Hiatus again: Going on holy day (holiday)

Assalamualaikum kawan-kawan,

Alhamdulillah, kiteorg adik-beradik dan mak akan bertolak ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah umrah. Mohon doa semoga dipermudahkan urusan kami sekeluarga dan pahala ibadah umrah kami diterima oleh Allah SWT 🤲🏻.


Semoga selamat pergi dan selamat tiba di Tanah Suci...

Nota kaki: maaf lama tak update blog busy sikit. Macam susah sikit nak update guna hp ni 😅.

Ubat Batuk Perisa Coklat Vanila?

PENAFIAN & PERINGATAN: Entry ni BUKAN bertujuan untuk promote atau iklankan ubat batuk, tapi sekadar berkongsi pengalaman ambik ubat batuk jenama dalam gambar dekat bawah ni ✌🏻. Sebelum ambik ubat-ubatan, dapatkan nasihat dari doktor perubatan bertauliah dulu lagi-lagi pesakit on long-term medication dan anak-anak bawah usia 12 tahun. Ubat ni TAK sesuai untuk semua golongan terutama kanak-kanak bawah 2 tahun dan sesiapa yang ada komplikasi kesihatan. Ubat ni mungkin boleh mendatangkan ALAHAN dan KESAN SAMPINGAN yang boleh membahayakan kesihatan seperti tertera dalam pamphlet dalam kotak ubat.

Baru-baru ni aku dan Khadeeja kena batuk dan selsema. Selsema ni ok lagi, bila sekali dengan pakej batuk ni tak boleh nak rilek langsung. Nak tidur pun asyik terjaga je sebab batuk.

So pergi la farmasi nak beli ubat batuk. Kebetulan pernah ternampak IG story sorang influencer ni bagitau ada ubat batuk perisa coklat vanila, jadi aku pun tanya ada tak ubat batuk perisa coklat dekat farmasi? Ahahaha! Sebabnya part paling tak best la makan ubat batuk. Kalau ada ubat batuk perisa coklat ni, mau ler aku cuba.

Sekali hadoo ye jual kat farmasi tu! Ni dia... ubat batuk perisa coklat vanila. Harga sebotol ni RM10. Bila aku cuba ubat batuk ni, memang ye la rasa coklat vanila! Tapi versi yang manis leting walaupun katanya takde gula. Wah, kalau semua ubat rasa coklat, ramai la tak takut sakit agaknya 😅. 

Efek ubat ni agak power jugak la bagi aku. Kalau ikut sukatan, untuk dewasa 10-20ml. Aku ni selamba la teguk 20ml. Sekali haa... hambik ko! Terus pengsan berjam-jam dibuatnya! Lepas bangun tidur pun masih rasa lalok / drowsy. Malam tu aku ambik 10ml je tapi still dapat tidur lena sampai ke pagi tanpa gangguan batuk. 

Nasib baik takde anak-anak kecik kat rumah ni. Kalau tak kena simpan dekat tempat tersorok takut dieorang ingat ni chocolate syrup bukan ubat batuk 🫣.

 

mucoprom syrup
Ubat batuk paling sedap pernah aku cuba

Cara Menyemak Nombor Akaun atau Nombor Telefon Scammer

Sekarang ni isu scammer belum setel lagi walaupun dah masuk tahun 2025. Macam-macam cara dieorang nak dapatkan duit dengan cara menipu orang awam. Lagi-lagi sekarang ni sesiapa je boleh beli ruang iklan kat media sosial, lepas tu buat iklan jual barang / kutip dana. 

Untuk melindungi orang awam dari penipuan scammer, elok la sekiranya sebelum buat pembayaran dalam talian korang semak dulu sama ada akaun bank tu pernah dilaporkan ke pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, PDRM ke tak.

Berikut ialah cara-cara menyemak kesahihan nombor akaun bank sebelum buat pembayaran:

1. Pergi ke portal CCID (Commercial Crime Investigation Department) / Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM : https://semakmule.rmp.gov.my/.

2. Masukkan nombor akaun bank / nombor telefon / nama syarikat yang ingin disemak.

3. Pilih kategori mengikut maklumat yang diisi.

4. Lengkapkan pengesahan 'Captcha'. 

5. Tekan butang 'Semak Maklumat':


detect scammer
Tangkap layar dari portal CCID

Kalau ada laporan dalam rekod pihak polis, bermakna akaun / nombor telefon / syarikat tu mungkin kepunyaan scammer. Kalau takde pulak, tak bermaksud ianya selamat. Teruskan berwaspada dan jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang terlalu menarik untuk dipercayai (too good to be true), terlalu murah dan tak masuk akal walaupun nampak macam betul / legitimate. Ni bukan zaman ahlong edar flyer macam dulu-dulu, scammer pun dah bijak sekarang ni. Jadi, berhati-hatilah dalam urusan yang melibatkan wang kita.


detect scammer

Boleh tonton video ni untuk cara-cara semak melalui aplikasi Semak Mule pulak:


Makan Tengahari di Restoran Halab Gate @ Bukit Bintang KL

Aktiviti JJCM ni berlaku dalam bulan Oktober jugak. Kali ni nak cuba restoran Arab, Halab Gate di Bukit Bintang KL. View kat sini cantik menghadap laluan monorel dan pemandangan Bukit Bintang. Lokasi pun tak jauh dari stesen MRT Bukit Bintang.


Halab Gate Bukit Bintang
Open air seating di tingkat 2 @Restoran Halab Gate di Bukit Bintang


Halab Gate Bukit Bintang
Jom cuba nasi Arab kat sini

Halab Gate Bukit Bintang
Abaikan muka Khadeeja yang mencuka tu sebab dia dah kelaparan atau mode 'hangry' (hungry + angry) 🫣

Halab Gate Bukit Bintang
Cantik pemandangan dari meja kiteorang tapi satu je la, panas berbahang kat atas ni. Kipas ada tapi tak rasa pun angin dari kipas tu

Macam biasa anak-anak request nak nasi mandy kambing. Kiteorang pesan 2 pinggan, satu pinggan tu kongsi berdua. OK la, not bad sedap nasi mandy kat sini. Cuma portion kambing tu aku rasa macam kecik, portion untuk seorang makan. Biasa bila pergi restoran Arab yang lain, portion kambing tu besar. Harga pun keras, maklumlah dekat kawasan tumpuan pelancong asing kan.


Halab Gate Bukit Bintang
Nasi mandy kambing (RM45)

Kalau pergi sebelah malam mungkin sejuk sikit kot nak lepak di tingkat atas ni. Waktu siang lebih baik mintak meja di tingkat satu sebab ada aircond. Tapi view tingkat atas tu memang awesome la.


Halab Gate Restaurant & Lounge
Alamat: 51, Jln Sultan Ismail, Bukit Bintang, 50250 Kuala Lumpur
Masa Operasi: 10.30 pagi - 5 pagi

Ada Sesiapa Yang Rindu Kiera Tak?

Persian cat

Amboi kemain dia tengok kita. Kepala lentok la, kepala terpusing macam Noor Kumalasari dalam filem Misteri Rumah Tua la (YTJT hihi...). Sejak bawak dia & Louis pegi klinik haiwan bagi ubat cacing dan ubat kutu, bulu dia dah makin sihat dan tebal ala-ala bulu patung teddy bear.

Lepas tu dia ni kan, pantang kalau tengok kita pegang sikat kucing. Mula la dia tergedik-gedik atas lantai mintak disikat. Suka nau dia dengan sikat tu. Hobi dia sekarang ni ialah duduk menyandar kat dinding. Tempat dia pilih nak duduk tu pulak kawasan lalu-lalang yang sempit. Risau je kiteorang sebab takut terpijak perut dia yang gebu-gebas tu. Apa-apa je la, asal bahagia ye Kiera 😄.

Nota kaki: Belum berkesempatan nak update blog sebab sekarang kalau bukak laptop je akan pergi blogwalking ke blog kawan-kawan yang dah lama tak dijengah. Mana-mana kawan-kawan yang aku belum sempat jengah dan tinggalkan komen kat blog korang tu, mintak maaf ye. Tengah buat satu persatu sekarang ni 😅. Ambik masa sikit sebab aku baca blog entry yang lepas-lepas jugak dekat setiap blog.

Brunch dengan Geng BFF @ Beirut Habibi

Throwback bulan Oktober pulak. Kali ni geng BFF yang dah lama tak bersua muka ajak brunch di restoran Beirut Habibi yang terletak di Bangsar. Dari Pakistan ke Beirut pulak hihi. Sesekali kita cuba makanan negara lain apa salahnya kan. Nak travel tak cukup ongkos pulak 😅.


Middle Eastern food
Beirut Habibi - suka restorannya kecik tapi selesa dan vibe warna terang yang menarik


Beirut Habibi
Sementara tunggu makanan kita selfie macam biasa 🤭

Kalau takde kawan kiteorang si Zura tu mesti la tercengang nak order makanan kat situ hehe. Tapi sebab suami dia orang Arab jadi dialah yang rekemen apa yang sedap untuk dicuba. So ni ialah menu yang kiteorang cuba dan semuanya sedap!


Beirut Habibi
Hidangan negara Timur Tengah - semuanya sihat sebab banyak sayur dan cara masakan pun kebanyakannya panggang, menggunakan rempah-ratus dan minyak zaitun

Zura pesan Chicken Harissa, iaitu ayam yang diperap dengan rempah-ratus, pes harissa, bawang putih dan bawang dan dibalut dalam roti pita. Ayamnya cukup perisa dan portion pun agak besar.


Beirut Habibi
Harissa Chicken (RM28)

Aku pulak pesan shakshuka dengan halloumi (sejenis keju). Shakshuka kat sini dihidangkan dengan roti pita dan ciabatta untuk cicah dan makan dengan shakshuka. Bagi aku sedap tapi aku lebih suka shakshuka di Bray Bakery.


Beirut Habibi
Shakshuka (RM28) dengan halloumi (RM12)

Akhir sekali, Nurul pesan Veggie Platter (RM38). Mula-mula aku ingatkan mesti tak best sebab sayur je semata-mata hihi. Tapi eh, sedap pulak! Padahal sayur semata-mata. Mesti sebab ada hummus 🤭.


Beirut Habibi
Veggie Platter (RM38)

Harga makanan kat sini memang agak keras sikit tapi tak salah mencuba makanan baru kan. Menu pulak sedap dan sihat. Sebenarnya makanan orang Arab ni sihat sebab banyak rempah-ratus, sayur dan cara masakan pun banyak panggang dari goreng. Minyak pun pakai minyak zaitun. Kalau pernah dengar Mediterranean diet, hidangan Timur Tengah ni banyak menyerupai Mediterranean diet dari segi penggunaan bahan-bahan masakan. Terima kasih Zura, perkenalkan kiteorang dekat restoran Beirut Habibi ni!


Beirut Habibi
Alamat: 11B, Lorong Kurau,
Taman Weng Lock, Bangsar,
59100 Kuala Lumpur.
Masa operasi: 11 pagi - 10 malam (Isnin - Jumaat) / 9 pagi - 10 malam (Sabtu & Ahad)

Makan Malam di Restoran Pakistan Bagh-e-Zaitoon

Memandangkan dah lama tak update blog, jadi lepas ni akan ada banyak posting throwback hihi. Yang first ni throwback bulan September lepas. Kiteorang tak tau nak makan malam kat mana so end up makan malam di restoran Pakistan tak jauh dari area rumah kiteorang.


Kedai Makan Pakistan
Luar restoran

Dalam restoran agak luas dan bersih. Ala-ala makan kat kedai Arab la.


restoran Pakistan
Dalam restoran

restoran pakistan
Banyak jugak pilihan menu cuma tak tau nak makan apa

Masa belek menu, memang clueless jugak la nak order apa sebab tak pernah makan di restoran Pakistan sebelum ni. Selalu makan kat kedai Arab atau kedai India Muslim je kan. Last-last kiteorang pesan hidangan nasi untuk kongsi makan, sejenis kebab Pakistan dan pencuci mulut. 


Bagh-e-Zaitoon
Kabuli Pulao

Sebenarnya aku confuse sebab bila aku Google hidangan ni sebenarnya berasal dari Afghanistan, bersempena dengan nama bandar utama Afghanistan iaitu Kabul. Tapi mungkin sebab dieorang negara berjiran kot, sebab tu ada hidangan ni dalam menu restoran Pakistan ni. Nasi ni dihidangkan dengan sejenis sup (kofta) dan salad timun. Kalau korang penggemar hidangan nasi dari Timur Tengah boleh la cuba sebab bagi aku sedap.

Selain dari hidangan nasi, Suami Terchenta jugak pesan kebab Pakistan ni:


Bagh-e-Zaitoon
Chicken Seekh Kabab (aku tengok banyak website buat ejaan 'kebab' ni 'kabab)

Rasanya agak berbeza dari kebab Turki atau kebab Arab. Ianya ialah daging kisar yang diperap dengan rempah-ratus termasuk garam masala sebelum dipanggang. Bagi aku not bad, cuma aku lebih suka kebab Arab.

Khayla pulak pesan roti cheese naan dia. Memang melimpah dengan cheese ye! Kiteorang tumpang rasa, memang sedap roti cheese naan kat sini.


Bagh-e-Zaitoon
Cheese naan (Khayla bagi rating 10/10)

Yang terakhir, kiteorang pesan hidangan pencuci mulut, kheer / puding nasi. Dessert ni dibuat dari nasi (beras basmati), susu, gula dan buah pelaga (cardamom) dan ditabur dengan kekacang. Simple je resipinya tapi sedap.


Bagh-e-Zaitoon
Kheer

Overall, makanan kat restoran ni memang sedap dan menepati citarasa kiteorang. Cuma satu je la, susah nak parking sebab betul-betul kat tepi jalan raya utama. 


Bagh-e-Zaitoon
Alamat: Lot 161, Jln Sultan Azlan Shah, Titiwangsa Sentral, 51200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu Operasi: 12 tengahari - 2 pagi

Salam Tahun 2025

Apa khabar kawan-kawan yang rajin singgah di blog aku ni. Dah lama rupa-rupanya aku menyepi. Entah kenapa aku ketandusan idea dan mood nak blogging hujung tahun lepas. Walaupun dapat banyak email dari syarikat yang nak buat sponsorship iklan dan guest post, tapi aku declined sebab aku malas nak online. Sekarang ni aku blogging sebab minat dan suka-suka untuk menulis tentang kehidupan seharian. Jadi kalau tiba-tiba mood nak menulis tu menjunam, memang tak boleh paksa-paksa nak menulis huhu... Itulah yang berlaku.

Anywayyy... tahun baru, azam baru. Tahun ni kami berdua berazam nak lebih sihat. Nak ubah cara pemakanan, jadi lebih aktif dan (untuk aku) nak dapatkan BMI yang normal. Sekarang ni aku masih lagi duduk dalam kategori 'Obese'. Bila aku check berapa berat ideal aku melalui kalkulator BMI, nak nangis uwaaa! Mengikut kalkulator tu, berat aku sepatutnya tak lebih dari 53kg 🫣. Good luck la kepada diri-sendiri untuk mencapai berat tu 🥺.


hiking
Aktiviti riadah sempena tahun baru dan azam baru di Taman Tugu

Walaupun nampak agak impossible tapi Insha Allah akan diusahakan. Bermula dengan buat intermittent fasting dan berjalan 10 ribu langkah sehari. Follow IG @nutritionistkkm pun banyak jugak tips untuk mencapai berat ideal. Moh ler kita cuba!


tips berat ideal
Kredit: IG @nutritionistkkm


P/S: Apa azam tahun baru korang?