Sup ayam stail Kak Amie

Selalu bila jengah blog Kak Amie akan terliur bila tengok air tangan Kak Amie yg sihat tapi nampak menyelerakan.

Kak Amie berbesar hati kongsikan resepi sup ayam dengan kurma merah tempoh hari, nampak senang jadi dengan semangatnya aku buat la hari ni. Tak jumpa labu kundur, aku gantikan dengan labu air. Selain tu, aku tambah cendawan shiitake yang memang kegemaran aku dari dulu.

Cuma aku derhaka sikit, tak rebus dulu kurma merahnya. Terus je campak semua bahan-bahan dalam periuk lepas tu aku set slow cooker 2 jam.

Alhamdulillah, sedap hasilnya. Supnya manis dari kurma merah dan lobak merah. Sup ni memang sesuai sangat untuk orang yang nak berdiet, sebab tak ditumis dulu jadi tak berminyak. Aku hirup sup ayam ni je, tak perlu makan dengan nasi pun dah cukup mengenyangkan. Sayur-sayuran dalam sup ni membekalkan karbohidrat dan serat-serat manakala ayam pulak ialah sumber protein yang sihat.

Insha Allah lain kali aku nak cuba buat sup ceker pulak. 


sup ayam dengan kurma merah

 Nota kaki: Terima kasih Kak Amie, sudi berkongsi resepi sup ni atas permintaan kita :)

Wordless Wednesday - Seni di Tasik Titiwangsa

Seni di Tasik Titiwangsa

Beberapa bulan lepas, setiap kali aku bersenam di Tasik Titiwangsa aku terlihat tiga orang anak muda menyorong beberapa tin cat dan perca kain. Dieorang akan singgah di setiap power box. Kemudian dieorang cuci bersih dan cat putih setiap kotak tu.

Agak lama jugak aku tak singgah bersenam di Tasik Titiwangsa, sampailah baru-baru ni aku berazam untuk mulakan balik aktiviti bersenam di tasik. Kali ni aku disapa dengan pemandangan seni yang menarik pada power box di tasik ni.

Subhanallah, kagum jugak dengan bakat seni anak-anak muda dan kesungguhan dieorang untuk melakar seni yang cantik-cantik pada setiap kotak dalam taman ni. Aku kira ada berbelas-belas power box dan setiap satunya menampilkan karya seni yang berbeza.


Seni di Tasik Titiwangsa

Tak pastilah sama ada anak-anak muda tu melukis secara sukarela atau dibayar oleh DBKL tapi memang aku puji hasil seni dieorang yang terang dan kreatif.

Cuma satu je perkara yang aku rasa nak bagi cadangan dekat DBKL - larangan bawa masuk makanan dalam bungkus plastik ke dalam kawasan Taman Tasik Titiwangsa. Sedih bila kita ada taman yang begitu cantik tapi pengunjung-pengunjung tiada kesedaran sivik membuang sampah merata-rata. Banyak kali aku jumpa beg plastik bekas makanan, cawan plastik dan botol plastik dibuang merata-rata tempat, kadang-kadang diselit di celah-celah rumpun. Kalau ada larangan bawa plastik masuk ke taman, mungkin taman kita ni akan cantik terjaga.

Syafakillah buat anakku Khadeeja...

Kasihan dia...

Balik dari sekolah semalam letih dan lesu. Masuk-masuk dalam kereta, kakak tak buang masa terus bagitau, 'Khadeeja demam panas tengahari tadi!'

Pagi semalam ok dan elok lagi budak bernama Khadeeja ni. Selalunya kecoh rumah sebab Khadeeja suka menyakat kakak atau bapaknya. Khadeeja sejak baby jarang sangat jatuh sakit, alhamdulillah. Memang rezeki anak-anak aku tak pernah merasa kena admit di hospital dan dicucuk jarum drip ubat masa kecik-kecik dulu. Paling-paling pun kalau demam masuk ubat suppository yang kami gelar ubat bontot, lepas tu kebah la demamnya.

Tapi kalau dah demam teruk memang teruk jugak efeknya. Kali ni dia balik dari sekolah dengan keadaan lesu. Lepas mandi dan makan ubat, terus dia terbaring di sofa dan tertidur. 

Lepas Maghrib, aku check suhu badannya. Panas sangat, sampai 40C! Aku lap badannya dengan tuala basah, dan tuam kepalanya. Menggigil-gigil dia sebab demam, namun matanya tetap terpejam. Bila disuruh bangun makan bubur, dia geleng kepala. 



Balik je Suami Terchenta dari ofis, terus dia bawak Khadeeja ke klinik Mediviron dekat dengan rumah. Risau jugak si bapak tengok anak yang biasanya lincah dan suka menyakat cuma terbaring tak bermaya. Doktor hanya bagi ubat. Katanya kalau demam tak kebah 2 hari ni, mungkin kena buat pemeriksaan darah.

Pulang dari klinik barulah Khadeeja ada selera makan semangkuk kecil bubur nasi. Lepas makan ubat demam kali kedua, dia baring semula dan tidur. Pukul 2 pagi, terpaksa lap semula badannya sebab suhu naik lagi. Syukur tidurnya tak terganggu.

Lepas Subuh pagi ni, aku kejutkan dia suruh minum air dan makan ubat demam. Suhu badan ada menampakkan penurunan - 38C. Harap-harap Khadeeja lekas sembuh. Bukan setakat mummy dan bapak yang risau, kakak pun risau jugak tengok adiknya tak bermaya.

Breakfast di Levain dengan Sislin & Kak Ret

Akhir-akhir ni memang takde mood langsung nak menulis. Tapi kali ni kena paksa gak menulis sebelum cerita jadi basi sangat hehe.

Kisahnya minggu lepas tetiba dapat tau Sislin turun ke KL mengejut. Tahap mengejutnya tu sampai tak sempat nak bawak baju, charger phone & berus gigi sekalipun. Kiranya hidupkan enjin kereta know2 dah sampai KL la. Gitulah pengorbanan seorang isteri mithali, ye tak Sislin?

Malam tu Kak Ret mesej ajak keluar breakfast sesama. Aku pun on je la, bukan selalu dapat peluang jumpa Sislin ni, busy sokmo kihkih... Pepagi lagi aku sibuk cari power bank untuk Sislin, tapi time tu la power bank tu tak jumpa! Last-last bawak la kepala charger dengan kabel iPhone sekali untuk dia charge bateri iPhone dia.

Memandangkan Sislin duduk di Hotel Maya, paling dekat tempat mengopi ialah di Levain. Ni kali kedua aku makan kat sini, first time dulu ialah masa brunch dengan kakak.


Levain Boulangerie & Patisserie
Kredit foto: Kak Retna

Mula-mula sampai haruslah cari meja yang paling dekat dengan plug dinding. Meja belah dalam semua dah di conquer oleh orang lain. Akhirnya duduk la kiteorang kat bahagian luar depan kafe. Ok gak, takyah nak control ayu time gelak besar!

Meja dah dapat, moh ler order makanan pulak. Masa nak bayar tu boleh pulak kod QR nya tak jalan grrr.... nasib baik boleh pakai kad. 

Aku order Egg Benedict dengan hash brown. Atas tu ialah sos hollandaise (bukan cheese!), dibuat dari kuning telur, butter dengan jus lemon.


Levain Boulangerie & Patisserie
Egg Benedict dengan hash brown

Kak Ret order tuna with mushroom croissant dihidang dengan hash brown dan salad.


Levain Boulangerie & Patisserie
Tuna with mushroom croissant

Sislin pulak order big breakfast. Macam simple je hidangan ni, scrambled egg tu pun nampak macam sikit je.


Levain Boulangerie & Patisserie
Kredit foto: Kak Retna


Levain Boulangerie & Patisserie
Sebelum makan selfie dulu! (Kredit foto: Kak Retna)

Bila dah lama tak jumpa ni macam-macam la cerita keluar. Ada yang bikin gelak berdekah-dekah, ada jugak yang bikin terkedu. Macam tu la adat kehidupan, semuanya tak kekal dan berubah mengikut masa. Sama la macam kiteorang mula-mula kenal dulu semua selim-melim, sekarang ni mak ai.... hahaha! Tinggal kenangan semuanya.

Tengah sibuk makan dan bergosip tu, tiba-tiba dapat mesej dari Romzi. Romzi ni pun kawan kami kenal melalui blog satu ketika dulu, cuma sekarang dia dah tak aktif sebab sibuk menguruskan pelbagai syarikat dan business. Terkini, dia menguruskan jemaah yang nak menunaikan umrah sebagai mutawif bertauliah.

Dia pesan ambik kad TnG NFC yang aku beli dari wife Romzi ni di KL Convec jadi kiteorang singgah la sekejap kat sana berjumpa dengan Romzi. Kebetulan waktu tu ada event OGA (Oil & Gas Asia 2022), gara-gara event ni la Sislin sampai sehelai sepinggang turun ke KL.


Levain Boulangerie & Patisserie
Bersama dengan Romzi

Memang mengimbau nostalgia lama zaman blogger awal 2000-an dulu2. Rindu dengan Geng KAMIE, tapi bak kata aku sebelum ni, semuanya dah berubah mengikut peredaran masa. Cuma tinggal muka-muka ni je la yang sudi luangkan masa reunion bila ada kesempatan.

Selamat Hari Malaysia 2022

Pelancong asing atau orang luar mesti rasa aneh kan, kenapa kita sambut dua hari kebangsaan? Hehe. Itulah uniknya Malaysia. 31 Ogos 1957 ialah tarikh Tanah Melayu keluar dari jajahan British, dan 16 September 1963 ialah hari keramat terbentuknya gagasan negara Malaysia terdiri dari Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.


Fakta: Bermula dari 8 April 2021, Sabah dan Sarawak dikenali sebagai wilayah dan bukan lagi negeri.


Cuti Hari Malaysia ni kami luangkan menghadiri Karnival Kita Anak Malaysia (Kami) 2022 bertempat di UTM KL pagi tadi. 


Hari Malaysia 2022

Hari Malaysia 2022
UTM KL ni tempat Suami Terchenta belajar masa diploma dulu...

Sebenarnya, kami ke sini sebab anak-anak bertugas sebagai sukarelawan di gerai jualan amal milik salah seorang ibu kepada rakan sekolah mereka iaitu di zon kanak-kanak.


Hari Malaysia 2022
Bersedia untuk bertugas!

Hari Malaysia 2022
Sampai-sampai terus diberi taklimat tugas sukarelawan

Tugas dieorang ialah mempromosi barang-barang jualan amal dan menjadi 'cashier'. Alhamdulillah, ada jugak ilmu baru yang dieorang dapat masa bertugas.

Sementara anak-anak bertugas, aku dan Suami Terchenta berjalan-jalan meninjau suasana karnival di sini.  Suami Terchenta sempat lagi berjalan-jalan di bangunan-bangunan dalam kampus KL ni, mengimbau nostalgia lama. Katanya banyak dah berubah dan ada banyak bangunan baru di sini sampai dia dah ingat-ingat lupa rupa kampus lama. Yalah, takkan la masih sama lagi sejak 20 tahun lepas.


Hari Malaysia 2022
Bouncy castle di zon kanak-kanak menjadi tarikan utama

Hari Malaysia 2022
Pertandingan mewarna sedang berlangsung

Di depan dewan besar, ada pulak khemah-khemah yang menempatkan pameran kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia.

Hari Malaysia 2022
Pameran yang berlangsung di tepi dewan besar

Hari Malaysia 2022
Pameran alat muzik kaum Sikh

Hari Malaysia 2022
Aktiviti berasaskan kayu chopstick berlangsung di pameran masyarakat Cina

Hari Malaysia 2022
Permainan congkak antara aktiviti pameran budaya masyarakat Melayu

Acara kemuncak karnival ni ialah persembahan tarian, muzik dan seni mempertahankan diri dari pelbagai budaya:


Hari Malaysia 2022
Tarian zapin dan tarian Keluarga Malaysia yang memukau dari pelajar sekolah rendah

Hari Malaysia 2022
Tarian singa mendapat tepukan dari orang ramai

Hari Malaysia 2022
Persembahan silat Rajawali bagai menonton Mat Kilau live!

Hari Malaysia 2022
Seni mempertahankan diri Silambam kaum India

Hari Malaysia 2022
Aksi wushu kaum Cina

Hari Malaysia 2022
Persembahan seni tai chi

Hari Malaysia 2022
Persembahan Urumee Melam oleh pemuzik tradisional kaum India

Seronok jugak dapat menonton pelbagai persembahan budaya ni, sedikit sebanyak menambah ilmu pengetahuan tentang budaya masyarakat Malaysia. Contohnya, aku baru tau silat Rajawali ni ialah sebab ada pergerakan yang menyerupai burung rajawali. Dan pertama kali jugak aku mengenali seni mempertahankan diri Silambam yang jarang-jarang ditonjolkan di pentas sukan (ke aku yang kurang peka?).

Ikutkan rasa hati, nak je stay lama sikit di karnival ni tapi memandangkan hari ni Jumaat, Suami Terchenta perlu gerak awal untuk menunaikan solat Jumaat. Tapi sempat jugak kami singgah di Mansion Tea Stall di Jalan Masjid India (entah kenapa tekak aku teringin sangat nak makan roti canai telur goyang kat sini, mungkin sebab perut lapar, cuma bersarapan buah nangka seulas dua pagi tadi).


Mansion Tea Stall
Roti Canai Telur Goyang

Kuah dhalnya sedap tapi instead of sambal, diletakkan sos cili. Jadi pendapat aku, lebih sedap roti canai UPM di Tumis Bintulu.

Lepas makan di sini, Suami Terchenta pergi menunaikan solat Jumaat di Masjid India manakala kami pulak menunggu dalam kereta.

Psst... cuti Hari Malaysia korang buat apa?

Nota kaki: Maaflah lama jugak aku menyepi, hampir seminggu aku tak menulis di blog. Nasib baik dah sediakan posting Wordless Wednesday, tinggal set auto-publish je. Emosi agak terkesan bila menerima perkhabaran sedih dari kampung Suami Terchenta menyebabkan aku hilang mood untuk menulis.