Road Trip Cuti Sekolah: Kuantan & Cherating (Part 2)

Sambungan dari sini:

Sebelum ke destinasi seterusnya iaitu Pantai Cherating, kiteorang singgah di Esplanade Kuantan menikmati pemandangan Sungai Kuantan.


Esplanade Kuantan
Esplanade Kuantan ni mengingatkan aku dengan Esplanade Bintulu. Tempat yang sangat cantik dan selesa untuk beriadah pagi-pagi

Tak sempat nak naik Menara 188 Kuantan ni sebab takde dalam itinerari perjalanan. Mungkin lain kali datang ke Kuantan boleh la naik menara ni.


Menara 188 Kuantan
Ambik gambar berlatarbelakangkan Esplanade Kuantan dan Menara 188. Khayla malas nak ikut jalan-jalan di esplanade sebab mengantuk 😅

Itu je la tempat dalam bandar Kuantan yang sempat kiteorang pergi sebelum bergerak ke Cherating. Sampai di Pantai Cherating, kiteorang park kereta di tempat parking yang disediakan dengan bayaran RM3. Walaupun ramai orang yang berkunjung ke sini tapi tak la sesak, tak macam di Pantai Klebang tempoh hari.


Pahang tourism
Geram tengok pantai yang nampak landai ni, rasa nak terjun laut tapi malas nak salin baju 😅

Kemudahan di sini cukup lengkap dengan tandas awam yang bersih, tempat makan dan ada jugak tapak khemah berbayar di sini. Lain kali boleh la pacak khemah kat Cherating, kata Suami Terchenta.

Disebabkan anak-anak taknak mandi laut, sudahnya kiteorang decide nak bermain ATV je. Ada pakej keluarga dengan harga RM70. Guide bawak masuk trail dalam hutan dan sekitar kawasan tu, sebelum ke teluk pantai sebab kat situ takde orang. Jadi boleh la bermain ATV sepuas-puasnya.


ATV
Masa ni seronok lagi posing ambik gambar atas ATV sebelum kejadian seterusnya 🤭

Cerita yang sedikit kelakar tapi geram jugak masa tu, Suami Terchenta bawak ATV macam orang baru nak ambik lesen L. Habis tersasar dari laluan trail, lepas tu langgar/naik atas dahan mati sampai hampir terbalik ATV kiteorang! Macam nak tercabut jantung aku jadi penumpang kat belakang, asyik terjerit je setiap kali ATV kiteorang senget sebab dia naik kawasan berbukit sikit! Dia asyik tersengih-sengih je setiap kali tersasar dari trail


Pantai Cherating
Antara laluan ATV

Khayla pulak bawak macam orang dah ada lesen penuh 🤣. Khadeeja pun sama, siap boleh drift lagi masa buat U-turn. Masa nak balik tu, aku cakap aku lebih rela naik ATV dengan Khayla dari naik dengan Suami Terchenta! 😂 Suami Terchenta pulak naik ATV yang Khadeeja bawak.


Pantai Cherating
Anak-anak lagi pro bawak ATV dari mak bapak dieorang 🤣

Pantai Cherating
Kenangan tak boleh dilupakan di Pantai Cherating

Road Trip Cuti Sekolah: Kuantan (Part 1)

Dah sedia maklum kalau cuti sekolah je, jalan mesti jem giler. Sudahnya kiteorang tunggu hari Ahad baru gerak. Plan asal nak gerak hari Sabtu tapi tiba-tiba hotel yang aku buat booking tu suruh cancel booking sebab dieorang dah overbooked. Suami Terchenta kata gerak Ahad je la, sebab mana nak cari hotel yang murah dah last minute macam ni.

So Ahad tu kiteorang gerak dari rumah pukul 5 pagi. Plan nak ke Kuala Terengganu dan singgah di Kuantan dan Cherating dalam perjalanan tu. Singgah solat Subuh di R&R Temerloh sebelum meneruskan perjalanan ke Kuantan. Pagi Ahad jalan tak jem jadi kiteorang sampai ke Kuantan dalam pukul 8 pagi. 

Destinasi pertama yang kiteorang tuju di Kuantan ialah Kuantan Pickers & Kedai Kopi untuk sarapan pagi. Kedai ni dibuka seawal jam 7.30 pagi dan bila kiteorang sampai, dah ramai pelanggan yang duduk sambil menikmati sarapan pagi di sini.


Kuantan Pickers & Kedai Kopi
Selalu tengok IG reel pasal tempat ni. Sambil menikmati sarapan pagi, boleh dengar persembahan dari penyanyi busker 

Kuantan Pickers & Kedai Kopi
Masa kiteorang sampai dah ramai orang tapi masih ada lagi meja kosong di bahagian belakang

Kuantan Pickers & Kedai Kopi
Kiteorang dapat tempat duduk di bahagian courtyard belakang kedai ni sebab kat dalam kedai dah penuh

Kat kedai ni ada banyak pilihan sarapan pagi. Kita boleh pilih sama ada nak ambik kuih-muih, nasi lemak dengan bermacam jenis lauk, mee goreng, pulut kuning, roti jala dan macam-macam lagi dari meja di bahagian depan kedai ni, atau pilih dari menu untuk hidangan roti bakar, laksa nyonya, shakshuka, telur separuh masak dsb. Patutla tempat ni famous sebab ada bermacam-macam jenis hidangan sarapan pagi yang ada di sini.


Kuantan Pickers & Kedai Kopi
Rambang mata tengok pelbagai pilihan kuih-muih, nasi lemak, pulut ikan masin dan macam-macam lagi

Akhirnya kiteorang pilih 2 jenis kuih (seri muka dan kuih ketayap), roti bakar dengan mentega dan kaya (Khayla punya), roti goyang (telur separuh masak atas roti dan dihidangkan dengan kaya, aku punya) dan telur separuh masak 2 biji (Khadeeja punya).


sarapan pagi Kuantan
Sarapan pilihan kami di Kuantan Pickers & Kedai Kopi

Suami Terchenta pulak pesan shakshuka Tunisia cicah dengan roti bakar. Aku pesan jugak laksa Nyonya ni sebab curious tak pernah cuba laksa ni.


sarapan pagi Kuantan
Shakshuka dan laksa Nyonya

Overall bagi aku makanannya biasa-biasa je. Cuma mungkin tarikan di sini ialah variety makanan yang dijual - nasi dagang, nasi kerabu, laksam, kuetiaw, nasi lemak, nasi goreng, semua ada. Tak payah susah-susah nak pergi ke 2-3 tempat nak cari hidangan ni untuk sarapan pagi sebab semua ada dekat sini.

Lagi satu hiasan dalam kedai menggamit nostalgia dengan perhiasan-perhiasan antik dalam kedai ni.


Kuantan Pickers & Kedai Kopi
Display action figure dan tin barang-barang zaman atok nenek kita dulu

Kuantan Pickers & Kedai Kopi
Cawan-cawan antik, mesin wang tunai dan telefon antik

Kuantan Pickers & Kedai Kopi
Papan tanda peluang kerja macam dalam cerita P Ramlee 😄

Kuantan food scene
Lain kali ke sini boleh cuba kedai kopi lain pulak

Ni Baru Betul-Betul Road Trip...

Alhamdulillah, road trip KL-Kuantan-Kuala Terengganu - Kota Bharu berakhir malam semalam. Fuhhh... azab sungguh mengharung jem rabak dari Kelantan nak balik ke KL. Aku tabik betul dengan warga Pantai Timur yang kena hadap benda ni setiap kali balik raya.

Kiteorang bertolak dari Kota Bharu lepas check out dari hotel pukul 12 tengahari. Pukul 5 petang baru berjaya keluar dari sempadan Kelantan.  Nasib baik tak kejung kaki Suami Terchenta bawak kereta manual dengan speed 70-80 km/j je hampir sepanjang perjalanan nak keluar Kelantan.

Memang gigih ye Waze carikan laluan alternatif nak mengelak dari bertembung jem yang teruk. Habis segala macam laluan yang ditempuhi - jalan kampung, jalan hutan, jalan bukit - semua Waze bawak kiteorang lalu tempat-tempat tu tau 🤣. Bila dah sampai Bentong memang tak boleh dielakkan lagi terperangkap dalam jem rabak ni. Syukur walaupun jem, tapi kereta still bergerak perlahan sepanjang jalan sampai ke tol Gombak.


Time ni baru keluar dari plaza tol Bentong, sekitar jam 8.40 malam


Akhirnya pukul 10.30 malam selamat sampai ke rumah. Penat tu tak payah cerita la. Tapi dalam penat, seronok tetap ada. Nanti dah kurang sikit penat aku update tentang road trip kiteorang ni ye.

Birthday Lunch BFF Nurul

Jumaat lepas aku keluar lunch date dengan BFF aku, Nurul. Birthday dia baru je berlalu Isnin lepas, jadi tujuan keluar makan ni ialah nak celebrate birthday girl.

Aku tak tau kenapa tapi geng-geng ex-ofismate aku rata-rata ajak keluar makan je mesti nak pergi Two Sons. Aku layankan je la, sebab memang aku suka pun chilli butter clams dekat situ. Mujur masa aku sampai tu tak perlu beratur panjang, mungkin sebab ramai orang WFH Jumaat lepas.

Sementara tunggu kawan-kawan aku turun dari ofis masing-masing, aku pesan Greek salad untuk alas perut sebelum tunggu pesanan utama sampai (chilli butter clams big pot dengan mantou goreng). Sedap Greek salad nya tapi aku rasa feta cheese tu sikit sangat.


Greek salad

Anyway, back to birthday celebration, birthday girl seronok la sebab dapat hadiah tudung kesukaan dan sejadah yang cantik. 


Nurul ni boleh geng dengan mak aku, peminat Bokitta

Member seorang lagi belanja brownies with ice cream untuk birthday cake

Macam biasa wajib ambik gambar sebelum dieorang balik ke ofis


To my BFF, happy birthday yayunk! Semoga sentiasa ceria, sentiasa happy-go-lucky, sentiasa murah rezeki, diberikan kesihatan yang baik dan kebahagiaan yang berkekalan. Ameen Ya Rabbal Alameen!


Happy birthday BFF Nurul!

By the way, aku pakai tudung pemberian Anies. Sweet sangat warnanya kan? Suka sebab buat muka aku nampak kurus 🤭. 

Selamat Hari Malaysia!

Tahun ni tarikh 16 September special sikit sebab ada dua cuti umum yang jatuh pada tarikh yang sama iaitu Maulud Nabi dan Hari Malaysia. Alhamdulillah, company Suami Terchenta bagi 2 hari cuti berturut-turut iaitu Isnin dan Selasa. Barulah syok sikit boleh jalan-jalan keluar KL 🤭.

Tapi sebelum tu, marilah kita menghayati sejarah Hari Malaysia.

Pada 16 September 1963, sebuah persekutuan telah ditubuhkan dan lahirlah gabungan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak (dan Singapura) untuk membentuk sebuah negara iaitu Malaysia.

Sebagai rakyat Malaysia, kita kena hargai sejarah penubuhan Malaysia sebab masa tu sangat la mencabar dan bukan sedikit tentangan terhadap hasrat Tunku Abdul Rahman untuk menggabungkan Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak. Pemimpin-pemimpin negara jiran rata-rata tak setuju dengan penubuhan Malaysia sebab merasakan ianya satu ancaman. Bukan tu je, pemimpin-pemimpin tempatan di Sabah dan Sarawak pun ambil langkah berwaspada dengan menetapkan memorandum untuk melindungi kepentingan Sabah dan Sarawak yang dipersetujui bersama (Perjanjian Malaysia 1963). Which is understandable, sebab masa tu Persekutuan Tanah Melayu masih baru ditubuhkan dan Sabah dan Sarawak tak berapa kenal lagi pun dengan pemimpin-pemimpin Tanah Melayu. Tapi semuanya berjaya diatasi secara diplomatik dan lahirlah negara Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya, bangsa dan kaum.


bendera Sarawak
Proud Malaysian & proud Sarawakian...


Bercakap tentang kepelbagaian budaya, baru-baru ni sekolah Khayla menganjurkan majlis penutupan bulan kebangsaan dan menggalakkan para pelajar datang ke sekolah dengan pakaian tradisional. Kebetulan aku ada baju tradisional Melanau, jadi aku pun suruh dia pakai baju Melanau siap dengan topi terendak Melanau ni.


pakaian tradisional Melanau perempuan
Khayla posing sebelum ke sekolah

Tak sangka petang tu dia balik sekolah dan bagitau dia terpilih sebagai pemenang pakaian tercantik! Alhamdulillah, rezeki Khayla dapat wang sebanyak RM25 dari pihak sekolah 👏🏻👏🏻.



Dapat anugerah pakaian tercantik sebab unik kot. Pelajar lelaki yang dapat anugerah pakaian tercantik siap pakai baju melayu lengkap dengan tengkolok

Masalahnya anak aku ni kan, bila cikgu tanya, "Topi apa yang awak pakai tu?" Dia boleh jawab, "Tak tau, Cikgu." Padahal aku dah explain sebelum dia turun ke sekolah 🤦🏻‍♀️. Adoi la anak! Penting kita tahu budaya kita sendiri, tau. 

Selamat Hari Malaysia kepada semua rakyat Malaysia! Siapa lagi nak bangga dengan keunikan dan kepelbagaian negara kita kalau bukan kita sendiri? 😄