Mak Datang KL buat Pemeriksaan Tahunan

Semalam mak selamat sampai ke KL dari Bintulu. Hari ni dan besok, aku temankan mak ke Hospital Pantai KL untuk buat annual checkup di sini. Setiap tahun, mak kena datang ke hospital untuk buat pemeriksaan tahunan sampai doktor puas hati yang mak dah bebas dari kanser. Ni dah tahun kedua dia pergi pemeriksaan tahunan ni bermaksud dah 3 tahun sejak dia buat rawatan kimoterapi dan radioterapi.


Hospital Pantai KL
Dah setahun tak jejak kaki ke Hospital Pantai KL

Temujanji pukul 8 pagi, tapi 8.11 pagi baru masuk parking sebab nak keluar Sentul memang kena tempuh jem pagi-pagi. Macam biasa mak suruh aku pergi breakfast dulu sementara dia pergi ambik nombor giliran. Mak akan join aku lepas buat PET scan dan blood test sebab pagi ni dia kena puasa.


Hospital Pantai KL
Mak seriau setiap kali kena masuk terowong ni, katanya dia rasa macam masuk alam kubur

Hospital Pantai KL banyak tempat makan. Kalau rajin menapak, boleh ke food court. Tapi kesian pulak dekat mak, so aku pilih tempat dekat-dekat sikit. So pagi ni breakfast sandwich kayangan di O’Briens. Pesan hot chocolate dan sandwich chicken triple decker toastie. Harga semuanya RM36. Sandwich ni aku nak kongsi dengan mak lepas dia habis buat test nanti. Nak habiskan sorang-sorang memang tak dapat sebab banyak.


O’Briens
Makan separuh ni je boleh kenyang sampai ke petang

Terkenang masa mula-mula mak bagitau kami yang doktor suspek dia ada kanser nasopharyngeal carcinoma (NPC) iaitu kanser yang berlaku di bahagian antara hidung dan tekak. Kanser ni selalunya berlaku di kalangan orang dari negara-negara Asia Tenggara, China dan sebahagian Afrika sebab negara-negara ni kebanyakannya mengawetkan makanan menggunakan garam. Puncanya, mak masa muda dulu ada masalah resdung yang teruk dan mak suka makan ikan masin atau pekasam. Sejak dari tu, aku stop makan ikan masin dan pekasam.

Kebetulan masa mak bagitau kami tu, aku baru dapat arahan pindah balik ke KL. Jadi kami adik-beradik berbincang bawak mak ke KL sebab di Bintulu takde doktor pakar kanser. Aku dan kakak sama-sama keluarkan duit simpanan untuk bayar rawatan mak di Hospital Pantai KL memandangkan adik bongsu baru je start bekerja. Tapi adik bongsu la yang selalu temankan mak buat radioterapi dan kimoterapi sebab ofis dia fleksibel sikit bab-bab ambik cuti.

Sebelum buat rawatan kimoterapi dan radioterapi, mak kena jumpa pakar gigi sebab lepas rawatan kanser, mak tak boleh cabut gigi. Jadi kalau ada gigi rosak, kena cabut sebelum mula rawatan kanser. Masa pergi jumpa pakar gigi, terbongkar la rahsia mak yang banyak gigi dia dah reput dan rosak teruk. Selama ni dia sorok sakit gigi dari kami sebab tak nak kena bawak jumpa doktor gigi. Patut la masa di Bintulu bila aku ajak mak ke doktor gigi ada je alasannya. Rupa-rupanya mak takut jumpa doktor gigi. Tapi pakar gigi ni pandai pujuk mak aku sampai mak setuju cabut semua gigi yang rosak tu. Sudahnya gigi mak tinggal beberapa batang je lagi.

Lepas tu baru la mak buat rawatan kanser. Bagi aku, rawatan kanser tu agak agresif sebab mak kena pergi kimoterapi setiap hari selama 4 bulan. Radioterapi pun kena buat tiap-tiap minggu. Masa ni paling mencabar emosi kiteorang sebab tak sanggup tengok mak muntah-muntah, batuk-batuk dan ada masanya dia tak nak makan. Badan mak susut 20kg dalam 2 bulan. Mak muntah-muntah sampai kena tahan di hospital, kami gilir-gilir jaga mak tak tidur malam kena standby suakan straw untuk mak minum air setiap kali tekaknya kering (which is, setiap masa). Di rumah kena pujuk mak makan, sebab dia makan bubur sesudu dah tak lalu makan. Bila dah berjaya makan, dia batuk sampai termuntah pulak. Kena makan lagi. Malam-malam dia tak boleh tidur sebab badan kepanasan efek ubat kimo, tapi tak boleh on aircond sebab batuk teruk. Kesan radioterapi, tekak mak jadi kering berbulan-bulan lamanya dan bahagian leher dan muka mak jadi hitam. Pernah ada kawan mak ni tegur muka mak hitam dan hidung mak nampak penyek, kecik hati mak. Kiteorang cuma boleh mintak mak bersabar sebab tak ramai yang tahu mak kena kanser.


Mak posing dengan hadiah birthday dari adik lelaki di Kuching

Walaupun seksa menanggung semua tu, mak tak merungut pun, cuma pernah sekali dah tertanggung lagi dia menangis sebab termuntah atas katil. Kiteorang pujuk dia, belikan dia bunga barulah dia happy balik. Lepas habis rawatan, mak masih kena tanggung efek rawatan. Telinga mak dah tak boleh dengar sangat. Sekarang kalau bercakap dengan mak kena kuatkan sikit suara. Tapi ada masa dia dengar jugak. Dia kata telinga dia kadang-kadang ok, kadang-kadang tak ok. 

Tapi ujian kanser ni ada hikmah di sebaliknya. Masa birthday mak tahun tu, ramai betul kawan-kawan mak yang kirimkan mak bunga, kek birthday, dan hadiah buat mak. Mak kata tak sangka ramai kawan-kawan baik di sekeliling yang prihatin tentang mak.

Mak pantang makan betul-betul dan bila check gula, doktor kata paras gula mak dah stabil. Sampai sekarang mak dah stop ambik ubat diabetes. Tapi kopi dia masih tak tinggal sampai sekarang 😂 Mak dan kopi berpisah tiada.

Lepas mak dah sihat, mak rajin join group pesakit kanser NPC sebab mak kata dia nak bagi semangat dekat pesakit-pesakit kanser yang tengah buat rawatan. Mak kata sokongan dari orang lain (anak-anak dan kawan-kawan) masa dia tengah struggle dulu yang bagi dia kekuatan dan semangat melawan perasaan nak give up buat rawatan. Sebab tu dia pun nak bagi semangat dekat orang lain sebab kita tak tau orang tu dapat sokongan ke tak dari orang-orang sekeliling.

Alhamdulillah, Allah beri kesembuhan buat mak dan aku doakan mak betul-betul dah bebas dari kanser. Tak sanggup rasanya tengok mak sakit macam dulu.

Pesan aku buat yang masih muda dan belum ada penyakit kritikal, baiklah korang ambik insurans perubatan dari sekarang sebab kos rawatan kanser ni berpuluh-puluh ribu. Aku menyesal tak ambik masa aku sihat dulu, sebab masa tu aku bergantung sepenuhnya dengan medical benefit di syarikat aku bekerja dulu. Lagi satu, aku risau kena scam sebab selalu baca kes orang ambik insurans perubatan tak pernah culas bayar bulan-bulan tapi bila sakit dan masuk hospital time nak claim kena reject atas pelbagai alasan. 

Siapa tau ada tak syarikat insurans yang terima kalau kita dah ada penyakit kritikal (dalam kes aku, diabetes dan darah tinggi)? 

Tips Kurus 2: Minum Air Mengikut Keperluan Tubuh Badan

water
Kredit foto: freepik.com

7 sebab kenapa kita kena minum banyak air untuk mengurangkan berat badan:

1. Minum air boleh menyekat selera makan

Bila lapar, kita disarankan minum segelas air untuk mengawal selera makan. Dengan minum air, ia boleh membuat perut kita terasa penuh dan mengurangkan isyarat lapar ke otak. Minum 2 cawan air sebelum makan boleh mengurangkan kuantiti makanan yang kita ambil.

2. Minum air boleh meningkatkan metabolisme tubuh

Minum air terutama air sejuk / berais memaksa tubuh kita untuk melepaskan lebih tenaga untuk menaikkan suhu air yang diminum kepada suhu badan. Lebih banyak tenaga dipakai, lebih tinggi metabolisme kita. Tapi efek yang dipanggil thermogenesis ni takde la signifikan sangat.

3. Minum air boleh mengurangkan pengambilan kalori dari pengambilan cecair

Bila dibandingkan antara pengambilan sup, minuman kopi / teh atau minuman berperisa termasuk jus buah-buahan dengan air kosong, mengambil air kosong lebih elok kerana ianya tidak mengandungi sebarang kalori tapi turut memberi efek kenyang / menghilangkan dahaga. Jadi pilihlah air kosong.

4. Minum air membantu semasa aktiviti bersenam

Air membantu melarutkan mineral dan elektrolit dalam tubuh untuk membantu otot semasa bersenam. Kurang pengambilan air boleh menyebabkan seseorang terhidrasi serta kurang berpeluh, kejang otot dan cepat berasa penat ketika bersenam. Jadi nak bersenam lebih lama untuk bakar lebih banyak kalori dan lemak, minumlah air secukupnya.

5. Air membantu menyingkirkan sisa-sisa kumuh badan

Minum air dengan banyak boleh menyingkirkan sisa-sisa kumuh badan dengan cepat melalui air kencing. Buah pinggang kita pun tak perlu bekerja terlalu keras untuk menyingkirkan sisa-sisa kumuh. Minum air secukupnya juga membantu melancarkan usus dan mengatasi masalah perut kembung dan sembelit.

6. Badan memerlukan air untuk membakar lemak

Badan memerlukan air yang cukup supaya boleh membakar lemak dengan efisyen. 

7. Minum air boleh mengurangkan stress

Ada kajian yang mendapati badan yang terhidrasi menyebabkan penghasilan kortisol atau hormon stress. Bila stress, kita hilang minat untuk bersenam atau makan makanan sihat. Kalau tak nak stress, kenalah minum air yang cukup.

Berapa banyak air yang diperlukan tubuh kita dalam sehari?




Nota kaki: Aku tengah berusaha minum air mengikut jumlah yang diperlukan oleh tubuh badan. Kena tahan la asyik ulang-alik ke tandas sebab badan belum biasa lagi.

Wordless Wednesday: How To Instantly Feel Better

How To Instantly Feel Better
Sumber: Reddit


Aku terjumpa tips macamana nak bagi mood jadi lebih baik. Yalah, mood kita ni naik dan turun setiap masa. Bila mood terjunam, kadang-kadang tak tau macamana nak bagi elok balik kan. End up bukak Shopee, bukak Tiktok lepastu sedar-sedar dah terbeli barang yang tak perlu pun, atau emotional shopping. Tak pun  emotional eating makan junk food sebab nak bagi mood happy balik. Aku macam ni la masa bekerja dulu, kalau stressed dengan masalah kerja je order GrabFood. Beli kek la, beli aiskrim la, beli kopi la. Dalam setahun lepas aku pindah ke KL, berat aku naik 10kg sebab KL ni syurga makanan!

Kalau ikutkan tips ni, bila stressed, cara nak bagi mood elok balik ialah dengan keluar berjalan-jalan. Tapi kan, jangan la pergi berjalan kat dalam shopping mall pulak takut end up emotional shopping. Kena la cari taman ke atau pergi hiking pun boleh release stress. Orang zaman sekarang kalau stress pergi healing jalan-jalan kat negara orang atau pergi camping. Ikut la nak jalan-jalan ke mana pun asala hilang stress tu.

Cuma bila marah, muzik boleh membantu ke? Rasanya cara yang bagus untuk turunkan kemarahan ialah dengan tidur. Kalau umat Islam pulak, bila marah disarankan kita beristighfar dan berwuduk.

Apapun, tak salah kita cuba tips ni. Mana tau membantu.

Kalau mood korang tak baik, apa yang korang selalu buat untuk ceriakan balik mood tu? Boleh share di komen ya.

Gempa Bumi Turkiye-Syria - Apa yang Berlaku?

Pada 6 Februari 2023, dunia digemparkan dengan kejadian gempa bumi yang dahsyat di wilayah tenggara Turkiye dan daerah di sempadan Syria. 


Sumber: Reuters

Gempa bumi pertama berpusat di bandar Gaziantep dan berskala 7.8 Richter diikuti gempa bumi kedua berskala 7.5 Richter. Gempa bumi berlaku pada awal pagi ketika kebanyakan penduduk sedang nyenyak tidur. Akibatnya, lebih dari 5,000 penduduk di kawasan terjejas telah terkorban kerana tidak sempat menyelamatkan diri dari bangunan runtuh manakala berpuluh-puluh ribu lagi masih terperangkap.


Sumber: reuters.com

Struktur bangunan yang lemah menjadi punca angka mangsa gempa bumi yang tinggi. Kali terakhir kawasan tersebut ditimpa gempa bumi yang dahsyat ialah lebih dari 200 tahun lalu.

Usaha menyelamatkan mangsa gempa bumi disukarkan lagi dengan cuaca hujan dan bersalji serta suhu sejuk dibawah 0℃, kerosakan jalan raya yang menghubungkan ke kawasan gempa bumi dan ketiadaan rangkaian Internet untuk mengesan mereka yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Mangsa yang berjaya dikeluarkan atau menyelamatkan diri pula kehilangan tempat tinggal dan terdedah kepada cuaca sejuk, hujan serta kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan.

Sumber: Reuter

Nota kaki:

Setakat ni, beberapa buah negara telah menawarkan bantuan dari segi kewangan dan bekalan ubat-ubatan. Negara kita Malaysia antara negara yang terpantas menyahut seruan Turkiye dengan menghantar pasukan SMART (Special Malaysia Disaster Assistance and Rescue Team) pada malam kelmarin.

Allahu. Tak boleh bayangkan perasaan mangsa gempa bumi di sana. Mesti dieorang dalam keadaan sejuk, lapar dan dahaga sekarang. Marilah kita sama-sama doakan semoga urusan menyelamatkan mangsa-mangsa yang masih terperangkap berjalan lancar dan bantuan kewangan, makanan dan ubat-ubatan sampai kepada mangsa gempa bumi dengan kadar segera. Salam takziah diucapkan kepada penduduk Turkiye dan Syria yang terjejas, termasuk warga Malaysia yang menetap di sana.

Cuba Buat Ayam Nando's Sendiri di Rumah

Jumaat lepas aku cuba buat menu Nando's di rumah. Resipi ayam panggang Nando's aku ambik di sini dan resipi nasi Mediterranean aku ambik di Youtube.

 Langkah-langkah untuk ayam Nando's:

Nando's recipe
Cuci bersih ayam dan perap dengan sos Nando's. Biarkan perapan semalaman dalam peti sejuk.

Nando's recipe
Bakar ayam dalam ketuhar selama 20 minit sehingga masak

Langkah-langkah untuk buat nasi mediterranean:

mediterranean rice
Cincang bawang holland, potong dadu capsicum dan lobak merah

mediterranean rice
Tumiskan kesemua bahan yang telah dipotong tadi

mediterranean rice
Masukkan beras yang telah dibasuh dan ditoskan. Kacau sebentar dan masukkan air ikut sukatan masak nasi

mediterranean rice
Aku guna pressure cooker sebab nak nasi masak cepat sebelum Suami Terchenta balik dari solat jumaat

mediterranean rice
OK dah siap. Hidangkan dengan sos Nando's. Aku guna pinggan Corelle kecik ni untuk diet suku-suku separuh

diet suku-suku separuh
Pinggan suku-suku separuh

Verdict: Masih tak setanding ayam di Nando's. Tapi boleh la, jimat sikit buat sendiri. Nak lagi sedap letak sos banyak-banyak 😂