Road Trip Cuti Sekolah: Kuala Terengganu (Part 4)

Sambungan dari sini:



Akhirnya selepas mengharungi perjalanan selama 4 jam lebih, kiteorang pun sampai ke Kuala Terengganu:


Kuala Terengganu
Selamat datang ke Kuala Terengganu

Perkara pertama kiteorang nak buat ialah solat jamak di Masjid Kristal. Masjid ni terletak dalam kawasan pelancongan Taman Tamadun Islam di Pulau Man Wan Kuala Terengganu.


Kuala Terengganu
Gerbang masuk ke Taman Tamadun Islam

Kuala Terengganu
Replika Dome of the Rock (Kubah As-Sakhrah) dalam Taman Tamadun Islam boleh nampak dari tepi jalan menuju ke Masjid Kristal

Dari luar masjid ni nampak tersergam indah dengan senibina yang unik. Sedikit fakta tentang Masjid Kristal - ruang solat dalam masjid ni boleh menampung seramai 700 jemaah pada satu-satu masa. Ia merupakan masjid pintar pertama di Malaysia. Diberikan nama Masjid Kristal sebab salah satu bahan utamanya ialah kristal selain dari kaca dan keluli.


Kuala Terengganu
Bergambar kenang-kenangan di depan Masjid Kristal. Masa ni tak gigih sangat nak bergambar sebab Khadeeja dah lapar, sebab tu mukanya masam je dalam gambar 😅

Ingatkan nak singgah di Taman Tamadun Islam sebab dah alang-alang kat kawasan tu kan, tapi sebab kiteorang sampai akhir dan taman tu akan ditutup dalam setengah jam lagi, jadi kiteorang tangguh rancangan tu keesokan harinya. 

So next destination - Pasar Kedai Payang. Niat nak beli kain untuk buat baju kurung batik Terengganu. Bila sampai sini, baru tau ada Pasar Kedai Payang lama dan baru.


Kuala Terengganu
Pasar Kedai Payang (lama)

Kuala Terengganu
Tak banyak kedai yang masih bukak mungkin sebab kiteorang sampai agak lewat. Dekat sini ada jual pelbagai jenis kekacang, produk makanan laut dan makanan tempatan

Kiteorang pusing sekejap dalam Pasar Payang lama lepas tu bergerak ke Pasar Payang baru pulak. 


Kuala Terengganu
Tak jauh dari Pasar Payang lama ialah kompleks Pasar Payang baru

Dalam ni pun tak banyak kedai yang masih bukak. Dekat ground floor mostly kedai emas dan kedai menjual cenderamata. Nasib baik dekat tingkat atas kedai yang menjual tekstil kain batik Terengganu dan pakaian seperti t-shirt cenderahati dan baju kelawar batik banyak yang masih dibuka. Atas ni memang ramai la yang pengunjung yang sibuk membeli-belah walaupun masa tu dah agak petang jugak la.


Kuala Terengganu
Kedai di tingkat satu masih menjadi tumpuan pengunjung Pasar Payang baru

Kuala Terengganu
Dekat luar pulak ada menara jam. Masa ni dah pukul 6 petang tapi masih ramai lagi yang berlegar-legar dan berkunjung ke Pasar Payang baru

Aku beli kain pasang batik Terengganu untuk buat baju kurung untuk mak dan sepasang blouse corak batik untuk aku. Mula-mula ingatkan nak beli 2 pasang kain batik Terengganu tapi tak jadi sebab takde beza pun aku beli sepasang atau dua pasang kain - peniaga tu taknak berganjak pun nak bagi diskaun, tetaplah RM10 je diskaun 😅. Aku ke yang tak pandai tawar-menawar? Hehe. Aku husnuzon je la - mungkin dia bukan owner kedai so dia tak berani nak bagi diskaun lebih-lebih. Bagus jugak, jimat duit aku 🤭.

Lepas shopping di Pasar Payang, kiteorang beli keropok lekor dan air kelapa dari gerai depan pasar dan duduk di tepi water front sambil menikmati keropok lekor yang sedap dan air kelapa yang sejuk. Masa ni aku rasa sedih betul la tengok sekeliling sebab sampah merata-rata. Tong sampah melimpah-ruah pun masih lagi orang nak buaang sampah dekat tepi tong sampah. Bila buang tepi tong sampah, habis la berterbangan beg plastik yang dibuang tu. Aku pesan dekat anak-anak lepas makan bawak balik je sampah, nanti buang kat homestay

Sayang betul, negeri dah cantik tapi dicemari dengan sampah. Dekat Masjid Kristal tu pun sama, tong sampah sampai melimpah-ruah dengan sampah. Aku rasa majlis perbandaran KT kena buat inisiatif, musim cuti sekolah dan di kawasan tempat pelancongan padat dengan pelancong, kena kerap buat kutipan sampah atau sediakan tong sampah lebih besar. Peniaga pun sepatutnya sediakan tong sampah jugak atau kurangkan penggunaan beg plastik. Sama-sama jaga kebersihan. Agak sayang imej bandar KT tercemar sebab banyak sampah. Itu pemerhatian aku la sepanjang berada di KT.


Kuala Terengganu
Tak sempat nak berjalan-jalan di waterfront sebab dah masuk waktu Maghrib, jadi kiteorang kena gerak cari lokasi homestay

Di KT, kiteorang duduk di homestay kepunyaan kawan aku. Harga semalam RM320, homestay luas, bersih dan selesa. Ada 4 bilik tidur dan 3 bilik air. Dapur lengkap, ada mesin basuh, ada TV, sofa, meja makan. 2 buah keluarga pun boleh muat ni, sebab ada tilam jugak boleh bentang di ruang tamu dan ruang tv di luar. Homestay ni terletak di kawasan Gong Badak. OK la, sebab kiteorang pun cuma nak tidur dan mandi je.

Lepas Maghrib, kiteorang malas nak keluar sebab malam tu hujan lebat. Nak cari tempat makan pun malas sebab masih kenyang lepas makan keropok lekor.  Lagipun kiteorang kepenatan sebab bangun awal pagi tu.

Next entry bersambung esok ye.

Road Trip Cuti Sekolah: Kemaman (Part 3)

Sambungan dari sini:



Dari Cherating kiteorang menuju ke Kuala Terengganu pulak. Masa ni kenderaan menghala ke KT tak sesibuk kenderaan menghala ke Kuantan. Sepatutnya kalau ikut Google Maps nak sampai ke KT tu dalam 2 jam setengah lebih kurang gitu la, tapi cuti sekolah ni tak boleh pakai estimate Google Maps tu. Kena pakai Waze jugak lebih tepat. Ikut Waze, dalam 4 jam jugak perjalanan ke KT.


Terengganu
Selamat datang ke Terengganu...

Dah lama betul aku tak ke Terengganu. Dulu sebelum Khadeeja lahir, aku selalu outstation ke ofis region di Kerteh nun. Dah banyak perubahan aku tengok. Dulu kalau ke Kerteh, aku akan bermalam di Awana Kijal Resort, hotel paling dekat dengan bandar Kerteh. Sekarang dah jadi Resorts World Kijal. Dah banyak tempat makan kiri kanan jalan.

Sebelum sampai ke Kuala Terengganu kiteorang berhenti sekejap di Kemaman untuk makan tengahari di Kedai Kopi Klasik Kemaman. Tempat ni kakak aku yang rekemen. Kalau tengok dari luar, memang klasik sungguh tempat ni - bangunan papan kayu dengan atap zink. Papan tanda nama kedai pun guna zink berkarat. Rustic gitu. 


Kedai Kopi Klasik Kemaman
Kedai Kopi Klasik Kemaman

Time kiteorang sampai tu cun pukul 12 tengahari. Jadi memang full house la tempat ni. Tapi nasib kiteorang baik, ada orang bangun dan kiteorang pun dapat la meja dalam kedai ni.


Kedai Kopi Klasik Kemaman
Simple je deko dalam kedai ni. Lantai pun lantai simen. Dalam agak berbahang sebab atap zink tapi ada banyak kipas jadi boleh tahan lagi la

Ni memang betul-betul vibe retro macam dekat Kuantan Pickers & Kedai Kopi jugak. 


Kedai Kopi Klasik Kemaman
Kedainya ada dua lot dan tengah-tengah tu ada kawasan open air bawah pokok pun ada meja jugak tapi penuh dengan pelanggan

Kedai Kopi Klasik Kemaman
Meja makan ala-ala kedai kopi kampung dulu-dulu. Dinding dihiasi dengan poster klasik

Nama je kedai kopi klasik, tapi menunya ada Western jugak. Memandangkan anak-anak masih kenyang dan cuma nak minum je, jadi aku dan Suami Terchenta order sepinggan prawn aglio olio je untuk dikongsi berdua. 


Kedai Kopi Klasik Kemaman
Menu di Kedai Kopi Klasik Kemaman. Kopi butter tu macam menarik!

Kedai Kopi Klasik Kemaman
Aglio olio kat sini memang authentic, bukan aglio olio Melayu. Ni memang style western, sis approved 👍🏻

Kedai Kopi Klasik Kemaman
Yang penting matcha ni sedap tak manis sangat dan tak pahit sangat. Sis approved sekali lagi 😄

Kalau singgah ke Kemaman, boleh la cuba kedai kopi ni lagi. Cuma aku agak kecewa sebab takde menu lokal - keropok lekor atau nasi dagang / nasi kerabu. Terlambat baca mesej kakak aku, hari tu dieorang singgah Kemaman jugak dan makan di Warung Kopi Roda Kemaman. Next time boleh la singgah kot.

Sekali Servis Kereta, Mak Aih...

Sebelum kiteorang bertolak road trip ke Pantai Timur, Suami Terchenta decide nak hantar kereta ke bengkel untuk servis dulu. Yalah, bila nak berjalan jauh ni, kena pastikan kenderaan kita selamat supaya tak berlaku kerosakan dalam perjalanan kelak.

Kali ni Suami Terchenta tak nak hantar ke pusat servis Proton sebab last time kiteorang hantar kereta servis kat situ, perkhidmatan agak kurang memuaskan. Kalau hantar servis kereta di pusat servis Proton, kena bagitau secara detailed suruh periksa apa-apa, kalau tak takdenya la dieorang ada inisiatif nak periksa. Takde dalam SOP kot. Lepas tu bila suruh periksa kenapa lampu 'check engine' kiteorang menyala, boleh pulak dieorang kata kena tinggalkan kereta berhari-hari dekat situ sebab dieorang kena bukak segala macam dalam enjin tu nak periksa masalah tu. Sudahnya kiteorang cari je bengkel luar untuk servis kereta dan periksa masalah lampu 'check engine' tu.


Proton Exora
First time hantar kereta untuk servis di bengkel luar

Tapi bila hantar kereta kat bengkel luar pulak, haaa... terlebih inisiatif kau! 😅 Bukan setakat periksa lampu 'check engine' tu, brake pad, radiator, bateri, coolant semua dieorang periksa lepas tu satu-satu masalah dieorang hantar kat Whatsapp sambil tanya Suami Terchenta nak tukar ke tak?

Rupa-rupanya banyakkkkk masalah kereta kiteorang ni yang Proton tak pernah nak tolong check setiap kali kiteorang hantar servis. Kalau hantar servis kat Proton, dieorang cuma tukar minyak hitam je, kalau suruh check brake pad baru tukar brake pad. So segala macam masalah mak nenek yang lain dieorang tak pernah nak check kalau kita tak mintak dieorang check kan.

Jadi seharian tu Suami Terchenta dapat whatsapp dari mekanik - radiator bocor, hos radiator bocor, brake pad tayar belakang dah haus dan ada satu benda ni aku lupa tapi Suami Terchenta tunjuk satu paip ni sampai berlumut ye. End up 4 angka jugak la kena keluarkan kos untuk repair segala macam kerosakan yang accumulated over the years... Berpinar-pinar mata kiteorang dibuatnya 😵‍💫. Yalah, usia kereta kiteorang ni lebih tua dari umur Khadeeja (more than 12 years). Jadi macam-macam la dalam tu yang dah worn out kan. Cuma kalau la pusat servis Proton periksa benda-benda ni dan bagitau kiteorang apa yang kena tukar setiap kali kiteorang hantar kereta untuk servis, aku rasa takde la sekali harung kena keluarkan duit untuk repair / tukar benda-benda ni semua huhu...


Proton Exora
Kereta ni jarang-jarang bagi masalah tapi sekali dia 'sakit', fuhh...

Dan guess what, masalah 'check engine' tu sekejap je dia detect dan betulkan. Dia tukar fius kalau tak silap. Setel masalah. 

Mujur bulan ni Suami Terchenta ada rezeki lebih sikit untuk cover kos repair kereta ni kalau tak mau cancel terus road trip kiteorang sebab tetiba bajet lari kan huhu...

Suami Terchenta kata lepas ni dia akan hantar servis kereta dekat bengkel ni je. Lagi puas hati sebab lebih teliti dieorang check kereta. Pagi hantar, petang dah boleh ambik dan semua masalah setel. Lagipun semua benda boleh buat kat bengkel ni dari tukar tayar, minyak hitam, bateri sampai la check enjin kereta semua boleh buat di bengkel yang sama. Kira one-stop service centre la. Senang macam ni.

Road Trip Cuti Sekolah: Kuantan & Cherating (Part 2)

Sambungan dari sini:

Sebelum ke destinasi seterusnya iaitu Pantai Cherating, kiteorang singgah di Esplanade Kuantan menikmati pemandangan Sungai Kuantan.


Esplanade Kuantan
Esplanade Kuantan ni mengingatkan aku dengan Esplanade Bintulu. Tempat yang sangat cantik dan selesa untuk beriadah pagi-pagi

Tak sempat nak naik Menara 188 Kuantan ni sebab takde dalam itinerari perjalanan. Mungkin lain kali datang ke Kuantan boleh la naik menara ni.


Menara 188 Kuantan
Ambik gambar berlatarbelakangkan Esplanade Kuantan dan Menara 188. Khayla malas nak ikut jalan-jalan di esplanade sebab mengantuk 😅

Itu je la tempat dalam bandar Kuantan yang sempat kiteorang pergi sebelum bergerak ke Cherating. Sampai di Pantai Cherating, kiteorang park kereta di tempat parking yang disediakan dengan bayaran RM3. Walaupun ramai orang yang berkunjung ke sini tapi tak la sesak, tak macam di Pantai Klebang tempoh hari.


Pahang tourism
Geram tengok pantai yang nampak landai ni, rasa nak terjun laut tapi malas nak salin baju 😅

Kemudahan di sini cukup lengkap dengan tandas awam yang bersih, tempat makan dan ada jugak tapak khemah berbayar di sini. Lain kali boleh la pacak khemah kat Cherating, kata Suami Terchenta.

Disebabkan anak-anak taknak mandi laut, sudahnya kiteorang decide nak bermain ATV je. Ada pakej keluarga dengan harga RM70. Guide bawak masuk trail dalam hutan dan sekitar kawasan tu, sebelum ke teluk pantai sebab kat situ takde orang. Jadi boleh la bermain ATV sepuas-puasnya.


ATV
Masa ni seronok lagi posing ambik gambar atas ATV sebelum kejadian seterusnya 🤭

Cerita yang sedikit kelakar tapi geram jugak masa tu, Suami Terchenta bawak ATV macam orang baru nak ambik lesen L. Habis tersasar dari laluan trail, lepas tu langgar/naik atas dahan mati sampai hampir terbalik ATV kiteorang! Macam nak tercabut jantung aku jadi penumpang kat belakang, asyik terjerit je setiap kali ATV kiteorang senget sebab dia naik kawasan berbukit sikit! Dia asyik tersengih-sengih je setiap kali tersasar dari trail


Pantai Cherating
Antara laluan ATV

Khayla pulak bawak macam orang dah ada lesen penuh 🤣. Khadeeja pun sama, siap boleh drift lagi masa buat U-turn. Masa nak balik tu, aku cakap aku lebih rela naik ATV dengan Khayla dari naik dengan Suami Terchenta! 😂 Suami Terchenta pulak naik ATV yang Khadeeja bawak.


Pantai Cherating
Anak-anak lagi pro bawak ATV dari mak bapak dieorang 🤣

Pantai Cherating
Kenangan tak boleh dilupakan di Pantai Cherating

Road Trip Cuti Sekolah: Kuantan (Part 1)

Dah sedia maklum kalau cuti sekolah je, jalan mesti jem giler. Sudahnya kiteorang tunggu hari Ahad baru gerak. Plan asal nak gerak hari Sabtu tapi tiba-tiba hotel yang aku buat booking tu suruh cancel booking sebab dieorang dah overbooked. Suami Terchenta kata gerak Ahad je la, sebab mana nak cari hotel yang murah dah last minute macam ni.

So Ahad tu kiteorang gerak dari rumah pukul 5 pagi. Plan nak ke Kuala Terengganu dan singgah di Kuantan dan Cherating dalam perjalanan tu. Singgah solat Subuh di R&R Temerloh sebelum meneruskan perjalanan ke Kuantan. Pagi Ahad jalan tak jem jadi kiteorang sampai ke Kuantan dalam pukul 8 pagi. 

Destinasi pertama yang kiteorang tuju di Kuantan ialah Kuantan Pickers & Kedai Kopi untuk sarapan pagi. Kedai ni dibuka seawal jam 7.30 pagi dan bila kiteorang sampai, dah ramai pelanggan yang duduk sambil menikmati sarapan pagi di sini.


Kuantan Pickers & Kedai Kopi
Selalu tengok IG reel pasal tempat ni. Sambil menikmati sarapan pagi, boleh dengar persembahan dari penyanyi busker 

Kuantan Pickers & Kedai Kopi
Masa kiteorang sampai dah ramai orang tapi masih ada lagi meja kosong di bahagian belakang

Kuantan Pickers & Kedai Kopi
Kiteorang dapat tempat duduk di bahagian courtyard belakang kedai ni sebab kat dalam kedai dah penuh

Kat kedai ni ada banyak pilihan sarapan pagi. Kita boleh pilih sama ada nak ambik kuih-muih, nasi lemak dengan bermacam jenis lauk, mee goreng, pulut kuning, roti jala dan macam-macam lagi dari meja di bahagian depan kedai ni, atau pilih dari menu untuk hidangan roti bakar, laksa nyonya, shakshuka, telur separuh masak dsb. Patutla tempat ni famous sebab ada bermacam-macam jenis hidangan sarapan pagi yang ada di sini.


Kuantan Pickers & Kedai Kopi
Rambang mata tengok pelbagai pilihan kuih-muih, nasi lemak, pulut ikan masin dan macam-macam lagi

Akhirnya kiteorang pilih 2 jenis kuih (seri muka dan kuih ketayap), roti bakar dengan mentega dan kaya (Khayla punya), roti goyang (telur separuh masak atas roti dan dihidangkan dengan kaya, aku punya) dan telur separuh masak 2 biji (Khadeeja punya).


sarapan pagi Kuantan
Sarapan pilihan kami di Kuantan Pickers & Kedai Kopi

Suami Terchenta pulak pesan shakshuka Tunisia cicah dengan roti bakar. Aku pesan jugak laksa Nyonya ni sebab curious tak pernah cuba laksa ni.


sarapan pagi Kuantan
Shakshuka dan laksa Nyonya

Overall bagi aku makanannya biasa-biasa je. Cuma mungkin tarikan di sini ialah variety makanan yang dijual - nasi dagang, nasi kerabu, laksam, kuetiaw, nasi lemak, nasi goreng, semua ada. Tak payah susah-susah nak pergi ke 2-3 tempat nak cari hidangan ni untuk sarapan pagi sebab semua ada dekat sini.

Lagi satu hiasan dalam kedai menggamit nostalgia dengan perhiasan-perhiasan antik dalam kedai ni.


Kuantan Pickers & Kedai Kopi
Display action figure dan tin barang-barang zaman atok nenek kita dulu

Kuantan Pickers & Kedai Kopi
Cawan-cawan antik, mesin wang tunai dan telefon antik

Kuantan Pickers & Kedai Kopi
Papan tanda peluang kerja macam dalam cerita P Ramlee 😄

Kuantan food scene
Lain kali ke sini boleh cuba kedai kopi lain pulak