Ada Apa di Kooky Plate?

Balik-balik je dari staycation terus flu... adeh. Nampak tak Covid ni jahat? Dulu aku ambik vaksin influenza 2 tahun tak kena flu tapi sejak kena Covid walaupun dah ambik vaksin pun tetap kena jugak. Cumanya alhamdulillah tak seteruk sebelum ambik vaksin influenza buat pertama kali. Yes, aku ni memang mudah kena flu dan bila kena je demam dan batuk berhari-hari, sakit kepala, bersin sampai rasa nak tercabut hidung... Tu sebelum vaksin la. Lepas vaksin simptom-simptom tu cuma hidung berair, sakit tekak dan batuk sikit-sikit, demam-demam manja je la habis cerita. Kesimpulannya jagalah kesihatan musim hujan ni. Kalau ada plan nak bercuti di negara musim sejuk, ambik flu shot sebagai langkah berjaga-jaga.

Eh, melalut pulak. Anyway ni throwback je tau. Sebab tak sihat, duduk je la diam-diam kat rumah. Tapi still kena update blog jugak hehe. Nak tulis panjang-panjang pasal staycation anniversary + birthday belum ada mood lagi. 

Aku terjumpa kafe ni Kooky Plate ni secara tak sengaja 3 minggu lepas masa berjalan-jalan di kawasan Chow Kit. Nama pun dah menarik so automatik kaki aku pun melangkah masuk ke dalam meninjau apa yang ada.


Kooky Plate
Bangunan kafe dari luar

Dalam kafe ni comel dan minimalis. Bila masuk, terasa vibe chillax macam kafe kat Korea dan Jepun gituh. Suasana santai dan sesuai la kalau nak outing berdua dgn BFF sambil catch up on life's update masing-masing sebab kafe ni tak bising. Tapi aku rasa nak ajak BFF aku Nurul ke sini mungkin kurang sesuai sebab dia havoc orangnya hahaha! Tempat ni lebih sesuai kalau buat life reflection dengan BFF Zura yang jenis chillax je tu.


Kooky Plate

As a cafe, tempat wajib singgah dan tengok ialah kaunter kek dan pastries. Aku tengok tak banyak sangat option yang ada, lebih kepada cheese cake dengan pelbagai perisa. Bila aku Google, rupa-rupanya menu kat sini lebih fokus kepada makanan berat (main courses) berbanding pencuci mulut. 


Kooky Plate

Kooky Plate

Kooky Plate
Antara pilihan kek yang ada

Kooky Plate


Kooky Plate ni sebenarnya ialah spin-off dari Kooky Cream Bakery di Bangsar. Kek dan pastries di kafe ni sama dengan apa yang dijual oleh Kooky Cream Bakery. Boleh tengok jenis kek dan harganya kat sini.

End up bungkus Korean strawberry shortcake untuk Khadeeja peminat strawberry dan Biscoff cheesecake untuk Khayla peminat biskut Biscoff. Aku pun tumpang rasa kek dieorang, boleh tahan la. Dari segi harga, bagi aku agak mahal. Total RM33+ untuk 2 potong kek ni. Korang rasa berbaloi ke nak repeat ke sini dan cuba makanan berat dieorang?


Kooky Plate
16, Jalan Yap Ah Shak, Chow Kit, 50300 Kuala Lumpur.
Tutup Isnin
Selasa - Jumaat (11AM – 10PM)
Sabtu & Ahad (8.30AM – 10PM)

Accu-Chek Guide Me Memudahkan Ambil Bacaan Gula Dalam Darah

Macam biasa, setiap kali aku pregnant mulalah timbul simptom-simptom GDM ni. Bila ko ada PCOS, diabetes ni memang susah nak dielakkan. Apa lagi bila sejenis yang suka makan macam aku ni 😅

Walaupun selepas aku keguguran, result HbA1c aku masih lagi tak cantik. Sudahnya doktor suruh aku monitor bacaan gula dalam darah selain aku dah start kena makan ubat diabetes (metformin) dalam dos yang rendah. Hmm. Ikut je la nasihat doktor kalau tak nak melarat kan.

10 tahun lepas masa aku pregnant dengan Khadeeja, aku memang kena monitor gula tiap-tiap hari tapi syukurlah masa tu aku tak payah cucuk insulin. Glukometer ni aku beli masa tu untuk monitor bacaan gula, tapi dah hilang masa kiteorang berpindah-randah tiga kali dalam 10 tahun ni.


Glukometer yang aku guna 10 tahun lepas

Memandangkan glukometer lama dah hilang, aku pun cari glukometer baru dan terjumpa yang ini:


Accu-chek Guide Me (dari kiri: pen cucuk, test strip, glukometer)

Apa yang menarik perhatian aku ialah glukometer ni siap ada apps yang boleh sync dengan Apple Health. Apa-apa gajet kesihatan yang boleh sync dengan Apple Health sebagai central database tentang maklumat kesihatan memang a plus point untuk aku. Senang bila jumpa doktor untuk routine checkup bukak je maklumat semua ada kat situ. 

Aku masih ingat lagi houseman kat wad hospital hari tu sangat impressed bila aku tunjuk period cycle aku setahun dengan cuma bukak Apple Health je. Aku tunjuk pun sebab dia houseman yang keberapa entah singgah kat katil tanya benda yang sama (kak, last period bila? Average period cycle akak berapa lama? blabla...). Bosan pulak kena repeat jawapan banyak-banyak kali. 

Anyway, back to Accu-chek Guide Me. Gajet ni datang memang dah pre-set up (tak perlu nak set tarikh, masa dsb.), senang tinggal tekan butang ON dan masukkan test strip je.

Langkah-langkah sebelum guna:

  1. Muat turun apps mySugr (kod QR ada dalam leaflet instructions)
  2. Daftar akaun. ON bluetooth dan tambah glukometer dalam apps.

Langkah-langkah pemakaian:

  1. Sanitize hujung jari yang nak cucuk tu dengan alcohol swab (selalunya seller bagi sekali bila beli set lengkap glukometer ni)
  2. Masukkan test strip dalam glukometer
  3. Cucuk hujung jari dengan pen cucuk
  4. Letak sampel darah dekat hujung test strip
  5. Tunggu glukometer proses bacaan gula dalam darah
  6. Glukometer akan sync rekod bacaan di apps

Accu-Chek Guide Me
Bacaan gula 3 jam lepas sarapan

Accu-Chek Guide Me
Bacaan gula sebelum makan tengahari


Sebelum ni pun aku pakai jenama Accu-chek tapi model lain (Accu-chek Performa). Lancet (jarum) kena masukkan dan tukar setiap kali sesi mencucuk jari ni. Accu-chek Guide Me ni pulak pakai FastClix lancet macam kartrij. Dalam satu kartrij ni ada 6 bilah jarum. Setiap kali lepas cucuk, leretkan butang putih dekat batang pen tu untuk tukar jarum kat dalam. Lepas 6x cucuk, barulah tukar kartrij yang baru. Senang dan selamat sebab jarum tu tak terdedah. 


Accu-Chek Guide Me
Kartrij FastClix

Accu-Chek Guide Me
Aku beli kartrij ekstra sebab set glukometer tu cuma bagi satu kartrij percuma

Dalam apps MySugr kita boleh rekod apa makanan yang kita ambik hari tu. Tak nak tulis pun tak pe, ambik gambar je lepas tu pilih kategori masa makan (sarapan / makan tengahari / snek / makan malam). Tapi kalau rajin nak tulis dan Google jumlah nutrisi dipersilakan. Aku rajin awal-awal je lepas tu aku dah malas, setakat ambik gambar je hehe.


Accu-Chek Guide Me

Apps ni boleh generate report lepas tu boleh muat turun report bacaan gula kita tapi aku rasa report tu macam tak berapa terperinci. Tak tau la, tu pendapat aku, mungkin doktor rasa ok je kot sebab mesti syarikat ni develop format ni lepas dapatkan pandangan pakar perubatan ye tak?

Accu-Chek Guide Me
Rekod bacaan gula dalam seminggu

Yang bawah ni pulak rekod dalam Apple Health. Sebenarnya doktor nak tengok seimbas lalu je range bacaan gula dalam darah kita, kalau tak cantik barulah dia tanya. Contohnya dia nak tau apa yang aku makan sampai bacaan gula aku 8.49 mmol/L (5.0 mmol/L ialah bacaan normal) dan kenapa aku hampir hypo (3.9 mmol/L ialah paras hypo).

Accu-Chek Guide Me


Kenapa kena ambil ubat diabetes?

Bila tengok bacaan ni memang patut kena pantau sebab tak stabil. Selalu aku baca kat socmed orang mengelak dari ambik ubat kencing manis sebab takut jadi bergantung dengan ubat tu seumur hidup. Ni tanggapan yang SALAH. Contoh terbaik ialah mak aku. Bertahun-tahun dia kena ambik ubat kencing manis. Tapi sejak dia kena kanser 2 tahun lepas, banyak benda dia tak boleh makan sebab tekaknya masih tak boleh terima. Lepas sembuh dari kanser, berat badannya susut mendadak dan bacaan gula pun jadi elok balik. Alhamdulillah, kiranya ni hikmah di sebalik ujian kanser tu. Sekarang mak dah TAK PERLU makan ubat kencing manis. Tapi ubat darah tinggi dia still kena ambik.

Ubat metformin (ubat diabetes) ni aku kena ambik untuk bantu tubuh aku handle insulin dengan baik. Bila ambik ubat ni, bacaan gula jadi lebih rendah dan terkawal. Tapi tak bermaksud lepas tu boleh la makan benda-benda tinggi gula sewenang-wenangnya sebab kalau tak jaga pemakanan, dos ubat ni makin tinggi sampai satu tahap ubat ni mungkin jadi tak berkesan lagi. 

Satu lagi kesan sampingan pengambilan ubat metformin ni ialah bantu tekanan darah aku jadi normal. Kalau sebelum ni aku ambik ubat darah tinggi, tekanan darah aku turun sikit tapi masih kategori tinggi walaupun stabil pada tahap 1 hipertensi. Stage 3 dah tahap krisis dan perlu dapatkan rawatan kesihatan dengan segera sebelum berlakunya risiko pembuluh darah pecah dan mengakibatkan strok atau pendarahan otak. Masa aku keguguran tempoh hari, tekanan darah aku sampai stage 3 sebab tu aku terus pergi wad kecemasan. Tekanan darah ni jangan buat main-main.

Barulah aku sedar yang gula dalam darah ni boleh trigger tekanan darah tinggi, bila gula dalam darah tak terkawal automatik tekanan darah pun jadi tinggi. Tapi punca utama ialah STRESS. Bila asyik stress je, hormon badan boleh jadi insulin resistance, lepas tu gula dalam darah tinggi dan tekanan darah naik. Tekanan darah naik, pembuluh darah mengeras lepas tu efek kat jantung pulak sampai ada yang kena serangan jantung. Pendek kata, jagalah kesihatan emosi dan kawal tahap STRESS dalam hidup kita ye. 



Kesimpulannya bila aku dah kena start monitor kesihatan di usia 40-an ni, gajet-gajet kesihatan ni memang membantu sebab kadang-kadang aku tak sempat pun nak catat bacaan gula / tekanan darah dalam buku. Bila nak jumpa doktor, barulah nampak rongak sana-sini rekod tu. Accu-Chek Guide Me ni memudahkan bagi aku sebab siap tolong sync terus bacaan tu dalam handphone jadi bila pergi jumpa doktor untuk routine checkup maklumat tu semua dalam handphone tinggal nak bukak kat apps dan tunjuk dengan doktor je.

Aku beli glukometer Accu-Chek Guide Me ni kat Shopee, boleh klik LINK INI. Harga dalam RM139.90 untuk satu set termasuk FastClix pen, 50 test strip dan glukometer, sekali dengan beg. Tidaklah mahal sangat jika dibandingkan dengan kesihatan pada usia aku sekarang.

Seminggu Sepotong Hadis: Ganjaran Membaca Al-Quran

Sumber imej: FB Sofea Channel


Membaca Al-Quran sangat dianjurkan ke atas umat Islam kerana Al-Quran ialah kalam Allah dan panduan hidup yang telah diturunkan kepada Rasulullah SAW untuk disebarkan ke seluruh alam.

Al-Quran ialah syafaat kepada orang-orang yang membacanya, apatah lagi buat orang-orang yang menghafaz dan mengamalkan ajaran terkandung dalam kitab suci Allah ini. Orang-orang yang beramal dengan Al-Quran akan didatangkan Al-Quran sebagai pembela di hari akhirat (Hadis Nabi riwayat Imam Muslim).

Sangat besar ganjaran membaca Al-Quran kerana orang yang baru mempelajari Al-Quran dan yang tidak bertutur dalam bahasa Arab apabila mereka berusaha membaca Al-Quran dengan susah-payah pun akan mendapat pahala berganda seperti hadis Nabi di atas.

Marilah kita membaca Al-Quran, mudah-mudahan kita memperoleh kebaikan dan kelebihan dari amalan membaca Al-Quran.

Untuk 16 Tahun Yang Cukup Bermakna

What is done in love, is done well.

Awak ingat tak, masa kita mula-mula jumpa dulu di Restoran Noor Taman Universiti, awak tengah gelak tak hengat dunia dan saya pulak tengah jatuh cinta dengan awak from across the room.

Pastu saya sibuk mintak nombor telefon awak dari coursemate awak merangkap housemate saya sebab awak dah habis belajar saya takut hilang pulak jodoh saya. Hahaha! Saya SMS awak dulu (wow, beraninya saya walaupun sebenarnya saya cuak sebab tu la first time saya ngorat orang tau!). Nasib baik awak layan walaupun mula-mula tu awak kata taknak bercinta dengan orang Bintulu sebab jauh (jauh la sangat padahal awak pun orang Sarawak 😛).

Awak ingat tak, masa kita mula-mula decide nak jumpa di tapak konvo UTM lepas setahun berhubung melalui SMS masa tu barulah awak jatuh cinta. 

Awak ingat tak, awal-awal tu kita PJJ awak di KL saya di Johor lepas tu berapa kali kita putus sebab awak cemburu orangnya? Tapi jodoh kita kuat kan. Lepas 2 tahun, saya pindah ke HQ di KL dan awak terus ajak saya kahwin. 

Awak ajak saya kahwin walaupun awak tau awak kena melayan angin kus-kus, perangai moody dan sikap kuat merajuk saya sampai bila-bila. Awak tau saya takut nak bagitau bapak tentang kita jadi awak sanggup call bapak saya yang garang tu nak bagitau dia niat awak nak jadikan saya isteri awak. Awak tak putus asa walaupun masa awak datang ke Bintulu untuk berjumpa dengan bapak, bapak saya pulak melarikan diri (mungkin sebab dia belum bersedia nak melepaskan anaknya jadi isteri orang). Masa tu saya terharu sangat sebab awak sanggup apa saja untuk masa depan kita.

Sebelum berkahwin, awak berusaha kumpulkan duit untuk kehidupan lepas berkahwin. Awak ambik kontrak buat software HR, berbulan-bulan kita tak jumpa sebab awak sibuk bangunkan software tu. Bila awak dah dapat bayaran, awak terus hantar rombongan bertunang. Bertunang 8 bulan untuk kita menyiapkan keperluan lepas berkahwin (rumah sewa, kereta pertama dsb.), dan berkahwin dalam majlis yang ringkas tanpa jurugambar, pelamin mewah, catering dsb. memandangkan kita nak fokus untuk hidup selepas kahwin. Baju bersanding pun kita cari sehari sebelum majlis sebab tak sangka atok saya sponsor pelamin semata-mata nak tengok kita bersanding, nasib baik ada butik kepunyaan pakcik tunang sepupu yang bermurah hati menyewakan busana tradisi Melanau dengan harga RM150 je.


16th anniversary
Gambar bersanding yang diambil oleh kakak

Bila saya tengok effort awak, saya yakin awak memang jodoh yang tepat. Lepas kita kahwin, giliran saya pulak tolong awak langsaikan hutang PTPTN. 

Awak ingat tak, lepas 2 tahun berkahwin kita belum ada anak. Kita jumpa doktor buat ujian kesuburan. Kita berusaha sama-sama. Kita gembira bila dapat 2 garis pertama kali. Kita menangis bila anak kita dah tiada seminggu sebelum balik raya. Saya rasa saya hancur teruk masa tu, tapi awak ada untuk saya pujuk saya walaupun hati awak pun hancur.

Awak ingat tak, kita sama-sama sambung belajar di UM sebab kita taknak terlalu fikirkan soal zuriat. Tak sangka lepas tu Allah bagi rezeki anak untuk kita kan. Maka bermulalah kehidupan kita yang super busy dengan morning sickness, assignment, kuliah dan kerja. Awak penat-penat pun tetap bangun malam-malam urutkan kaki saya bila saya tiba-tiba cramp. Kita sama-sama berjaga malam menyiapkan assignment lepas balik kerja. Bila saya penat awak ambil-alih buat assignment untuk saya.

Awak ingat tak, tahun ke-4 kita akhirnya sambut kelahiran Khayla pada tarikh ulangtahun perkahwinan kita. Awak berkali-kali ucapkan terima kasih sebab lahirkan puteri awak. Saya ucapkan terima kasih sebab awak jaga saya sepanjang jerih-perih saya mengandung.

Awak ingat tak, tahun ke-6 kita sambut kelahiran Khadeeja pada tarikh ulangtahun perkahwinan kita dan hari lahir Khayla. Sekali lagi awak ucapkan terima kasih sebab lahirkan puteri ke-2. Saya pulak tertidur tak sempat ucap terima kasih sebab 3 hari menghadap contraction melahirkan Khadeeja memang memenatkan.


16th anniversary
Buah hati pengarang jantung yang hadir pada ulangtahun ke-4 dan ke-6 kita

Awak ingat tak, kita bergilir-gilir pergi ke kuliah dan jaga anak-anak. Saya ambik cuti tanpa gaji lepas habis cuti bersalin sebab saya tak mampu dah nak juggle work, studies and the babies. Awaklah yang kena tanggung perbelanjaan rumah dengan gaji yang kecik masa tu. Nasib baik boleh ambik duit EPF untuk bayar yuran kuliah.


16th anniversary
Hasil 4 tahun yang cukup lelah!

Awak ingat tak, tahun ke-8 kita mula PJJ balik. Saya dan anak-anak di Bintulu, awak di KL. Awak sanggup berulang-alik 2 minggu sekali melawat kami. Tak terkira wang ringgit awak habis membeli tiket flight KL-Bintulu bertahun-tahun lamanya. Kalau awak tak dapat balik, saya terpaksa berjuang dengan emosi dan kelelahan memikul tanggungjawab ibu dan bapa untuk anak-anak sampai akhirnya saya kerapkali bermasam muka bila awak akhirnya balik. 6 tahun yang cukup menguji fizikal, mental dan emosi kita tapi kita tetap bertahan dan berjuang untuk orang-orang yang kita sayang.


16th anniversary
Rutin setiap 2 minggu menghantar Suami Terchenta ke airport

Awak ingat tak, tahun ke-10 awak kena buat pembedahan open heart surgery di IJN. Lepas operation, awak berhenti kerja dan pindah ke Bintulu supaya saya boleh jaga awak. Selama setahun awak tak boleh bekerja, saya ambil-alih tugas mencari rezeki untuk keluarga kita. Masa ni memang kita betul-betul cukup-cukup makan sebab komitmen kewangan yang ditanggung bersama jatuh ke bahu saya seorang. Lepas 4 bulan bila awak dah sihat sikit, awak cuba bantu saya. Awak apply jadi pensyarah sambilan di UPM Bintulu. Awak bawak Grab. Awak cuba cari kerja tetap sesuai dengan bidang awak di Bintulu tapi tak berjaya. Akhirnya saya dengan berat hati terpaksa minta bantuan kawan baik saya Jen dan suaminya untuk dapatkan kerja baru untuk awak di KL. 


16th anniversary
Alhamdulillah terima kasih Jen dan suami yang tolong carikan kerja untuk Suami Terchenta

Awak ingat tak, masa pandemik melanda awak tak boleh balik berbulan-bulan. Saya cuba untuk kuat,  dengan meeting yang tak habis-habis dan PDPR online anak-anak pada masa yang sama. Malam-malam lepas habis kerja saya kena supervise dieorang buat kerja sekolah pulak dan pastikan makanan tersedia di rumah. Saya bergelut dengan beban mental dan emosi, dan kerinduan pada suami yang jauh di mata. Malam-malam lepas anak-anak tidur ialah masa untuk saya menumpahkan air mata sebab saya sudah terlalu penat.

Awak ingat tak, masa saya mula-mula suarakan hasrat nak berhenti kerja awak agak keberatan tapi awak tetap sokong saya. Saya berhenti kerja sebab saya nak fokus dengan anak-anak yang begitu lama terabai dek kerana kesibukan kita bekerja. Saya pujuk awak, Allah jualah Pemberi rezeki dan awak pun mengalah. Seminggu lepas tu, boss awak call bagitau awak dapat kenaikan gaji, alhamdulillah. Memang rezeki yang tak disangka-sangka. Awak terus jadi percaya inilah yang terbaik untuk keluarga kita.

16 tahun ini bersama awak Suami Terchenta, begitu banyak moment ketawa dan menangis yang kita harungi. Betapa banyak ujian yang melanda - kehilangan anak, kehilangan kerja, kesihatan, kewangan dan perhubungan jarak jauh. Ditambah dengan angin kus-kus saya sebab saya ada anxiety, tetap awak terus setia di sisi menjadi tunggak kekuatan saya. Dari saya acah-acah comel sampai la betul-betul 'comel' sekarang sedangkan awak maintain je, hati awak tetap tak beralih arah.

Untuk 16 tahun yang cukup bermakna, terima kasih Suami Terchenta. Semoga kita terus saling melengkapi satu sama lain hingga ke hujung nyawa.

Selamat ulangtahun ke-16. Awak masih cinta pandang pertama saya dari dulu sampai sekarang.


16th anniversary

Hingga hujung nyawa,
Isteri Terchenta

Wordless Wednesday - Apa nak buat cuti sekolah ni?

Louis bermalas-malasan

Ni dah masuk hari ke 5 sejak cuti sekolah bermula, so far belum ada plan nak berjalan-jalan atau keluar dari rumah. Anak-anak lebih suka tidur balik lepas Subuh lepas tu menghabiskan masa bermain Roblox atau menonton Netflix. Memang generasi zaman sekarang begitulah. Nak ajak keluar rumah pun kena paksa dan ugut tarik balik gajet baru dieorang beralah! 😅

Mengimbau kenangan cuti sekolah zaman kanak-kanak dulu. Kami pun cuma terperap di rumah. Zaman tu, orang-orang kaya je bawak anak-anak bercuti ke KL / Pulau Pinang / Langkawi. Golongan bangsawan je kot bawak anak-anak bercuti overseas memandangkan harga tiket flight masa tu memang di luar kemampuan 90% rakyat Malaysia masa tu. Rakyat marhaen biasanya cuti sekolah bawak anak-anak berkelah tepi pantai, mandi air terjun atau balik kampung. Aku dan adik-beradik pulak selalunya menghabiskan cuti di rumah atau di kampung.

Balik kampung selalunya seronok bila sepupu-sepapat pun balik jugak. Kalau tak, hmm... bosan jugak. Budak-budak lelaki je la enjoy terjun sungai di belakang rumah atok. Aku dan kakak cuma tengok je la dari atas jeti.

Kalau dah tak kemana-mana tu, bosan-bosan lepak di perpustakaan. Habis semua buku cerita di bahagian kanak-kanak tu dibaca. Mana yang best aku pinjam dan baca berulang-ulang kali. Kadang-kadang bermain di rumah kawan-kawan. Tak pun ikut mak ke pasar di pekan. Begitulah je la pengisian cuti sekolah zaman aku dulu. 

Tapi esok memang dieorang kena keluar rumah jugak, sebab Suami Terchenta dah book staycation 2 hari dalam KL jugak untuk sambut ulangtahun perkahwinan kami dan hari lahir anak-anak. At least takdelah asyik terperap dalam bilik masing-masing je - kali ni upgrade terperap dalam bilik hotel bersama-sama hahaha!

Oh, dan Louis pun ikut bermalas-malasan bila kakak-kakak sibuk dengan gajet masing-masing. Kat mana lagi kalau bukan favourite spot - tepi sejadah.