Makan Tengahari di Rasa Nusantara by The Majapahit

Salam Isnin semua,

Cuti sekolah akhirnya bermula. Korang ada plan ke mana-mana ke cuti ni? Suami Terchenta asalnya nak ambik cuti sebab cutinya banyak lagi tapi macam biasa, end up tak jadi huhu. Ada isu di ofis yang kena setel katanya. 

Sabtu lepas hari sukan sekolah Khadeeja berlangsung di UIA Gombak. Lepas hari sukan tamat, perut terasa berkeroncong sebab sepatutnya aku habis IF pukul 11 pagi tapi majlis penutup pulak terlajak sampai pukul 1 tengahari. Suami Terchenta tanya nak makan apa? Aku berseloroh, 'Jom cari nasi padang.' Padahal tak pernah pun makan nasi padang sebelum ni.

Tak sangka pulak Suami Terchenta betul-betul Google restoran nasi padang. Yang paling dekat di Melawati Mall, jadi dia bawak makan kat sana. 

Restoran Rasa Nusantara by The Majapahit rupa-rupanya baru je dibuka pertengahan Ogos. Masa kiteorang sampai ada promosi beli 2 percuma 1 lauk.


Melawati Mall KL
Rasa Nusantara by The Majapahit terletak di tingkat 3 Melawati Mall


Selama ni aku teragak-agak nak cuba makanan Indonesia sebab sangkakan makanan dari seberang semuanya pedas-pedas macam sambal ayam penyet. Tapi lepas mencuba lauk nasi padang kat sini, eh takde la pedas sangat. Lebih kurang lauk-pauk kat Malaysia je.


Rasa Nusantara by the Majapahit
Antara lauk-pauk yang dijual

Lepas belek-belek menu, akhirnya kiteorang pilih menu ikan tilapia terbang goreng, gulai urat keting lembu, keli bakar dan terung balado. Suami Terchenta juga memesan teh botol untuk minuman.


Rasa Nusantara by the Majapahit
Ikan tilapia terbang goreng - rangup di luar tapi lembut isinya, dipadankan dengan sambal kicap manis

Rasa Nusantara by the Majapahit
Keli bakar dengan sos kacang, ala-ala kuah sate sikit rasanya

Rasa Nusantara by the Majapahit
Sambal terung balado - sayang cilinya dipotong besar-besar sebab confirm aku tak makan. Lebih suka versi cili ditumbuk kasar 

Rasa Nusantara by the Majapahit
Gulai urat keting ni kesukaan aku

Alhamdulillah makanan kat sini sedap-sedap semuanya. Portion lauk agak banyak dan sesuai untuk 2-3 orang berkongsi makan.

Overall, puas hati mencuba makanan padang di sini. Boleh repeat lain kali bila teringin makanan padang lagi.

On Mom's Duty Today

Semalam cikgu Khadeeja mintak tolong a few parents untuk menghantar beberapa orang murid dan cikgu ke raptai hari sukan sekolah pagi tadi sebab pihak sekolah ada masalah pengangkutan. Kebetulan aku pun nak keluar ada urusan di PJ, jadi aku pun setuju.


Pakai smart sikit sebab ada urusan di PJ lepas hantar budak-budak tu

Kat manakah latihan raptai hari sukan sekolah dibuat? Jeng.. jeng.. jeng! Hint: salah seorang rakan blogger ialah pensyarah di sini. 



Yaaaa... pagi tadi kita melawat kawasan Mama Zharfan 😅. Tapi tak dan nak ajak MZ jumpa sebab pagi tadi memang plan nak drop off lepas tu terus gerak ke PJ.


Ambik gambar sekejap lepas tu terus gerak

Selesai urusan di PJ, ada sejam lagi sebelum raptai habis jadi singgah makan kat kedai mamak dulu sebab dah cukup 16 jam berpuasa.


Ambik sesenduk nasi, 3 jenis sayur dan 2 biji telur rebus bersambal - semuanya RM10.50

Esok pagi kena bertolak awal sebab kena ada kat kompleks sukan jam 7.30 pagi. Lepas hari sukan, cuti sekolah yeeeaayyyy!

Sunyinya Rumah Bila Khayla Join Karnival Briged Bakti Malaysia

Baru-baru ni Khayla terpilih mewakili sekolah untuk program Karnival Briged Bakti Malaysia yang dibuat di salah sebuah hotel di Chow Kit. Program ni berlangsung 3 hari dan peserta diwajibkan bermalam di hotel tu sebab kena join aktiviti program dari pagi sampai ke malam.

Pagi Selasa tu kiteorang hantar Khayla ke sekolah berkumpul dengan peserta-peserta yang lain sebelum dieorang dibawa ke hotel. Sebelum meninggalkan Khayla, aku pesan kat dia supaya sentiasa update lokasi dia berada memandangkan pelajar dibenarkan bawak h/p. Biasalah mak yang tak pernah berpisah dengan anak ni memang risau memanjang je nak melepaskan anak lagi-lagi anak dara padahal bukan jauh mana pun, kat Chow Kit je 😆.


Briged Bakti Malaysia
Mula-mula sampai sana elok je Khayla update aku tapi lepas tu lupaaa.... Mak dia kena mesej banyak-banyak kali tanya baru jawab 😂

Ada seorang classmate Khayla yang terpilih join program ni jugak lepas tu dapat pulak bilik sama dengan Khayla, so takde la risau sangat.

Malam pertama Khayla takde kat rumah, sunyi rumah kiteorang macam dilanda garuda. Biasanya malam-malam bising dengan suara dua beradik ni sakat-menyakat tak pun bergaduh mulut. Aku sebagai mak yang clingy ni kejap-kejap mesej tanya buat apa, kat mana, dengan siapa. Malam pertama tu aktiviti dieorang ialah mengedarkan pek makanan dengan gelandangan KL. Dah nama Bridged Bakti, kenalah berbakti kepada masyarakat kan 😊.


Briged Bakti Malaysia
Gambar esok pagi masa sarapan yang Khayla hantar

Hari kedua pulak, dieorang mengikuti kursus pertolongan kecemasan. Zaman aku sekolah dulu, asas pertolongan kecemasan ni cuma diajar kat budak-budak yang join Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) je. Bagus kursus ni diajar kat budak-budak sekolah sebab bermanfaat dalam situasi kecemasan. Cuma harap-harap dieorang ingat apa yang dipelajari 😅.


Briged Bakti Malaysia
Nampak kemas ikatan kain anduh yang Khayla buat tu, good job! 👏🏻👏🏻

Hari ketiga lepas sarapan pagi peserta berkemas dan bersedia untuk daftar keluar hotel. Lepas tu berkumpul dan buat recap balik aktiviti-aktiviti yang dieorang buat selama 2 hari tu. Akhir sekali bergambar dan makan tengahari sebelum dihantar balik ke sekolah. Hari ketiga tu akulah orang yang paling happy sebab dah boleh ambik Khayla pulang ke rumah. Adoi, camane la nak melepaskan anak belajar ke kolej / universiti bila habis sekolah menengah nanti! 😅

Bilakah Perlu Qada' Solat Lepas Waktu Berhenti Haid?

Kredit foto: IG @bidadarihouse


Pada hukum asal, wanita yang kedatangan haid tidak wajib melaksanakan solat. Ini kerana haid adalah perkara yang mani' (penghalang) bagi kewajiban solat. Dalilnya adalah hadis Fatimah bin Abu Hubaisyah R.Anha bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَةُ فاترُكي الصَّلاَةَ، فإِذَا ذَهَبَ قدرها فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى
Maksudnya: “Ketika kedatangan haid, hendaklah kamu tinggalkan solat. Maka apabila tempohnya sudah berlalu hendaklah kamu mandi membersihkan diri daripada darah, dan dirikanlah solat.”
Riwayat al-Bukhari (236) dan Muslim (333)

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam mensyarahkan hadis ini: “Telah bersepakat para ulama bahawa ke atas wanita itu tidak ditaklifkan (diwajibkan) untuk bersolat dan tidak ditaklifkan untuk menggantikannya.” Rujuk Syarh Sahih Muslim (4/22-23)

Solat yang ditinggalkan sewaktu haid tidak perlu digantikan apabila wanita itu suci. Ini kerana haid merupakan ketetapan yang telah Allah ﷻ jadikan bagi wanita. Ini berdalil hadis yang diguna pakai adalah hadis Aisyah R.Anha:

كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ، فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ، وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Perkara itu (yakni haid) adalah (ketetapan) yang ditimpakan ke atas kita (kaum wanita). Maka kita diarahkan untuk menggantikan puasa (kerana haid) dan tidak diperintahkan untuk menggantikan solat (fardu yang ditinggalkan pada waktu haid)."
Riwayat Muslim (335)

Berkata Imam al-Nawawi lagi: “Sesungguhnya solat itu banyak dan berulang-ulang maka akan menyusahkan wanita untuk menggantikannya, berbeza dengan puasa, yang diwajibkan dalam setahun itu sekali sahaja, dan mungkin seseorang wanita itu haid hanya satu atau dua hari sahaja. Berkata ashab kami (ulama Syafieyyah) setiap solat yang luput pada zaman haid tidak diqadhakan melainkan dua rakaa (solat sunat) tawaf.” Rujuk Syarh Sahih Muslim (4/26)

Kaum wanita juga tidak dibenarkan untuk tergesa-gesa untuk mandi bagi solat dan berhubungan kelamin sebelum darah haid benar-benar berhenti ini. Ini ditekan oleh Saiyidatina Aisyah R.Anha dalam Sahih al-Bukhari (1/171) dan al-Muwatta’ (189):

كَانَتْ النِّسَاءُ يَبْعَثْنَ إلَى عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا بِالدُّرْجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ مِنْ دَمِ الْحَيْضِ فَتَقُولُ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ تُرِيدُ بِذَلِكَ الطُّهْرَ مِنْ الْحَيْضَةِ
Maksudnya: "Dahulu, para wanita datang menemui Aisyah R.Anha dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yakni yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah berkata kepada mereka, “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.”

Dalam riwayat Imam Malik, diceritakan bahawa wanita-wanita tersebut sangat memberatkan diri dalam urusan agama sehingga mereka membawa pelita pada waktu malam berjumpa dengan Ummul Mukminin untuk memeriksa yang mereka sudah suci atau belum. Berkata Imam Ibn Abdil al-Barr Rahimahullah: “Ertinya Aisyah berkehendak agar kamu semua (kaum wanita) jangan terburu-buru untuk mandi wajib jika kamu nampak warna kekuningan, kerana itu adalah baki haid sehingga kamu nampak al-qossoh al-baido’ yakni cecair putih yang dikeluarkan oleh rahim (atau berdekatan dengan rahim) tatkala putusnya darah haid.” Rujuk al-Istidzkar (1/325)


Kaedah Menggantikan Solat Bagi Wanita Berhaid

Berkenaan kaedah mengqadakan solat bagi wanita, para ulama meletakkan dua kaedah berikut. Kaedah Zawal al-Mani` (Hilangnya Penghalang)

Berkata Imam al-Nawawi:

“Sekiranya berbaki pada waktu kadar takbiratulihram dan lebih, yang tidak sampai kadar satu rakaat, maka terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling sahih dengan sepakat Ashab, wajib ke atasnya solat berkenaan kerana dia sempat mendapat satu bahagian daripadanya sama seperti hukum sempat mendapat solat Jamaah.” Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzdzab (3/65)

Apabila hilangnya mani’ (penghalang solat, seperti haid, dan gila) sedangkan berbaki masa sebelum habisnya suatu waktu solat kadar takbiratul ihram dan lebih (satu lahzah dan lebih), maka wajib diqadakan solat itu. Begitu juga solat sebelum itu wajib diqada' jika solat itu daripada jenis yang boleh dijamak dengannya. Kita lihat contoh dengan dua gambaran:

a) Sekiranya haid tamat pada waktu solat Asar, maka wajib ke atasnya untuk menunaikan solat Asar dan mengqadakan solat Zuhur.
b) Sekiranya haid tamat pada waktu solat Isyak, maka wajib ke atasnya untuk menunaikan solat Isyak dan mengqadakan solat Maghrib. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm.196-197)

Ini kerana waktu Asar adalah waktu darurat bagi solat Zuhur, dan waktu Isyak adalah waktu darurat bagi solat Maghrib. Rujuk kitab al-Tahqiq (hlm. 193-194) oleh Imam al-Nawawi.Kaedah Turu’ al-Mani` (Datangnya Penghalang)

Berkata Imam al-Syirazi:

“Sekiranya seseorang itu sempat mendapatkan sebahagian daripada awal waktu solat kemudian datang kepadanya suatu keuzuran… sedangkan dia sempat mendapat daripada waktu itu masa yang yang cukup untuk dia solat fardu… maka kekallah kewajibannya dan wajib qada' jika hilang uzur itu.” Rujuk al-Majmu` (3/66-67)

Apabila haid datang, setelah berlalunya waktu solat dengan kadar perlaksanaan solat fardhu tersebut, maka wajib diqadakan solat itu, jika dia belum melaksanakannya. Ini kerana dia cukup masa melakukannya pada awal waktu, dan dia boleh bersuci seperti berwuduk dan mandi sebelum masuk waktu. Kita lihat contoh dengan dua gambaran:

a) Sekiranya haid datang dalam waktu Asar, selepas berlalunya kadar perlaksanaan solat fardu tersebut, dan dia belum menunaikan solat itu, maka wajib ke atasnya untuk mengqadakan solat Asar selepas suci nanti.
b) Sekiranya haid datang dalam waktu Asar, sebelum sempat berlalunya masa kadar perlaksanaan solat fardu tersebut, maka tidak wajib ke atasnya untuk mengqadakan solat Asar itu. Contohnya, masuk waktu Asar jam 4.45 petang, haid datang pada jam 4.46 petang.
c) Sekiranya haid datang dalam waktu Asar, selepas berlalunya kadar bersuci dan perlaksanaan solat fardu tersebut, dan dia belum menunaikan solat itu, dan dia tidak boleh bersuci sebelum masuk waktu disebabkan tayammum atau sentiasa dalam hadas (kes istihadah atau kencing tak lawas), maka wajib ke atasnya untuk mengqadakan solat Asar selepas suci nanti. Jika tidak sempat bersuci dan menunaikan solat fardu, maka tidak wajib qada’. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm. 197)


Rumusan penting:
1. Tak perlu terburu-buru mandi hadas sebelum darah haid benar-benar berhenti. Contohnya kalau kebiasaannya period 6 hari, tapi hari ke-5 dah nampak kering kalau was-was tunggu sampai hari ke-6 baru mandi hadas dan qada' solat-solat fardhu yang ditinggalkan.
2. Kalau period habis pada waktu solat terakhir yang boleh dijamak (Asar / Isya'), maka wajib qada' solat sebelumnya (Zohor / Maghrib).
3. Period datang pada awal waktu solat fardhu contohnya masuk waktu jam 4.45 petang tiba-tiba kita dapati darah haid keluar jam 4.46 petang, maka tak wajib untuk qada' waktu solat tu. Tapi kalau selepas berlalunya kadar perlaksanaan solat fardu tersebut, dan belum menunaikan solat tiba-tiba keluar period (contohnya lepas azan berhenti) maka wajib qada' solat.

Nota kaki: Aku yang dah umur 40-an pun kadang-kadang masih keliru bab-bab period ni. Semoga info ni menjadi panduan buat kita semua 😊

Qari Malaysia Muncul Johan Tilawah Al-Quran Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran (MTHQA) Antarabangsa 1445H / 2023

Tahniah diucapkan kepada qari dari Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi dinobat sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke-63 malam tadi.


Johan Qari

Rasa ralat malam-malam sebelum ni tak sempat nak tengok siaran langsung MTHQA sebab tolong Khadeeja buat kerja rumah. Jadi bila dapat tengok siaran malam ni, rupa-rupanya dah majlis penutup dan penyampaian hadiah. Tapi apa pun, sempat jugak mendengar johan tilawah Al-Quran Muhammad Qayyim memperdengarkan bacaan Al-Quran masa majlis penutup ni. Subhanallah, Masya Allah! Walaupun dilahirkan sebagai orang kelainan upaya (OKU), Allah berikan kelebihan iaitu suara yang lunak dan merdu kepada saudara Muhammad Qayyim.  Tak dinafikan yang kedudukan johan tu selayaknya disandang oleh beliau.

Muhammad Qayyim juga muncul sebagai qari pertama dalam kalangan OKU bergelar juara sepanjang sejarah pertandingan yang berlangsung. 

Manakala johan qariah pula disandang oleh Sara Belmamoun dari Maghribi:


Johan qariah

Bagi pertandingan hafazan pula, berikut ialah johan untuk kategori lelaki dan wanita:

  • Johan Hafazan Lelaki - OMAR TAURE (GUINEA)
  • Johan Hafazan Wanita - TEBANI CHEYMA ENFAL (ALGERIA)

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua johan tilawah dan hafazan MTHQA ke-63!