Alhamdulillah, Khayla dapat tukar ke sekolah dekat dengan rumah...

Hari Selasa minggu lepas kiteorang buat permohonan untuk tukarkan sekolah Khayla ke sekolah yang dekat dengan rumah ni. Sebabnya minggu tu pelajar yang memohon masuk ke SBP dan MRSM dah dapat tawaran jadi barulah ada kekosongan. 


Permohonan diluluskan oleh PPD Sentul


Bersyukur sangat Khayla dapat sekolah yang kiteorang nak masa mula-mula apply dulu. Sebabnya sekolah yang sekarang ni boleh tahan sesak nak ke sana dari rumah kiteorang. Kalau terlewat keluar pagi-pagi boleh sangkut 30-40 minit baru dapat keluar ke jalan menuju sekolah Khayla. Dah sampai di sekolah, satu lagi cabaran sebab jalan utama masuk ke sekolah tu sempit dan sesak dengan pelajar berjalan kaki dan kenderaan dari kedua-dua belah arah. Kalau cuaca baik, boleh la Suami Terchenta hantar naik motor, tapi kalau cuaca hujan agak susah nak hantar dan ambik.

Sekolah yang baru ni tingkatan satu belajar pada sesi petang. Pagi tadi Suami Terchenta ambik cuti sebab malam tadi dia kerja, jadi dia temankan aku pergi hantar borang pertukaran sekolah yang dah diluluskan oleh PPD minggu lepas ke sekolah sekarang dan ambik fail pelajar untuk diserahkan ke sekolah baru.

Lepas tu kiteorang singgah pulak ke sekolah baru beli buku latihan sebab minggu ni dah start belajar. Ada beberapa buku yang out of stock, harap-harap cikgu tak mintak dieorang pakai dalam waktu terdekat. Harga buku semuanya dekat-dekat RM180. 

Dah selesai semua urusan, kiteorang balik ke rumah. Tengahari tu, Suami Terchenta hantar Khayla mendaftar di sekolah baru. Cuak je muka anak dara aku ni, tapi aku tau dia excited sebab dia memang nak ke sekolah ni.


Hari pertama di sekolah baru

Apapun, semoga Khayla lebih bersemangat belajar di sekolah ni, dan semoga dia jumpa kawan-kawan yang baik di sini. Chaiyok Khayla! 😘

Hari ke-4 - Suami Terchenta membazaar di TTDI KL

Semalam macam biasa aku ada kelas, jadi Suami Terchenta buat keputusan beli makanan untuk berbuka puasa di bazaar Ramadhan lagi. Khayla beria-ia ajak bapaknya pergi ke bazaar TTDI KL sebab dia ternampak di IG reel ada gerai menjual mac & cheese dalam cheese wheel. Memandangkan aku masih ada kelas, jadi dieorang berdua je la pergi ke bazaar TTDI KL naik motor.

Sampai kat sana, puas la dieorang meronda satu bazaar tu tapi tak jumpa pulak gerainya. Mungkin tak perasan gerai tu sebab keadaan di bazaar tu yang sesak dengan orang ramai.


bazaar Ramadhan TTDI KL
Keadaan di bazaar TTDI KL semalam

Mungkin bukan rezeki Khayla, so semalam dia balik dengan hampa. Tapi adalah jugak hasil tangkapan di bazaar semalam:


mee rebus
Mee rebus telur

sate ayam
Sate ayam

agar-agar
Agar-agar

Kesian pulak Khayla sebab tak dapat mac & cheese yang diinginkan. Bila habis kelas, mulanya aku nak buat sendiri je mac & cheese bakar, tapi makaroni habis pulak. Tengok ada lagi roti Gardenia, sos spaghetti, daging kisar dan cheese dalam peti sejuk, jadi aku pun buat lasagna untuk Khayla.


lasagna bread
Lasagna in the oven!

Nextreview makanan yang Suami Terchenta beli di bazaar Ramadhan TTDI KL:

bazaar Ramadhan TTDI KL
Mee rebus telur (RM7)

Mee rebus - mula-mula aku sangka kuahnya cair sikit tapi turned out ok, just nice. Rasa kuah yang padu, mee kental dan portion pun mengenyangkan. Telur rebus dia bagi sebijik. Cuma mee rebus Suami Terchenta takde hirisan limau (mungkin lupa nak letak). Apapun bagi aku sedap dan worth repeat.

bazaar ramadhan TTDI KL
Sate ayam

Sate ayam - isi daging ayam tebal berbanding sate ayam kelmarin. Satenya cukup rempah dan perisa. Kuah kacang pun sedap jugak, cuma lebih terasa serbuk karinya. Aku lebih prefer kuah kacang yang dibeli di bazaar Jalan TAR. Tapi isi sate ni aku puas hati sikit la makan. 

Pagi tadi Suami Terchenta sakit perut dan cirit. Kiteorang syak sebab sate atau kuah kacang. Kenapa?? Sebab aku dan Suami Terchenta sama-sama makan mee rebus semangkuk sorang tapi aku OK je. Sate pulak aku dan anak-anak makan tak banyak dalam 2-3 cucuk seorang tapi Suami Terchenta makan  dekat 10 cucuk dengan kuah kacang tu. Suami Terchenta cuma minum air kosong dan tak makan agar-agar atau lasagna yang aku buat. 

Huhu. Itulah risiko bila membeli di bazaar Ramadhan, kita tak boleh jangka peniaga tu jenis jujur atau jenis panaskan balik makanan yang tak habis semalamnya tanpa memikirkan akibat kepada pelanggan. Kesimpulannya, tak worth repeat sate ayam tu sebab takut sakit perut lagi ☹️

Hari ke-3 - Berkunjung ke Bazar Ramadhan di Jalan TAR

Semalam aku gantung kuali sekejap sebab nak ambik kesempatan Suami Terchenta tak busy dengan tugas projek di ofis (ya, hujung minggu pun dia kerja time projek ni). Kiteorang decide nak ke bazar Ramadhan di Jalan TAR. Haha! Padahal ada je bazar Ramadhan di Sentul tapi nak jugak ke Jalan TAR. 🤭

Aku ajak kakak join sekali. Kakak datang tinggalkan kereta kat rumah kiteorang sebab dia nak join buka puasa sekali kat rumah. Lepas Asar, kiteorang pun menuju ke stesen LRT. Nak ambik bas free tapi tak tau bas jalan pukul berapa. Oleh sebab takut lambat sampai, naik je la LRT walaupun berbayar.


Naik LRT sebab 5 stop je nak ke Stesen Bandaraya

Dah sampai, terus berjalan tepi SOGO dah sampai…

 
Permulaan bazar Ramadhan Jalan TAR

Macam biasa bila ke bazar, kena berjalan sampai hujung sekali lepas tu baru la patah balik dan mula membeli 😁. Bazarnya memanjang ke arah Dataran Merdeka. Kiteorang sampai pukul 5 petang, masa ni belum ramai sangat pengunjung. Tengah kiteorang berjalan-jalan tu hujan gerimis pulak, nasib baik ada bawak payung.


Keadaan bazar pukul 5 petang

Ramai macam kiteorang jugak berjalan-jalan tak menyinggah sebab nak tengok dulu apa yang ada

Dah tengok semua, barulah kiteorang mula membeli. Anak-anak nak jagung bakar, churros dan donut. Gerai donut ni terletak di hujung sebelah Dataran Merdeka. Nampak gebu dan lembut je, so kiteorang pun beli nak cuba di rumah kelak.

Kakak pulak beli satay ayam dalam 10 cucuk. Gerainya di sebelah kanan gerai donut tu. Suami Terchenta beli nasi beriani ayam madu sebelah kiri gerai donut. Aku pulak aim nak beli pani puri di tengah-tengah bazar Ramadhan. Selain dari tu kiteorang singgah jugak beli keropok ikan Terengganu yang dah siap digoreng. Sebungkus harganya RM5. Lalu sebelah gerai jual sambal hitam Pahang beli la sebekas kecil (RM5). Ternampak gerai jual milo macam lori milo jadi singgah beli milo dalam cawan besar. Satu cawan 32oz harganya RM6. Total damage semuanya RM64. Zaman bawak RM20 pergi ke bazar Ramadhan dapat beli macam-macam dah berakhir ye. Sekarang semua barang naik harga kan huhu.


Gerai-gerai yang kami singgah

Tak ambik gambar di gerai pani puri sebab masa ni orang dah mula ramai dan semakin sesak

Bila patah balik, jam dah menunjukkan pukul 6 petang. Masa ni keadaan di bazar semakin sesak lagi-lagi bila hujan gerimis dan mulai berhenti.


Keadaan bazar yang dah mulai sesak

Sampai di stesen LRT dalam pukul 6.20 petang. LRT tiba dalam pukul 6.30 petang dan kami sampai di Sentul pukul 7 petang. Berjalan kaki ke rumah ambik masa 10 minit jadi sempat la panaskan balik makanan yang dibeli di bazar Ramadhan tadi.

Sedikit review tentang makanan yang kami beli:

Churros - Khadeeja bagitau tak berapa masak di dalam. Sudahnya ada 3 keping yang dia tak nak makan.

Satay - sedapnya! Daging ayam lembut dan masak sempurna. Cuma isinya tak setebal isi ayam di Satay Hj Samuri. Menyesal beli 10 cucuk je. Kuah kacangnya pun boleh lawan satay Hj Samuri. Worth repeat.

Nasi beriani - Cuma ada nasi dan ayam. Takde acar timun, dalca dan papadam. Makan tanpa perasaan 🫣

Donut - lembut, gebu dan tak berapa manis. Worth repeat.

Air milo - Milo lori ni tak pernah tak sedap kan 😋

Pani puri - sedap sangat-sangat! Menyesal beli satu set je. Aku hiris daun ketumbar segar untuk campur dalam pani puri. Bertambah-tambah sedap!


Pani puri worth repeat berkali-kali

Now review bazaar Ramadhan Jalan TAR pulak. Tak boleh nak bandingkan dengan bazaar Ramadhan yang lain tahun ni sebab ni bazaar pertama yang kiteorang pergi. Kat sini banyak gerai yang jual shawarma, ayam gunting, keropok lekor, jagung bakar atau rebus, makanan bergoreng, nasi kukus, nasi dengan ayam kunyit dan gerai-gerai minuman menjual jus buah, kopi Vietnam, cendol dan cocktail buah, beraneka minuman Thai dan seumpamanya. Gerai menjual nasi campur, masakan Pantai Timur dan sup tulang ada la dalam 2-3 buah. Untuk pemanis mulut pulak, ada kek coklat moist yang biasa kita jumpa kat pasar malam, apam balik, crepe, kek lapis Sarawak, crepe Thai, churros, donut dan durian dessert. Kesimpulannya banyak pilihan yang ada cuma aku tak nampak pulak gerai menjual ayam panggang, nasi Arab, roti John, burger dan kuih-muih tradisional. Mungkin ada tapi sebab terlalu sesak jadi aku terlepas pandang. Lagi satu, di celah-celah gerai makanan ni pun ada jugak gerai menjual tudung, baju kurung, alas kaki, songkok dll. yang bagi aku agak mengganggu tumpuan kita nak mencari makanan untuk berbuka puasa. Lebih elok gerai-gerai ni pindah ke lorong sebelah yang memang eksklusif menjual baju-baju dan barang-barang persiapan raya.

Minggu depan aku nak pergi bazaar lain pulak la. Seronok jugak meninjau pilihan makanan yang ada dijual di bazaar Ramadhan ni. Cer komen bazaar Ramadhan yang korang dah pernah singgah tahun ni 😉.

Koleksi menu berbuka puasa 1 & 2 Ramadhan

Bulan puasa ni penat sikit sebab badan nak adjust dengan berpuasa setiap hari tambah lagi dengan mulanya sesi persekolahan. Alhamdulillah tak miss lagi sahur, cuma hari kedua bangun lewat sikit tinggal setengah jam je lagi nak imsak, so cepat-cepat cedok lauk dan nasi. Kelam-kabut makan dan minum sampai terlupa ambik ubat diabetes huhu…

Rasa seronok tengok kawan-kawan update blog tentang menu bulan puasa ni so aku pun nak share jugak hehe. Maaf gambar-gambar tak cantik sebab dah habis makan baru teringat ambik gambar kan 😜 Untuk hari pertama dan kedua, dah jadi kebiasaan aku akan masak lauk yang akan ulang balik masa berbuka / sahur. Alhamdulillah suami dan anak-anak jenis tak cerewet dan tak kisah kena recycle lauk. Berlainan dengan mak aku dulu penat sikit sebab ayah aku jenis yang tak suka repeat lauk yang sama so mak akan masak lauk fresh untuk masa makan seterusnya.


daging masak hitam
Daging masak hitam resipi mak mertua utk hari pertama berpuasa

1 Ramadhan - lauk sahur dan berbuka ialah daging masak hitam dan sayur campur (lupa nak ambik gambar sebab dah habis). Petang tu tetiba teringin nak makan asam pedas, maka terhasillah lauk tambahan asam pedas ikan merah untuk berbuka puasa. 


Asam pedas ikan merah
Kali ni baru ok sebab tak berminyak sangat

2 Ramadhan -  tengok blog Sislin dia masak ayam masak lemak nenas terus terliur jugakkkk 😂. Siap pesan kat Suami Terchenta sebelum dia balik dari ofis supaya singgah di kedai belikan nenas dan kelapa parut. Padankan dengan sayur kacang buncis tumis. 


Ayam masak lemak nenas
Ayam masak lemak nenas

Alang-alang dah beli kelapa parut, datang pulak mood nak buat kuih onde-onde atau anak-anak lebih suka panggil kuih buah melaka. Tengok dalam pantri ada tepung pulut jadi terus keluarkan dan bancuh dengan tepung gandum untuk buat adunan. Stok gula melaka memang sentiasa ada dalam rumah. Kemain anak-anak tak sabar tunggu waktu berbuka puasa bila tengok ada kuih onde-onde terhidang atas meja.


Onde-onde
Onde-onde

Alhamdulillah lauk 1-2 jenis je setiap hari dan takde pembaziran setakat ni. Yang penting masa solat terawih tak mengantuk sangat. 

Semoga hari-hari seterusnya aku masih rajin memasak lauk untuk berbuka puasa dan sahur. Tiap-tiap hari aku blogwalking kat blog korang tau, sebab nak cari inspirasi untuk lauk berbuka puasa hehe. So teruskan update menu iftar korang ye. 

Psst… SA dah boleh buat segmen - SA masak apa hari ni di bulan puasa 😋

Berita Duka di Bulan Ramadhan...



Hari ini kami sekeluarga dikejutkan dengan berita duka pemergian anak saudara kami iaitu anak sepupu aku dalam keadaan yang menyayat hati. Menurut berita yang kiteorang terima, isteri sepupu masa tu nak hantar anak dia (arwah) ke taska. Baru nak keluar, dia teringat kunci rumah jadi dia keluar sekejap tinggalkan arwah dalam kereta. Dah tertulis ajal arwah, kepala dia tersepit kat power window kereta dan meninggal dunia dalam usia yang begitu muda.

Ya Allah, berikanlah kekuatan buat keluarga sepupu dan isterinya untuk menerima ujian yang begitu hebat ini pada bulan Ramadhan. Sesungguhnya Engkau Maha Mengasihani hamba-hamba-Mu, kasihanilah mereka dan ringankan duka dan rindu yang ditanggung mereka terhadap anak yang telah dijemput bermain di syurga-Mu. Kurniakanlah rezeki zuriat untuk mengganti tempat anak yang telah pergi. Ameen Ya Rabbal Alameen...

Teringat peristiwa Khayla pernah hilang sekejap. Ya Allah, aku hampir-hampir pengsan, pandangan terus terasa gelap dan dunia berpusing-pusing! Ini kan pula kehilangan anak buat selama-lamanya. Salam takziah buat keluarga sepupu, Allah lebih menyayangi arwah anak. Terkilan sebab anak saudara lahir masa PKP tapi disebabkan aku pindah ke KL dan tahun lepas beraya di kampung mertua jadi kiteorang langsung tak pernah berjumpa dengan arwah anak saudara ni selepas PKP.