Showing posts with label Bazaar. Show all posts
Showing posts with label Bazaar. Show all posts

Jalan-jalan di MAD Street Cafe, Medan MARA

Hari tu masa aku pergi melawat adik sepupu yang bertugas di booth Sarawak Showcase, aku sempat la jalan-jalan dekat MAD Street Cafe dekat sebelah Medan MARA ni.

Terus rambang mata sis tengok pelbagai makanan viral dan menarik yang dijual di sini! Nasib baik dah kenyang makan mee kampua Sibu, kalau tak mau melayang RM memborong makanan kat sini 😜. Tapi lain kali kalau rajin nak menapak ke Medan MARA lagi boleh la aku singgah ke sini tapau makanan kat sini sebab semuanya nampak menarik!

Jom tengok gerai-gerai yang ada dekat sini:


Medan Mara
Keropok Gemok Pasar Payang ni dah pernah cuba masa dekat KT dulu. Boleh beli kat sini kalau teringin lagi. Ada gerai menjual popia bolognese/carbonara dan big Mac jugak dari Abe Western.


MAD Street Cafe
Yang ni buat aku teringin... nasi kerabu dengan lemak bakar 🤤 Macam tak cukup lagi kolesterol dalam badan tu, nak tambah lagi dengan lemak bakar tu ye Carneyz. Bila nak insaf??

MAD Street Cafe
Bukan makanan lokal je, makanan antarabangsa pun ada.

MAD Street Cafe
Smash burger dengan hot mozzarella stick ni pun menarik jugak. Terliur tengok cheese yang ditarik tu 🤤

MAD Street Cafe
Yang ni mesti kak Nohas suka (jelly viral). Kalau rasa bersalah makan jajan, boleh beli buah potong jugak dari gerai yang sama

MAD Street Cafe
Goreng-gorengan dan apam mini premium. Dua-dua sesuai untuk minum petang

MAD Street Cafe
Baru ku tau meatball pun boleh buat menu gepuk jugak 🤭 First time jumpa kunafa pelbagai perisa

MAD Street Cafe
Kalau Allah bagi sedap tu, Insha Allah sedap. Lain kali boleh cuba. Ada jugak gerai briyani di sini

MAD Street Cafe
Kalau teringin nak mee kolok dan mee kampua, boleh singgah dekat sini sebab rupa-rupanya dieorang memang bukak booth di Mad Street Cafe ni. Tauhu bergedil dan tauhu crispy ni pun menggoda sungguh!

MAD Street Cafe
Makanan Thai dan makanan Indonesia memeriahkan pilihan di sini. Ada jugak gerai kopi dan gerai jus avokado di sini

Sebenarnya ada banyak lagi gerai-gerai menarik di sini. Kalau korang nak tau kena la pergi jalan-jalan di Mad Street Cafe ni jugak 😄. Lokasinya sebelah Medan MARA bertentangan dengan Pertama Complex. Best tau, macam-macam ada kat sini.

Bawak Mak Jalan-jalan di Pekan Sehari Temerloh

Hari kedua lepas mak sampai, kiteorang bawak dia jalan-jalan di Pekan Sehari Temerloh. Mak memang suka pergi pasar pagi, setiap pagi lepas Subuh dia akan jalan-jalan di pasar pagi Bintulu. Jadi bila dia datang ke sini, apa lagi kiteorang bawak la dia pergi pasar pagi terpanjang di Pahang! 🤭


Pekan Sehari Temerloh, pasar pagi terpanjang di Pahang

Seawal jam 7 pagi lagi kiteorang bertolak dari KL ke Temerloh. Perjalanan mengambil masa 2 jam lebih. Sampai sana dalam pukul 9 pagi, nampak dah ramai orang dan jalan pun sesak. Mujurlah masa kiteorang sampai tu, terus nampak parking kosong depan deret kedai tak jauh dari Masjid Temerloh Lama (Masjid Abu Bakar). 


Masjid Abu Bakar / Masjid Temerloh Lama. Ramai jugak yang parking kenderaan di pekarangan masjid

First time sampai ke Temerloh. Cantik dan bersih bandarnya

Mak sampai sini terus mintak ambik gambar untuk kenangan dah sampai ke Temerloh

Eh, terus nampak pempengaruh Cina Muslim dari China ni tengah interview makcik penjual di sini 😅 Akaun IG dia: @eatai_halalfoodie

Pasar pagi ni panjangnya lebih dari 1km kalau tak silap. Memang menarik! Tapi jujurnya kiteorang tak dapat nak cover dari hujung ke hujung sebab terlalu ramai orang. Bukan setakat penduduk tempatan yang berkunjung ke pasar ni, pelancong luar macam kiteorang pun ramai jugak. 


Nasib baik mak pakai topi warna pink terang ni sebab senang nak nampak di celah-celah orang ramai

Pasar pagi ni jadi tumpuan sebab ada macam-macam benda yang dijual di sini dari sayur-sayuran dan bahan dapur, ikan segar, daging segar, kuih-muih, nasi dan lauk-pauk, tempoyak sampai la ke hasil kraftangan, pakaian dan lain-lain.


Kiri: First time jumpa orang jual paku midin di Semenanjung ni. Baru aku tau orang Semenanjung pun makan paku midin tapi dekat Sarawak kiteorang ambik pucuk midin muda je untuk buat sayur tumis makan dengan sambal belacan dan linut 🤤
Kanan: Kulat sisir / cendawan kukur. Tak pernah cuba lagi cendawan ni. Selalu masak apa ye?

Tak sah kalau ke Pahang tak beli puding raja ni

Kuih tradisional dan kuih moden. Gerai jual tempoyak ni jadi tumpuan - ada tempoyak manis, tempoyak masam, pais tempoyak dan sambal tempoyak

Comel giler!

Titik tengah Semenanjung Malaysia ialah di Temerloh. Ada jugak nukilan sejarah awal Pekan Sehari di sini

Dekat 2 jam jugak la kiteorang habiskan masa di Pekan Sehari Temerloh ni. Belinya tak banyak, lebih kepada cuci mata je. Destinasi kiteorang seterusnya ialah ke Kuantan tapi sebelum tu plan nya nak singgah sarapan pagi di Kedai Kesidang. Tapi takde rezeki sebab kedai penuh dan kena tunggu 45 minit. Lagipun masing-masing tak lapar sangat sebab dah beli kuih-muih dan keropok lekor di pasar pagi sebelum tu. Jadi sudahnya kiteorang terus bertolak ke Kuantan.


Lain kali kalau ke Temerloh lagi boleh cuba singgah makan di sini

Road Trip Cuti Sekolah: Kuala Terengganu (Part 4)

Sambungan dari sini:



Akhirnya selepas mengharungi perjalanan selama 4 jam lebih, kiteorang pun sampai ke Kuala Terengganu:


Kuala Terengganu
Selamat datang ke Kuala Terengganu

Perkara pertama kiteorang nak buat ialah solat jamak di Masjid Kristal. Masjid ni terletak dalam kawasan pelancongan Taman Tamadun Islam di Pulau Man Wan Kuala Terengganu.


Kuala Terengganu
Gerbang masuk ke Taman Tamadun Islam

Kuala Terengganu
Replika Dome of the Rock (Kubah As-Sakhrah) dalam Taman Tamadun Islam boleh nampak dari tepi jalan menuju ke Masjid Kristal

Dari luar masjid ni nampak tersergam indah dengan senibina yang unik. Sedikit fakta tentang Masjid Kristal - ruang solat dalam masjid ni boleh menampung seramai 700 jemaah pada satu-satu masa. Ia merupakan masjid pintar pertama di Malaysia. Diberikan nama Masjid Kristal sebab salah satu bahan utamanya ialah kristal selain dari kaca dan keluli.


Kuala Terengganu
Bergambar kenang-kenangan di depan Masjid Kristal. Masa ni tak gigih sangat nak bergambar sebab Khadeeja dah lapar, sebab tu mukanya masam je dalam gambar 😅

Ingatkan nak singgah di Taman Tamadun Islam sebab dah alang-alang kat kawasan tu kan, tapi sebab kiteorang sampai akhir dan taman tu akan ditutup dalam setengah jam lagi, jadi kiteorang tangguh rancangan tu keesokan harinya. 

So next destination - Pasar Kedai Payang. Niat nak beli kain untuk buat baju kurung batik Terengganu. Bila sampai sini, baru tau ada Pasar Kedai Payang lama dan baru.


Kuala Terengganu
Pasar Kedai Payang (lama)

Kuala Terengganu
Tak banyak kedai yang masih bukak mungkin sebab kiteorang sampai agak lewat. Dekat sini ada jual pelbagai jenis kekacang, produk makanan laut dan makanan tempatan

Kiteorang pusing sekejap dalam Pasar Payang lama lepas tu bergerak ke Pasar Payang baru pulak. 


Kuala Terengganu
Tak jauh dari Pasar Payang lama ialah kompleks Pasar Payang baru

Dalam ni pun tak banyak kedai yang masih bukak. Dekat ground floor mostly kedai emas dan kedai menjual cenderamata. Nasib baik dekat tingkat atas kedai yang menjual tekstil kain batik Terengganu dan pakaian seperti t-shirt cenderahati dan baju kelawar batik banyak yang masih dibuka. Atas ni memang ramai la yang pengunjung yang sibuk membeli-belah walaupun masa tu dah agak petang jugak la.


Kuala Terengganu
Kedai di tingkat satu masih menjadi tumpuan pengunjung Pasar Payang baru

Kuala Terengganu
Dekat luar pulak ada menara jam. Masa ni dah pukul 6 petang tapi masih ramai lagi yang berlegar-legar dan berkunjung ke Pasar Payang baru

Aku beli kain pasang batik Terengganu untuk buat baju kurung untuk mak dan sepasang blouse corak batik untuk aku. Mula-mula ingatkan nak beli 2 pasang kain batik Terengganu tapi tak jadi sebab takde beza pun aku beli sepasang atau dua pasang kain - peniaga tu taknak berganjak pun nak bagi diskaun, tetaplah RM10 je diskaun 😅. Aku ke yang tak pandai tawar-menawar? Hehe. Aku husnuzon je la - mungkin dia bukan owner kedai so dia tak berani nak bagi diskaun lebih-lebih. Bagus jugak, jimat duit aku 🤭.

Lepas shopping di Pasar Payang, kiteorang beli keropok lekor dan air kelapa dari gerai depan pasar dan duduk di tepi water front sambil menikmati keropok lekor yang sedap dan air kelapa yang sejuk. Masa ni aku rasa sedih betul la tengok sekeliling sebab sampah merata-rata. Tong sampah melimpah-ruah pun masih lagi orang nak buaang sampah dekat tepi tong sampah. Bila buang tepi tong sampah, habis la berterbangan beg plastik yang dibuang tu. Aku pesan dekat anak-anak lepas makan bawak balik je sampah, nanti buang kat homestay

Sayang betul, negeri dah cantik tapi dicemari dengan sampah. Dekat Masjid Kristal tu pun sama, tong sampah sampai melimpah-ruah dengan sampah. Aku rasa majlis perbandaran KT kena buat inisiatif, musim cuti sekolah dan di kawasan tempat pelancongan padat dengan pelancong, kena kerap buat kutipan sampah atau sediakan tong sampah lebih besar. Peniaga pun sepatutnya sediakan tong sampah jugak atau kurangkan penggunaan beg plastik. Sama-sama jaga kebersihan. Agak sayang imej bandar KT tercemar sebab banyak sampah. Itu pemerhatian aku la sepanjang berada di KT.


Kuala Terengganu
Tak sempat nak berjalan-jalan di waterfront sebab dah masuk waktu Maghrib, jadi kiteorang kena gerak cari lokasi homestay

Di KT, kiteorang duduk di homestay kepunyaan kawan aku. Harga semalam RM320, homestay luas, bersih dan selesa. Ada 4 bilik tidur dan 3 bilik air. Dapur lengkap, ada mesin basuh, ada TV, sofa, meja makan. 2 buah keluarga pun boleh muat ni, sebab ada tilam jugak boleh bentang di ruang tamu dan ruang tv di luar. Homestay ni terletak di kawasan Gong Badak. OK la, sebab kiteorang pun cuma nak tidur dan mandi je.

Lepas Maghrib, kiteorang malas nak keluar sebab malam tu hujan lebat. Nak cari tempat makan pun malas sebab masih kenyang lepas makan keropok lekor.  Lagipun kiteorang kepenatan sebab bangun awal pagi tu.

Next entry bersambung esok ye.

Akibat Terpengaruh Tengok Youtuber Jepun...

Kalau korang suka menonton video Youtube foodie warga asing mencuba makanan Malaysia, mesti korang kenal dengan Youtuber dan pempengaruh sosial berasal dari Jepun, iChang. Kisahnya, satu hari ni Suami Terchenta layan video Youtube iChang dan suami dia, Jimmy pergi ke bazaar Ramadhan di Kampung Baru. Macam-macam la dieorang cuba, semua nampak sedap pulak tu.

Apa lagi aku ni sejenis yang mudah terpengaruh, ajak la Suami Terchenta pergi bazaar Ramadhan Kampung Baru di Jalan Raja Alang. Boleh tengok video dia kat sini:




Bazaar Ramadhan Kampung Baru
Bazaar Ramadhan Kampung Baru

Masa kiteorang pergi ni, masih awal Ramadhan lagi jadi memang sesak dengan orang ramai sebab masing-masing teruja nak tengok makanan apa yang sedap di bazaar Ramadhan. Lepas tu, ada sekali dua la kiteorang pergi lagi sepanjang bulan puasa tapi masa tu dah kurang sesak. Sebab sesak sangat aku pun tak dan nak angkat kamera tangkap gambar sebab akan nampak kepala orang je haha! Maka cepat-cepat beli dan cepat-cepat balik, baru boleh tangkap gambar makanan yang kiteorang beli.


Bazaar Ramadhan Kampung Baru
Chicken ice cream ni ada 2 jenis - yang biasa dan perisa blackpepper. Aku prefer yang biasa

Bazaar Ramadhan Kampung Baru
Nasi ayam goreng kunyit dengan telur mata - sedap tapi harganya buat aku terperanjat (RM13). Sambal pedas giler.

Bazaar Ramadhan Kampung Baru
Ikan patin tempoyak ni pun harga kayangan sungguh (RM17 kalau tak silap), sekali dengan nasi

Bazaar Ramadhan Kampung Baru
Spaghetti bolognese dengan meatball. Khayla kata sedap, tapi tak kena dengan tekak Khadeeja

Bazaar Ramadhan Kampung Baru
Tauhu begedil (RM10). Sedap, isi padat dan sambal cili pun padu

Sekali pergi bazaar Ramadhan, lebih RM50 jugak la habis. Sebab tu kiteorang jarang-jarang pergi melainkan aku tak larat nak memasak. Selebihnya aku lebih suka sediakan sendiri juadah berbuka puasa dekat rumah. Lebih sihat dan jimat gituh...


menu berbuka puasa
Our typical lauk berbuka puasa, masak yang simple-simple janji kena di tekak. Bila masak sendiri, aku jarang tambah garam dan gula dalam masakan sebab dah letak kicap / sos tiram / stok ayam / stok ikan bilis, supaya tekanan darah stabil

Sepanjang bulan puasa ni, korang suka beli di bazaar atau masak sendiri di rumah? Cer komen sikit.

Food Hunting di TAPAK Urban Street Dining

Hari Ahad lepas Suami Terchenta pergi buat sesi kiropraktik, kiteorang pergi ke Jalan TAR sebab aku nak cari tudung. Memandangkan Suami Terchenta masih sakit belakang, jadi kena la shopping cepat-cepat - jumpa je yang nampak elok terus ambik dan bayar kat kaunter. Aku kan peminat tudung sarung instant mak-mak (dulu aku peminat setia tudung jenama Cloverush sebelum dieorang tukar material kain dan bukaan muka tudung jadi sempit dan tak selesa dipakai), tapi lately aku susah nak jumpa tudung yang awning nya kain cotton. Banyak kedai yang jual tudung sarung yang awning nya dari material kain scuba - bila sarung nampak tebal dan jujur cakap, aku memang tak berkenan habis la awning scuba ni. 

Lepas beli tudung, Khayla mengadu lapar. Aku teringat sis Ezna pernah buat entri pasal pergi ke TAPAK Urban Street Dining. Jadi apa lagi, kiteorang pun merempit la ke tapak food truck ni yang terletak bersebelahan dengan Corus Hotel KL.

Kali terakhir aku ke sini tahun 2019 kalau tak silap. Tu pun pergi dengan kawan aku, Jen. Anak-anak pulak kali pertama jejak kaki ke sini. Ralit dieorang tengok bermacam-macam pilihan makanan dari food truck dekat sini.


TAPAK Urban Street Dining
Sebahagian dari gerai dan food truck di sini

TAPAK Urban Street Dining
Macam-macam pilihan yang ada dari menu tempatan sampai la menu antarabangsa

TAPAK Urban Street Dining
Tempat duduk yang selesa disediakan dan tong sampah diletakkan di sekeliling kawasan tempat makan untuk memudahkan pengunjung buang sisa dan makanan lepas makan

Aku dan Khayla pesan mac and cheese dari dua food truck berbeza sebab saja nak rasa dan buat perbandingan (lepas rasa dua-dua versi ni, aku rekemen beli dari food truck bersebelahan dengan food truck otak-otak sebab versi mac and cheese dieorang guna keju monterey jack yang lebih sedap). Khadeeja pulak pesan cheesy meatball dan curly fries. Suami Terchenta pesan chicken chop dan otak-otak. Alhamdulillah semuanya sedap-sedap. 


TAPAK Urban Street Dining
Makan malam di tempat terbuka berlatang belakangkan Menara Berkembar Petronas

TAPAK Urban Street Dining
Dessert - churos bersalut coklat

TAPAK Urban Street Dining
Zaman aku belajar dulu, otak-otak ni baru 30 sen sekeping. Sekarang harganya RM2 sekeping dan isi pun tak tebal sangat 🥲

Oh ya, kat sini ada kemudahan tandas dan surau. Kalau tak sure kat mana, boleh tanya pekerja kat situ.


TAPAK Urban Street Dining
Alamat: Persiaran Hampshire, off, Jalan Ampang, Hampshire Park, 50450 Kuala Lumpur (sebelum Corus Hotel)
Masa Operasi: 5 petang - 12 malam

Ee Ji Ban - Kedai Chicken Rice Ball Halal di Melaka

Balik dari kenduri SA, kiteorang meneruskan perjalanan ke Melaka untuk menghabiskan cuti sekolah di Melaka. Suami Terchenta dah kebah dari demam jadi dia kata nak bawak anak-anak bercuti sebab sepanjang cuti ni dieorang terperap di rumah je. 

Sampai di Melaka dan lepas check-in hotel, tau-tau Suami Terchenta tertidur pulak jadi tak dapat la berjalan-jalan di sekitar bandaraya. Mungkin badannya masih perlukan rehat lepas kebah dari demam. Tak pelah, kita staycation dalam bilik je macam tu hehe.

Sebelah malam kiteorang keluar untuk makan malam (waktu vacation ni stop sekejap IF, kalau tak rugi tak dapat JJCM! 😝). Kali ni kiteorang tak mencari asam pedas tapi mencari kedai nasi ayam Ee Ji Ban.

Haa… apa yang best kat situ? Tentulah menu bebola nasi ayam. Nasi ayam kat sini dihidang dengan cara yang unik iaitu dalam bentuk bebola.


Ee Ji Ban
Bebola nasi ayam

Sapa yang tengah jaga portion makan tu memang elok sangat makan nasi ayam kat sini hehe. 5 ketul ni bersamaan dengan 5 sudu nasi. Kalau tengah diet makan la 2 ketul = 2 sudu je. Selebihnya aku bagi dekat Khadeeja sebab dia berselera betul makan bebola nasi ayam ni. Siap tambah sepinggan bebola nasi lagi!


Ee Ji Ban
Set bebola nasi ayam datang dengan sepinggan ayam panggang / stim. Aku tambah baby kailan sebab kiteorang wajib ada sayur setiap kali makan

Aku tau tempat ni sebab Fanny pernah share dekat IG story kalau tak silap. Lagi satu, tempat ni pun masuk dalam senarai tempat makan halal terbaik di Melaka oleh HHWT. Memandangkan waktu malam seboleh-bolehnya aku nak cari makanan yang tak berapa berat dan berminyak, jadi Ee Ji Ban la yang memenuhi kriteria tu.


Ee Ji Ban
Polisi halal yang terpampang dalam kedai makan

Melaka
Dari luar nampak macam kedai nasi ayam Cina biasa

Ee Ji Ban
Siap frame lagi gambar artis yang pernah singgah makan kat sini

Mungkin sebab nasi ayam ni bentuknya unik, anak-anak berselera betul makan. Siap declare nasi ayam kat sini terbaik dan paling sedap dieorang pernah makan 😆 Bagi aku pulak, ok la sedap tapi aku prefer lagi nasi ayam biasa sebab yang ni bebola nasi yang dihidang tu dah sejuk. Kalau nasi ayam biasa, biasanya bila datang kat meja masih panas-panas lagi. Satu lagi, takde sup tapi kalau nak boleh order asing  (kena bayar ekstra). Aku suka sambil makan nasi ayam, hirup sup panas-panas. Rasa tak lengkap pulak makan nasi ayam tanpa sup.

Kalau korang tak pernah lagi cuba bebola nasi ayam di Melaka dan teringin nak mencuba, boleh la datang ke kedai Ee Ji Ban. Lepas tu boleh kongsi komen korang pulak.


Ee Ji Ban
Alamat: 275, Jalan Melaka Raya 3, Taman Melaka Raya, Melaka
Waktu Operasi: 10 pagi - 9.30 malam (Isnin - Ahad)
Waze: Ee Ji Ban