Khayla Join Bengkel PRS di UNITAR

Kelab Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di sekolah Khayla agak aktif jugak join macam-macam aktiviti di luar sekolah. Sabtu 2 minggu lepas, dia join bengkel PRS yang dianjurkan di UNITAR. Siap dapat t-shirt UNITAR lagi. Seawal jam 7 pagi lagi dah kena keluar rumah sebab dieorang akan naik bas ke UNITAR. 


Kena pakai serba hitam dari tudung sampai la ke seluar. Beg kain batik tu pemberian dari Kak Retna, dah jadi beg dia dah hihi

Sepanjang dia mengikuti bengkel tu, aku mintak dia hantar gambar jugak. Biasalah untuk content blog mak dia kan hihi. Katanya dieorang banyak buat aktiviti berkumpulan. Selain dari sekolah Khayla, ada lagi 2 buah sekolah yang lain turut terlibat dengan bengkel ni.


Peserta tengah dengar penerangan dari fasilitator

Khayla dan kawan-kawan

Selain dari bengkel ni, kelab PRS sekolah Khayla ada jugak hantar wakil termasuk Khayla ke program tentang kesedaran kesihatan mental yang diadakan di Titiwangsa (tak ingat tempat kat mana). Yang ni dibuat masa waktu sekolah jadi dia kena skip beberapa subjek pada hari tu. Dan tak sempat jugak nak cucuk vaksin HPV yang dibuat di sekolah, tapi the next day, dia dipanggil untuk dapatkan suntikan vaksin HPV tu.

As a parent, aku memang galakkan Khayla aktif dalam aktiviti-aktiviti ko-kurikulum selagi tak menjejaskan pelajaran dia. Lagipun dulu aku pun aktif jugak join macam-macam pertandingan pidato, bahas, choral speaking dan pernah jugak masuk tilawah Al-Quran padahal takde latihan tarannum pun 😅. Ustazah suruh masuk, kita pun masuk sebab dengar cakap cikgu kan. Praktis dengar qari mengaji dekat radio je masa tu.  Yang penting dapat sijil penyertaan, sebab sijil-sijil ni berguna bila nak apply masuk universiti nanti.

Keluar Jalan-jalan Dengan Mak

Mak dah balik ke Sarawak tapi sebelum mak balik, kiteorang sempat keluar jalan-jalan 3 kali (mak duduk rumah kakak dan adik aku untuk trip kali ni). Kali pertama, aku bawak mak makan di Folk Kofii di Taman Melawati sebab mak teringin nak makan lontong Pak Tam Laksa Johor kat kafe ni:


Mak kata sedap, tapi dia lebih suka lontong dekat SOGO. Macam biasa aku order laksa Johor

Lepas makan lontong dan laksa, kiteorang singgah di KL East Mall pulak, saja jalan-jalan cuci mata. Mak kata tak puas jalan-jalan di sini, siap bising kenapa adik aku tak bawak mak ke sini awal-awal? 🤣 Aiyoh, habis la adik kena marah mak hihi. Yalah adik aku jiwa muda bawak mak tempat hipster je. Tapi aku dengan mak dari dulu lagi BFF sebab kiteorang sekepala sebenarnya, apa aku minat mak aku pun minat jugak gituh... 🤭

Lepas cuci mata aku tanya mak, nak tengok movie Takluk: Lahad Datu tu tak? Mak onz je. So aku pu  beli tiket movie dan kiteorang tonton di GSC dekat KL East Mall ni.


Bukti dah tonton filem Takluk: Lahad Datu dengan mak 🤭

Review filem Takluk: Lahad Datu

Anyway, bagi aku aku cerita ni menarik dan pelakon-pelakon pun mantap. Cuma keliru sikit masa mula-mula pembukaan filem ni sebab bermula dengan adegan pertempuran antara pasukan komando PDRM dengan pengganas Gerakan Militan Nusantara yang diketuai oleh Raja Iskandar (Eman Manan). Tengah-tengah kita menghayati babak pertempuran ni, tiba-tiba bertukar jadi babak flashback, tapi bukan flashback kumpulan komando tu tapi flashback babak Inspektor Saiful Zaini (Fikry Ibrahim) Pegawai Perisikan IPD Batu Jugar dengan mak dia. Time ni la aku confuse eh ni siapa dan apa pulak? Lepas babak Inspektor Saiful ni, tiba-tiba babak pertempuran dalam bangunan pulak, rupa-rupanya pasukan komando tu tengah praktis bukan la betul-betul bertempur dengan pengganas. Jalan ceritanya banyak melompat dan agak tak smooth la bagi aku. Tapi still ok lagi la takde la mengganggu mood langsung.

As usual, lakonan Eman Manan mantap dan bersahaja. Lakonan Kamal Adli pulak bagi aku terlalu forceful, macam nak bagi dia nampak dia ni kaki baran sangat. Overall, filem ni still berjaya menambat emosi penonton macam aku - rasa takut dan ngeri bila tengok pengganas tetak dan penggal kepala anggota polis, rasa sedih dan terharu bila babak anggota komando mati kena tembak meninggalkan isteri yang tengah mengandung dan anak-anak yang masih kecik dan rasa berdebar bila pengganas-pengganas tengah buru anggota-anggota polis yang tengah menyorok dari ditangkap dan dibunuh oleh pengganas. 

Antara kelemahan filem ni ialah the depth of each character agak tak ditonjolkan sangat so penonton tak dapat nak menghayati sangat setiap watak dalam cerita ni, tak macam watak-watak dalam cerita Paskal. Misalnya penonton tau ayah Jai tengah sakit tapi tak tau sakit apa sampai geng dia kena buat kutipan untuk tolong ayah dia. Macam tu jugak watak Inspektor Saiful, sebab apa dia nak masuk komando tapi mak dia taknak dia jadi komando tak diceritakan sangat / cerita sekali imbas je. Tapi kelemahan yang lebih ketara bagi aku ialah filem ni tajuknya pentaklukan semula Lahad Datu tapi dalam filem ni nama tempat dan watak ditukar kepada nama fiksyen (Sultan Jamalul Kiram ditukarkan kepada Raja Iskandar, Kesultanan Sulu ditukarkan kepada Gerakan Militan Nusantara, Kampung Tanduo jadi Kampung Batu Jugar, Kampung Sri Jaya di Semporna ditukarkan jadi Kampung Air). Jadi bagi aku nama filem ni tak sepatutnya letak nama 'Lahad Datu' sebagai tajuk utama sebab expectation penonton macam aku ni ialah filem ni ialah tentang pencerobohan Lahad Datu tapi bukan... ianya cuma diinspirasikan dari insiden Lahad Datu.

Apapun aku enjoy filem ni dan macam biasa, lepas tengok cerita ni, kita akan rasa lebih hormat dan appreciate anggota-anggota keselamatan Malaysia yang berkhidmat untuk menjaga kedaulatan tanahair kita dengan mempertaruhkan nyawa dieorang sendiri. Semoga anggota-anggota keselamatan yang bertugas terpelihara dari sebarang ancaman bahaya dari pengganas dan penjenayah 🤲🏻. Besar pengorbanan dieorang dan keluarga dieorang.

Tamat review filem Takluk: Lahad Datu 😌.

Sambung cerita jalan-jalan dengan my mom. Kali kedua keluar dengan mak, mak bawak shopping coklat dekat Haniffa @ Jalan Masjid India sehari sebelum kejadian perempuan dari India yang jatuh dalam kejadian tanah jerlus tu (mak bawak jalan-jalan ye, bukan aku yang bawak mak jalan-jalan 😅). 


Rambang mata tengok coklat dekat Haniffa ni 😍

Kiteorang duduk minum teh dan kopi masala dari Tea Thambi


Esoknya, aku keluar lagi dengan mak. Kali ni bawak mak sarapan di TGSK. Khayla pun ikut sekali. Walaupun hari bekerja tapi ramai orang yang bersarapan di situ, cuma kiteorang tak perlu menunggu meja sebab masih ada meja kosong.


Happy mak dapat pergi sarapan pagi di tempat viral ni

Aku ambik lontong dan request letak sambal jawa sikit.  Kali ni baru ada rezeki merasa tempe goreng. Dua-dua sedap. Atas tu kopi mak. Mak dah kopi tak boleh berpisah.

Mak pulak ambik nasi dagang. Dia nampak sambal paru, so request sambal paru jugak.

Ni mak dah balik rasa sunyi pulak takde geng nak keluar jalan-jalan 🤭. Mak selalu kata kalau keluar dengan aku baru best sebab adventure. Adventure la sangat! 🤣 Padahal lain yang dirancang, lain yang terjadi, tu yang dia kata adventure 😂. Boleh baca kisahnya di sini.

Semoga mak sentiasa sihat dan dipanjangkan umur sebab masih belum puas nak bawak mak adventure ni. Teringin nak bawak mak melancong ke India sebab dari dulu lagi mak teringin nak ke sana cari boyfriend lama, Amitabh Bachan hihi. Tapi takut nak pergi berdua je dengan macam-macam kes yang kita dengar pasal negara tu sekarang ni.

Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-67 di Dataran Putrajaya

Tahun ni kiteorang gigih la datang menonton acara perbarisan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67 di Dataran Putrajaya. Siap tempah bilik hotel lagi sebab nak pergi tengok acara perbarisan secara langsung buat pertama kalinya dalam seumur hidup. 

Since kiteorang baca pengalaman orang yang pergi tahun lepas, rata-rata kata kena datang awal sebelum Subuh dan jalan confirm la sesak giler, jadi kiteorang buat keputusan untuk naik motor je dari KL ke Putrajaya. Hari Jumaat lepas solat Maghrib, kiteorang pun bertolak dari rumah dan sampai ke hotel di IOI City Putrajaya dalam 45 minit kemudian. Malam tu kiteorang semua tidur awal, tapi aku tak berapa lena tidur sebab tengah uzur dan agak heavy kali ni. Dua kali bangun untuk ke tandas. Sudahnya pukul 5 pagi bangun rasa macam tak cukup tidur, tapi gagahkan diri jugak untuk bangun sebab excited nak pergi tengok acara perbarisan.

 
Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67
Gigih tidur kat hotel dan naik motor pagi-pagi lagi nak ke Putrajaya!

Dari IOI City Mall ke Dataran Putrajaya mengambil masa kira-kira 20 minit. Tu pun sebab boleh menyelit-nyelit di celah-celah kereta. Kalau yang naik kereta aku rasa mau 40-50 minit baru sampai. Tapi sampai kat Putrajaya sebelum ke Jambatan Seri Wawasan, jalan ditutup dan motor semua diarah untuk parking tak jauh dari jambatan. Kena pandai-pandai la menyelit celah mana sebab masa ni parking motor tu pun dah hampir penuh sampai berlapis-lapis parking.


Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67
Pukul 5.20 pagi pun dah ramai orang yang datang

First thing first, mesti la kena singgah di masjid untuk solat Subuh. Dari tempat parking motor ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin kiteorang kena menapak hampir 2km. Dengan tak cukup tidurnya, dengan uzurnya, uish... belum mula acara perbarisan lagi aku dah kepenatan 😵‍💫.


Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67
Sementara anak-anak dan Suami Terchenta solat, aku duduk menunggu di tepi masjid

Dah selesai solat Subuh, barulah kiteorang bergerak ke Dataran Putrajaya. Tu pun kena menapak jauh lagi sebab kebanyakan tempat dah penuh. Akhirnya kiteorang dapat tempat kosong di tempat mula acara perbarisan. The good thing about our spot is belakang tu ada food trucks so boleh la beli makanan dan minuman untuk sarapan pagi sementara menunggu acara perbarisan bermula.

Dalam pukul 7.40 pagi macam tu, barulah program bermula dengan nyanyian lagu Negaraku selepas ketibaan DYMM YDPA, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar, diikuti dengan lafaz ikrar yang dipimpin oleh wira insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram Johor, Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa. Selepas lafaz ikrar, laungan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali dilafazkan dan diikuti oleh semua yang hadir dengan penuh semangat, termasuklah kiteorang.


Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67
Ramai-ramai mengangkat tangan sambil melaungkan 'Merdeka'

Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67
Orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang selepas tamat laungan 'Merdeka'


Lepas tu barulah acara perbarisan dimulakan. Aku tak sempat nak ambik gambar semua tapi ni antara kontinjen perbarisan yang aku sempat snap. Korang baca je la caption gambar-gambar ni ye:


Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67
Macam biasa, syarikat telco mesti bawak maskot masing-masing

Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67
Atas: Tak kenal pun pelakon-pelakon yang naik bas Astro tu.
Tengah: Kalau tak kenal Upin & Ipin, mesti baru balik bertapa dari gua selama 100 tahun kot.
Bawah: Buat pertama kali penghantar Grab join acara perbarisan merdeka jugak

Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67
Atas: Tengah bincang macamana nak bawak kuda lalu celah-celah orang ramai.
Bawah: Selain dari Grab, perarakan Chingay pun julung kali jugak join perarakan tahun ni

Yang ni pulak penyertaan dari agensi penguatkuasaan:


Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67
Atas: Dari National Scam Response Centre. Masa ni ramai-ramai jerit - 'Tangkap scammer tu, bang!'
Tengah: Ni JPA zaman bila entah.
Bawah, kiri: Oyen pun join perarakan tahun ni, kanan: Abam JPA pun nak glamer jugak

Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67
Amboi, abam JPJ pun nak bersaing dengan abam Bomba tahun ni, semua sado-sado jambu-jambu belaka


Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67
Ni crowd favourite - Abam Bomba. Yang kelakarnya yang paling kuat jerit 'Abang Bomba!' ialah dari penonton lelaki 🤣

Tengah berdiri di khalayak ramai sambil ambik gambar, tiba-tiba aku dapat alert dari Apple Watch - 'Your heart rate rose above 120bpm while you seemed to be inactive for 10 minutes'. Mak ai... patut la aku rasa pening-pening lalat, rasa nak terhuyung-hayang je. Bukan sebab tengok abang bomba tau, tapi sebab lupa bawak ubat malam sebelum tu, tak cukup tidur, period heavy, too crowded tak cukup oksigen... So Suami Terchenta kata balik je la. Dia takut aku terpengsan pulak kat situ.

Dengan berat hati kiteorang terpaksa balik sebelum acara perbarisan sampai ke kemuncak. Aku singgah di masjid sebab nak ke tandas, time ni la pulak jet pejuang dan helikopter lalu atas masjid! So tak dapat la aku tengok pertunjukan jet pejuang di udara. Betul-betul terkilan tapi tu la, bukan rezeki namanya.

Masa berjalan kaki balik tu heart rate aku yang biasanya kalau berjalan dalam lingkungan 90+ ke 119 bpm, naik mendadak ke 130 - 150+ bpm. Dah la kena menapak jauh! Kena jalan slow-slow, so sempat lagi ambik gambar trak tentera lalu di Jambatan Seri Wawasan:


Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67
Tentera dan aset tentera. Ramai yang berkerumun tepi jalan sambil melambai dan ambik gambar

Khayla yang paling enjoy tengok acara perbarisan ni sebab dia ni memang ada semangat patriotik yang tinggi. Khadeeja pulak kurang feel sikit sebab orang kat depan dia tu tinggi, so dia tak nampak sangat pun acara perbarisan kat depan.

Aku rasa cukup la sekali je pergi tengok acara perbarisan ni sebab lagi best tonton di televisyen, lain la kalau dapat tempat duduk yang strategik. Nak dapat tempat duduk strategik kena datang tengah malam dan tidur dekat situ, which aku rasa tak sanggup la weyh. Haha.

Breakfast Date dengan Geng Mak-Mak

Geng mak-mak aku ni aku kenal sebab anak-anak kiteorang bersekolah di sekolah yang sama sekarang ni. Memandangkan kiteorang ni semuanya pengurus rumahtangga (baca: surirumah sepenuh masa), jadi selalunya lebih senang nak ajak dieorang ni keluar makan sama-sama berbanding dengan geng brunch aku yang bekerja.

Macam Jumaat lepas, kiteorang keluar makan sama-sama di Bray Bakery sebab ni tempat favourite kiteorang kalau keluar bersarapan pagi. Kali ni kiteorang ada seorang lagi ahli baru, iaitu mak kepada BFF Khadeeja yang baru je join the club sebagai pengurus rumahtangga hehe.


Siapa kata bila berhenti kerja, akan jadi kera sumbang? Kita create new circle tapi circle lama jangan dilupakan...

Kali ni aku order menu yang lain pulak. Balik-balik kalau datang sini order shakshuka, kali ni nak cuba menu lain pulak. Yang aku order ni ialah roasted tomato & shellfish bisque (RM34), dihidang bersama cheese toast. Sedap!


Bray Bakery
Roasted tomato & shellfish bisque (RM34)

Oleh sebab aku tengah bendera Jepun, tetiba craving nak makan benda manis jugak. Yang ni aku kongsi dengan kawan, namanya brûlée french toast (RM24). Hidangan ni pulak bagi aku kurang sesuai dengan tekak aku sebab there are too many strong flavours in one dish - rasa cinnamon tu berlawan dengan rasa spiced maple orange syrup. Overall, rasanya jadi overwhelming di lidah. Kawan aku pun sama pendapat dengan aku.


Bray Bakery
Brûlée French Toast - roti yang disalut serbuk kayu manis, vanilla dan salted butter, disiram dengan spiced maple orange syrup dan dihidang dengan mascarpone cheese. Minuman - 65% Signature Venezuela Chocolate w Sea Salt 

Sambil makan tu, borak-borak pasal anak-anak, kurikulum sekolah dan pengalaman kerja masing-masing. Seronok dengar sebab masing-masing datang dari latar belakang yang berbeza - ada yang dari media dan hiburan, ada dari pendidikan swasta dan ada juga dari banking & sales. Member seorang ni baru je berhenti kerja tapi ada isu di tempat kerja lama yang belum settle, terus topik kiteorang berkisar tentang labour law. Tak pasal-pasal aku rasa macam masuk kerja balik sebab kena terangkan pasal employee rights dan prosedur grievance sebagai seorang ex-HR! 🤭

Jangan ingat surirumah ni bila lepak bincang pasal hal rumahtangga, sekolah anak, resipi, pinggan-mangkuk dan gajet rumah je tau hihi. Topik yang ni pun kiteorang cover jugak - minyak zaitun cap apa yang paling sedap, resipi roti sourdough, aktiviti bersama keluarga di hujung minggu yang menarik, tu semua masuk topik perbincangan jugak 😊.

Alhamdulillah rezeki hari Jumaat, Yana bagitau dia belanja kiteorang breakfast pagi tu. Semoga murah rezeki Yana dan suami! 🤲🏻

Nota kaki: Bila nak lepak dengan geng-geng blogger pulak?

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-67 Malaysia!

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Salam Hari Kemerdekaan buat seluruh warga Malaysia tak kira di mana anda berada. Semoga perpaduan antara kita saling terpelihara. Buangkan elemen negatif, pupuk semangat saling menghormati tak kira kaum dan agama dan sama-sama tanamkan semangat cintakan negara dan tanahair kita.

Semoga negara kita terus maju dan makmur, aman sejahtera buat selama-lamanya. Ameen YRA!


Malaysia Heritage Studios
Semoga Jalur Gemilang terus berkibar megah di mata dunia!

Nota kaki: Pernah bercita-cita nak berhijrah duduk luar negara tapi bila bercuti ke luar negara, aku sedar yang aku tak boleh hidup tanpa makanan Malaysia 😂. Balik Malaysia, menggagau cari roti canai, teh tarik, ayam masak merah, blablabla...

Dinner Yang Simple - Ikan Kembung Asam Rebus dan Sambal Belacan

Sebenarnya aku nak ambik gambar ikan kembung asam rebus ni dalam mangkuknya yang aku dah cedok dan susun cantik-cantik sebelum aku pergi ambik hp nak snap gambar tapi Suami Terchenta tak menyabar-nyabar nak makan, by the time aku dah ambik hp sekali tengok ehhh... seekor dah hilang selamat masuk dalam pinggan dia 🤭. Kesian pulak tinggal seekor je yang berenang dalam kuah asam rebus sebab aku masak 2 ekor je, 2 ekor lagi ikan kembung aku goreng sebab anak-anak sejenis tak reti makan menu orang tua (ni aku kena akur, sebab dulu masa aku muda-mudi pun tak suka makan masakan rebus tapi bila masuk 40an auto berubah selera kau... 🙊 Faktor penuaan sangat!).

Sudahnya ambik gambar dalam pinggan nasi sendiri je laaa... Tadah. Menu simple lagi. Hari-hari menu simple, senang hidup kau Jah... Tapi memang senang pun sebab Suami Terchenta jenis tolak batu dan kayu, yang lain semua dia makan. Anak-anak je picky eaters, nak goreng telur je tapi seorang tak makan telur seorang makan telur, ehhh complicated la dieorang tu!


Ikan Kembung Asam Rebus dan Sambal Belacan
Menu macam ni pun licin pinggan dibuatnya. Nasi 3 senduk je tau. Iolls patuh dengan arahan dietitian buat masa ni hihi...

Jangan hairan dengan sambal belacan tu ada ikan bilis, sebab di Sarawak macam tu la ghope sambal belacan kiteorang. Tumbuk sekali dengan ikan bilis. Bahan-bahannya cili & belacan ditumbuk sampai hancur dan halus, lepas tu tumbuk ikan bilis tapi tumbuk manjah je, bagi ada tekstur bila sedap masuk dalam mulut. Tau-tau dah licin ratah dengan timun.

Resipi ikan kembung asam rebus tu aku ambik dari IG - kunyit hidup sebesar ibu jari, lengkuas setengah ibu jari, bawang merah dalam 3-4 ulas dan cili padi (aku pakai cili merah je) blend sampai halus. Panaskan kuali, masukkan bahan-bahan yang dikisar tadi, lepas tu tambah air. Masukkan asam keping, tunggu sampai mendidih, baru masukkan ikan. Rebus sekejap, lepas tu masukkan daun kesum. Akhir sekali perasakan dengan gula dan garam, kalau nak masukkan perasa tambahan lain macam mushroom seasoning pun boleh je. Sedap hirup sup asam rebus ni 👍🏻.

Kalau korang pulak suka ke lauk simple macam ni?

Bawak Mak Makan di Capital Cafe @ Jalan TAR

Hari yang sama masa mak dan aku keluar jalan-jalan di Jalan TAR, kiteorang singgah makan di Capital Cafe berhadapan dengan SOGO. Kedai makan ni dah beroperasi sejak tahun 1956 (sebelum merdeka lagi!) dan dalam satu kedai ada beberapa gerai makan dari masanan Cina, India Muslim dan nasi padang. Kalau petang-petang lalu sini mesti korang akan terhidu aroma satay yang tengah dibakar di luar premis kedai. 


Capital Cafe berkonsepkan masyarakat majmuk

Kiteorang singgah sebab nak merasa nasi padang. Mula-mula mak takut-takut nak ambik lauk sebab takut pedas (sejak mak buat kimoterapi, dia dah tak boleh makan benda pedas). Tapi lauk kat sini ok la takde la pedas sangat pun.


Lauk pilihan mak (kiri dan tengah) dan aku (kanan)

Mak pantang jumpa paru, dia memang akan ambik lauk paru. Licin paru sepiring ni mak makan 😄

Aku ambik keli balado, sambal tempe goreng dan gulai nenas ikan masin - semuanya sedap

Total damage semuanya RM30. Mahal ke murah tu ye? Entah la, sebab aku jarang-jarang makan kat luar. Kalau tanya aku, aku rasa mahal kot sebab kiranya RM15 seorang. Tapi mungkin sebab lauk kiteorang banyak jenis.

Siapa yang pernah makan di Capital Cafe ni? 🙋🏻‍♀️

Kelemahan Bila Duduk Di Rumah Tinggi...

Kejadian minggu lepas. Balik dari jemput Khadeeja dari sekolah, tup-tup tengok lif rosak. Bukan satu, tapi semua! Tak tau apa puncanya, mungkin sebab kilat dan guruh berdentum-dentum sebelum tu. Sudahnya nak tak nak, terpaksa panjat anak tangga untuk naik ke rumah. Bukan 10, tapi 20 tingkat ke atas!


Memulakan pendakian dengan membaca Bismillah

Singgah di tingkat common area sebab nak check dengan management office tapi dah lepas waktu pejabat, semua orang dah balik. Security guard pun tengah cuba contact management kondo jugak. Aku tanya Khadeeja, nak tunggu ke atau nak naik terus? Silap orang aku tanya. Korang tau tak dia boleh berlari naik tangga 10 tingkat? Mak dia termengah-mengah kat belakang asyik mintak tunggu sebab nak berhenti rehat kejap! 🤣


Panjang lagi perjalanan menuju ke puncak rumah...

Sepanjang perjalanan tu ada jugak bertembung 2-3 orang penduduk yang lain, tapi dieorang turun ke bawah kiteorang berdua je yang gigih memanjat tangga. Masing-masing mengucapkan selamat dekat kiteorang dengan pandangan simpati. Eleh, lepas tu korang pun akan naik atas jugak!

Tak sangka it took us only 10 minit je nak naik 20 tingkat menggunakan laluan tangga. Bangga dengan pencapaian diri-sendiri walaupun lutut rasa nak tercabut 🤭. Sejam kemudian, Suami Terchenta balik dan terus terbaring di ruang tamu kepenatan. Masalah lif belum settle katanya. Meriah suasana di tangga sebab ramai penduduk lain yang menggunakan laluan tangga nak balik ke rumah. Sepanjang dia naik ke rumah, ramai jugak yang berhenti 'take five' sambil menikmati pemandangan di luar. Khadeeja kata, kesiannya siapa yang duduk di tingkat 30 ke atas. Kalau rumah kiteorang kat tingkat 30, aku rasa lebih baik aku tidur di rumah kakak.

Lepas tu Khayla pun balik dari sekolah. Kiteorang tanya, Khayla naik lif ke naik tangga? Naik lif. Oh, lif dah ok ke? Tak ok lagi, jawabnya selamba. Masa dia lalu di lobi, dia perasan ramai orang yang duduk lepak-lepak di lobi. Ada ibu mengandung, warga emas, kanak-kanak... semua tengah menunggu sesuatu. 

Khayla cerita dia nampak satu lif ni terbuka tapi ada seorang budak ni bagitau Khayla lif rosak. Khayla pulak sejenis 'eh ye ke?' kena cuba dulu baru percaya. Jadi dia pun masuk lif yang terbuka ni, scan access card dan tekan nombor tingkat rumah. Tiba-tiba pintu lif tertutup dan dia pun jadi satu-satunya penduduk dalam bangunan ni yang berjaya naik ke rumah tanpa perlu panjat tangga! 😆 Lepas tu dia rasa bersalah sebab tak ajak orang lain naik lif sekali dengan dia (yalah, mana la dia sangka lif tu akan berfungsi). Tapi berisiko jugak tindakan dia tu sebab kalau lif tu tutup dan tak bergerak, tak pasal-pasal terperangkap dalam lif pulak. Syukur la lif tu bergerak naik dan terbuka di tingkat rumah kiteorang 😅.