Sunday, June 18, 2023
Malaysia Airlines Bakal Menamatkan Kontrak Katering Dengan Brahim's Holdings Berhad
![]() |
Makanan yang disajikan dalam penerbangan MAS KUL-KCH |
Ada desas-desus mengatakan Malaysia Airlines (MAS) bakal menamatkan kontrak katering dengan Brahim's Holdings Berhad menerusi Brahim's Airline Catering Sdn. Bhd. (BAC) yang telah terjalin selama lebih dari 25 tahun, menurut New Straits Times.
Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines dikhabarkan akan mengendalikan sendiri perkhidmatan katering dalam penerbangan bagi syarikat penerbangan nasional itu menerusi unit dalaman mereka, MAS Awana.
Kemelut antara MAG dan BAC berpunca daripada klausa penamatan kontrak dalam kontrak baru yang sepatutnya ditandatangani kedua-dua syarikat. Ini mengakibatkan BAC menghantar surat kepada MAG memaklumkan bahawa BAC tidak berminat memperbaharui kontrak apabila kontrak sedia ada tamat.
Pengarah Urusan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail memberitahu NST bahawa MAG bercadang melaburkan rizab tunai syarikat untuk memindahkan sebahagian perkhidmatan kepada dalaman (in-house) dan melantik vendor pihak ketiga yang baru. Keputusan ini dibuat kerana MAS merasakan reputasi mereka terjejas akibat prestasi pembekal perkhidmatan mereka yang tidak memuaskan.
Sumber: NST
Nota kaki:
Dah tiba masanya MAS buat sesuatu tentang in-flight meals yang saban tahun makin merosot. Sampai Chef Wan pun pernah kritik nasi lemak MAS tak melambangkan langsung identiti makanan kebangsaan kita yang sepatutnya dibanggakan. Aku setuju dengan komen Chef Wan (baca komen aku di sini), 20 tahun dulu aku suka makanan dalam penerbangan MAS tapi sekarang aku tengok pun tak berselera. Satu je makanan yang aku suka dalam MAS - kacang tanah dalam peket kecik tu hehe.
MAS sepatutnya mencontohi syarikat penerbangan antarabangsa yang lain yang terkenal dengan inovasi dan inisiatif dalam menampilkan pengalaman kulinari terbaik dalam penerbangan mereka. Antaranya ialah Singapore Airlines, Qatar Airways, Emirates, ANA (All Nippon Airways) dan Etihad Airways.
Harapnya lepas ni MAS muncul dengan menu dalam penerbangan yang lebih sedap dan setanding dengan syarikat penerbangan luar negara yang lain. Sebagai syarikat penerbangan negara (national air carrier) yang membawa imej Malaysia di mata dunia, MAS semestinya bertanggungjawab menyajikan makanan Malaysia yang terbaik dalam penerbangan yang mampu menarik minat orang dari luar negara untuk datang ke Malaysia semata-mata menikmati makanan di Malaysia yang terkenal sebagai syurga makanan.