Hills
Geng tudung Bokitta

Botanica+Co Bamboo Hills
Posing kat luar restoran pulak

Keseluruhannya tempat lawa, makanan beshe-beshe je. Lain kali try restoran lain pulak kat Bamboo Hills ni.

Kalau korang nak try makanan kat Botanica+Co hujung minggu ni, aku sarankan korang buat tempahan meja dulu sebelum datang sini. Memandangkan ramai pengunjung yang datang weekend, restoran akan bagi slot masa 2 jam je untuk setiap tempahan. Tempahan boleh dibuat di laman web Botanica+Co. Dah cuba, jangan lupa buat review tau.

5 Tips Kekal Bermotivasi Pada Hari Isnin

Sumber imej: Quotesmaze.com

Salam Isnin semua!

Urggh... Sekejap je hujung minggu berlalu, dah Isnin balik! Lepas rilek-rilek hujung minggu, memang rasa beratttt je nak melangkah ke minggu baru kan? Tapi, kalau nak mulakan minggu baru dengan bersemangat, apa kata cuba 5 tips ni untuk kekal bermotivasi setiap kali Isnin menjelma:


Tips #1: Mulakan hari dengan betul

Dapatkan tidur yang cukup dan bangun awal pagi supaya anda ada banyak masa untuk bersiap-sedia menghadapi hari Isnin tanpa rasa kelam-kabut dan tak cukup nafas! Mulakan pagi anda dengan rutin yang membahagiakan - membaca, mendengar muzik, menikmati secawan kopi, meluangkan masa dengan pasangan dan anak-anak, berkebun atau berjogging. Aktiviti yang menyenangkan emosi akan membantu anda untuk kekal positif dan bermotivasi sepanjang hari. 


Tips #2: Tetapkan sasaran untuk minggu itu

Luangkan 30 minit pada hari Ahad untuk merancang sasaran yang hendak dicapai pada minggu berikutnya. Pecahkan sasaran tersebut kepada senarai tindakan-tindakan kecil yang mudah diuruskan. Ini akan menjadikannya lebih mudah dicapai. 


Tips #3: Rancang hari anda

Ambil sedikit masa pada pagi Isnin untuk merancang hari anda. Ini akan membantu anda untuk kekal fokus dan tidak tersasar dari matlamat anda atau berasa terbeban. Pastikan anda masukkan masa rehat dalam jadual anda.


Tips #4: Beri ganjaran kepada diri-sendiri untuk setiap pencapaian minggu itu

Bila anda berjaya mencapai matlamat atau sasaran, ambil sedikit masa untuk meraikan pencapaian tersebut. Ini akan membantu anda kekal bermotivasi untuk mencapai matlamat-matlamat yang ditetapkan.

 

Tips #5: Jangan malu untuk meminta bantuan dari orang sekeliling

Sekiranya anda berasa terbeban dengan tugasan atau tanggungjawab tidak kira di rumah atau di tempat kerja, jangan segan-silu untuk meminta bantuan dari ahli keluarga, kawan sekerja mahupun rakan-rakan di sekeliling. Besar kemungkinan, mereka boleh menawarkan sokongan dan memberikan kata-kata semangat supaya anda boleh kekal di landasan yang betul. 

Dengan mengikuti 5 tips ini, anda boleh kekal bermotivasi pada hari Isnin dan sepanjang minggu. Selain 5 tips ini, anda juga boleh mengikuti langkah-langkah di bawah:

  • Singkirkan gangguan contohnya telefon pada masa bekerja dan email pada masa rehat supaya anda boleh fokus pada setiap waktu.
  • Jangan abaikan waktu rehat, bangun dari tempat anda dan bergerak setiap 20-30 minit untuk mengelakkan mental menjadi lesu.
  • Dengar muzik yang rancak untuk kekal positif dan bersemangat
  • Bayangkan setiap kejayaan anda dan bagaimana perasaan anda ketika berjaya mencapai matlamat. Ini akan membantu anda kekal fokus dan bermotivasi.


Happy Monday semua!

Muat Turun Aplikasi Telefon Untuk Negara-negara Ini

Dah lama tak pergi jalan-jalan overseas, kali terakhir tahun 2019. Huhu... lepas Covid, tak berpeluang lagi nak pergi ke mana-mana. Tambah lagi Suami Terchenta sibuk bebenor, nak pergi camping pun siap angkut beg laptop sekali. Sampai beli power station khas untuk cas laptop dia je 😅

Rindu nak pergi berjalan-jalan kat overseas... Kadang-kadang cemburu bila tengok orang lain berjalan-jalan kat Switzerland, Turkiye dan UK lepas border bukak. Tapi cepat-cepat padamkan rasa tu dan ganti dengan doa supaya dipermudahkan rezeki aku jugak dapat berjalan-jalan ke sana. Buat masa sekarang, mampu baca pengalaman orang lain travel sambil kumpul maklumat dan tips. 

Buat korang yang dah ada plan nak jalan-jalan overseas tahun ni, boleh rujuk aplikasi telefon apa yang berguna kat negara-negara yang dituju tu. Terima kasih Sislin kongsi info ni. Aku park kat blog supaya bila turn aku dapat pergi berjalan-jalan, boleh la rujuk balik kat sini. Kebetulan my sister pun nak ke China bulan September nanti atas urusan kerja, jadi aku share jugak dengan dia.


phone apps travelling overseas

Kita Hanya Bermain

Salam Jumaat semua,

Hari ni 10 Muharram bermakna hari ni ialah Hari Asyura. Selamat berpuasa buat yang dah berniat dan mampu berpuasa. Semoga amal ibadah diterima oleh Allah SWT.

Aku tertarik dengan kata-kata yang aku baca di Instagram baru-baru ni:

Kehidupan kita sudah pun diatur. Kita hanya "bermain". Ada masa kita menang, ada masa yang lain perlu menang. Berimanlah pada Qada' dan Qadar, Maha Suci Allah yang takkan sia-siakan hambaNya. 

Sumber: IG @hanimyangjujur

Sebenarnya aku admire orang yang boleh bermadah pujangga dan berfalsafah ni haha. Dan yes, ada kebenaran pada kata-kata ni sebab dalam Al-Quran pun ada menyebut dunia ni ialah permainan dan hiburan yang tak kekal abadi. Semua yang berlaku dalam hidup kita dah diatur sejak azali, sejak sebelum kita lahir ke dunia. Kita cuma perlu bermain permainan ni dengan bijak, supaya kita menang di akhirat.

Buat renungan kita semua pada pagi ni. 


al-an'am ayat 32
Kredit foto: Pinterest