Bila Dah Takde Apa Nak Buat…

Mulalah bercakap dengan pokok-pokok. Sambil-sambil menyiram, membebel jugak dengan pokok-pokok tanaman ni. Bukan apa, dah lama kiteorang tanam, kasi baja, siram air beras / air basuhan ikan tapi hasil tarak. Kiteorang pun nak jugak merasa buah tomato / cili / halia dari kebun sendiri. Sabar je la.

2 minggu lepas hari-hari bercakap dengan pokok cili ni. Tahun lepas dia dah berbuah sebiji capsicum (tapi bantut tak masak dah jatuh buahnya, kempunan la nak merasa...)

Lepas tu kena pulak serangan kutu pokok. Suami Terchenta hilang sabar dicabutnya pokok ni katanya baik tanam baru.

Tapi Khadeeja simpati teruk dengan pokok (dia pencinta alam sikit budak tu), dikutipnya & ditanam balik. Maka aku pun dengan gigih dan sabar buang la kutu-kutu yang merayap, buang daun2 yang putih dengan telur dan sarang kutu pokok ni. Kasi racun tak jalan pulak. Kebal kot.

Dalam sebulan dua lepas tu pokok ni sihat balik. Banyak pulak keluar bunga tapi bila dah layu tangkainya terus tertanggal. Kecewa lagi.

Suami Terchenta kata mungkin sebab kiteorang duduk di kondo jadi lebah tak sampai nak tolong proses pendebungaan (kita kasi ayat biologi sikit). Pasrah je la...

Tup-tup 2 hari lepas aku belek-belek - eh, pokok cili dah berbuah la!

Yang ajaibnya... Kenapa yang keluar ni nampak macam cili api pulak?? Bukan ke dulu yang keluar ialah capsicum? 😲 Musykil sis...


Pokok cili
Pokok cili jadian

Pokok cili
Ni masa berbuah tahun lepas. Ke ada 2 pokok dalam pasu tu? Misteri...

Pokok cili
Penampakan 3 biji cili api

Alhamdulillah... kita bersyukur dengan rezeki yang diberi Allah SWT. Capsicum ke, cili api ke, tak kisah. Yang penting ada hasil untuk dimasak!

Rutin Pagi di Tasik Titiwangsa

Sejak anak-anak pindah sekolah di Titiwangsa, rutin harian aku ialah menghantar dieorang pagi-pagi ke sekolah lepas tu singgah ke Taman Tasik Titiwangsa.

Selalunya awal pagi cuaca redup je, bila brisk walk pun tak cepat rasa penat. Sambil brisk walk, aku suka dengar lagu-lagu yang rancak supaya berjalan pun rasa bersemangat jugak haha!

Tapi semalam cuaca panas sikit, tapi yang bestnya lighting cantik jadi boleh ambik gambar lawa macam ni:


Rutin Pagi di Tasik Titiwangsa

10 tahun lepas, kalau tanya aku prefer Taman Tasik Perdana atau Taman Tasik Titiwangsa, aku akan cakap aku suka Taman Tasik Perdana sebab lebih cantik dan kids' friendly.

Tapi sejak pindah KL balik, aku rasa banyak sangat penambahbaikan kat Taman Tasik Titiwangsa berbanding sebelum aku pindah. Dan aku mula suka singgah ke sini. Tapi kalau nak datang, kena datang awal pagi sebab petang-petang nak cari parking memang susah especially hujung minggu.


Rutin Pagi di Tasik Titiwangsa
Suka lalu dekat pergola ni sebab feel kat overseas gitu...

Rutin Pagi di Tasik Titiwangsa
Tangga menuju ke Kanopi Banjaran Titiwangsa. Dulu ada semburan 'mist' dekat sini kalau ambik gambar nampak macam berkabus je tapi sejak akhir-akhirnya dah takde huhu...

Rutin Pagi di Tasik Titiwangsa
Masa ambik gambar ni taman permainan kanak-kanak dan taman air ni belum dibuka kepada orang awam lagi disebabkan SOP Covid

Biasanya aku akan pusing sekeliling tasik sampai aku dapat achieve 10,000 langkah. Bukan senang untuk spesies aku ni yang lebih suka jadi ikan paus terdampar depan tv 😂

Tapi disebabkan tahun ni aku berazam nak jadi lebih aktif, jadi kenalah paksa diri berjalan setiap hari. Ye la, diet makan susah nak kawal at least pergilah bersenam 😜

P/S: Nak mencontohi Rebel Wilson yang berjaya langsing lepas dinasihati oleh doktor beliau untuk berjalan selama sejam setiap hari...

Oh Google Adsense...

10 tahun lepas, blogspot tak susah mana pun. Nak tukar template blog macam salin baju - nak tukar setiap minggu pun takpe.

Tapi sekembalinya aku dari hiatus blogging lepas 6 tahun PJJ, tiba-tiba aku rasakan blogspot ni perghhh... complicated baq hang!

Itu la sudahnya mintak tolong Sislin salinkan baju blog ni dan troubleshoot ler apa-apa isu dengan blog ni. 

Setel dah masalah blogspot, sekarang ni aku struggle pulak dengan masalah Google Adsense. Entah kenapalah bila hantar je untuk review blog ni, 10 hari kemudian mesti dapat error ni:

Oh Google Adsense...

Aduh... puaslah aku belek apa salah dan silapnya content blog aku ni sampai kena reject berkali-kali. Nak kata aku post entry orang lain, takde pun. Content aku ori ok. Pastu almost every day pulak aku post, so takkan la low content. Trafik pun Sislin dah troubleshoot, aku tengok Analytics ada je orang yang datang melawat. Bila tengok Youtube Adsense Site Approvals pun masih tak mampu nak baiki isu ni.Apakah masalahnya ni, wahai Google Adsense??

Last-last nak tak nak terpaksa la mintak tolong pakar programmer a.k.a. Suami Terchenta tengokkan apa masalahnya. Digodek-godeknya semua link ni last-last dia buat kesimpulan ni kot puncanya:


Oh Google Adsense...
Apalah serpih roti ni buat sampai blogku sentiasa di 'reject'? Huhu...

Oh Google Adsense...
Ooo.. entri Wordless Wednesday la yang buat masalah ni?

'Ohhh.. kenapa awak buat tajuk entri yang sama? Awak kena bagi tajuk entri yang unik.' Kata pakar programmer, Suami Terchenta. Kesahnya...

Lepas aku betulkan tajuk 2 entri ni, dia pun run inspection sekali lagi dan 'request indexing'.

'Haa... nanti lepas Google dah index balik, awak try la submit sekali lagi site for inspection,' kata Suami Terchenta.

Baiklah, nanti kita tengok berjaya ke tak menyetelkan masalah blog asyik kena reject oleh Google Adsense ni.

Nota kaki: TQ jugak Suami Terchenta tolong betulkan kod html blog supaya bila tekan link blog, dia akan bukak dekat tab yang sama 💋 Kesian dia baru nak rehat dari bekerja keras tengok coding kat ofis, wife mintak pulak tengokkan coding blog 😜

Selamat Datang Ke Dunia Miniatur...

Sebelum kena Covid tempoh hari, kiteorang sempat la berjalan-jalan ke Bukit Bintang. Asalnya nak ganti bateri telefon Khayla yang dah kembang, tapi lepas dah setel tukar bateri kat Low Yat, Khadeeja request nak beg sandang macam kakak. So pergilah ke Sungei Wang Plaza.

Tak sangka pulak terjumpa galeri MinNature Malaysia yang terperuk dalam bangunan ni. Rasanya mesti ramai yang tak tau kewujudan tempat ni kan?

Nak masuk galeri ni kena beli tiket dan harga tiket pun bukan murah - RM20 sekepala dewasa dan kanak-kanak harga sama (kali 4 orang jadi semuanya RM80). Tapi Suami Terchenta tak sampai hati nak cakap 'no' bila budak-budak ni buat muka kesian macam Puss in Boots tu hahaha. So dia bayarkan je la... Amacey Suami Terchenta, lap u so much muah!

Nak tengok berbaloi ke tak berbaloi harga tiket boleh tengok hasil tangan artis kraf miniatur ni. Nampak real kan? Setiap model miniatur ni dibuat dengan teliti dan sangat detailed:


MinNature Malaysia
Entah berapa lama nak siapkan satu karya miniatur ni...


MinNature Malaysia
Kerusi tu macam real sangat. Mangkuk tu siap ada ukiran lagi dan berisi butir-butir makanan yang kecik halus

MinNature Malaysia
Makanan orang Cina - kagum dengan kesabaran artis nak buat benda-benda kecik ni

Anak-anak tak habis-habis tanya, 'Mom, how did they make such a tiny snack?' bila tengok model gerai jajan ni. Jangan tanya Mommy, Mommy pun tengah takjub dengan tahap kesabaran artis-artis ni. Kalau la aku yang kena buat model miniatur cenggini, baru dua butir kacang agaknya dah terbalik meja dan jadi Hulk! 😂😂 #spesiestakretisabar
 
MinNature Malaysia
Nostalgia betul tengok jajan ni

MinNature Malaysia
Khadeeja perhati je cakoi dengan pisang goreng miniatur ni

MinNature Malaysia
Replika kuih-muih ni pun nampak sedap je padahal pelesu semuanya haha!

MinNature Malaysia
Replika gerai jual buah berangan (chestnut)

OK, dah puas tengok model kecik-kecik kita beralih ke replika pemandangan pulak.


MinNature Malaysia
Replika suasana kampung

MinNature Malaysia
Aduh, rindu betul nak balik kampung bila tengok ni

MinNature Malaysia
Replika gerai durian pun ada

MinNature Malaysia
Ni kedai sinseh Cina rasanya

MinNature Malaysia
Suasana rumah panjang

Lagi satu, sambil-sambil menghayati setiap suasana tu, boleh jugak tangkap gambar kod QR yang terpampang di sebelah pameran. Kod QR tu ialah link ke Youtube di mana pengunjung boleh dengar rakaman audio. So bukan setakat boleh tengok, boleh dengar jugak audio ayam berkokok ke, orang bergosip ke, lagu ngajat ke. Baru la feel sikit!

Bahagian seterusnya ialah replika bandar-bandar di Malaysia:


MinNature Malaysia
Replika Bandar Georgetown, Pulau Pinang

Lagi satu, ada pertunjukan cahaya dekat Kek Lok Si dan Dataran Merdeka pada masa-masa tertentu. Sebelum pertunjukan bermula, pengumuman akan dibuat so korang boleh la terus gerak ke tempat tu. Bila pertunjukan cahaya bermula, lampu akan dimalapkan. Kiteorang sempat tengok pertunjukan cahaya di Kek Lok Si. Siap ada naga terbang-terbang, maklumlah kawasan tokong Cina.


MinNature Malaysia
Setiap replika ada penerangan ringkas tersendiri, tapi aku malas nak baca sebab banyak lagi tempat nak cover hihi

MinNature Malaysia
Replika Bandaraya Melaka. Dalam gereja tu bila kiteorang intai siap ada majlis perkahwinan lagi!

MinNature Malaysia
Gigih betul artis ni buat miniatur dalam replika gereja

MinNature Malaysia
Replika Batu Caves

Sebenarnya ada banyak lagi replika negeri-negeri lain seperti Melaka, Perak, Negeri Sembilan, KL, Sarawak, Sabah, Terengganu dan sebagainya tapi aku dah penat nak upload 😜 Korang kena pegi sendiri kalau nak tengok bandar-bandar tu ye.

Nak bagi lagi menarik, galeri ni ada menawarkan ganjaran RM200 untuk cari satu karakter (The Green Bandit) yang menyorok dalam salah satu pameran miniatur ni. Puas kiteorang cari memang tak jumpa. Kalau korang terer mencari benda hilang boleh la cuba nasib cari The Green Bandit ni. Buat pengetahuan, galeri ni berkeluasan 1207 meter persegi dan ada lebih 34,000 replika. 

MinNature Malaysia
Budak-budak suka main scavenger hunt ni

Eh, model orang kita pun ada!

Dah puas tengok pameran dan replika bandaraya semua, boleh la gerak ke kedai cenderahati pulak. Siapa-siapa yang rasa nak bawak balik replika miniatur ni boleh beli di kedai ni tapi harga faham-faham je la memandangkan replika ni ialah karya seni. So peminat replika, silalah sokong hasil tangan artis tempatan di sini.

MinNature Malaysia
Ni sesuai nak bagi kawan-kawan atau ahli keluarga yang duduk di luar negara supaya dieorang rindu makanan kat Malaysia hahaha!

Tapi kalau nak cari yang murah sikit boleh jugak usha fridge magnet, pop-up card bertemakan bangunan kedai lama atau buku nota.


MinNature Malaysia
Fridge magnet ni RM15 je satu

MinNature Malaysia
Pop-up card ni harganya RM21 kalau tak silap. Anak aku beriya-iya nak beli, berjanji dengan tulus ikhlas nak jaga elok2 last2 aku tengok atas lantai tepi meja.. hmm...

Amacam, best kan galeri ni? Boleh dapatkan maklumat lanjut di laman web: http://minnature.com/. Sempena cuti sekolah ni boleh la plan bawak anak-anak pergi ke sini, memang menarik.