Hari Ke-9 - Takde Idea Nak Masak Apa, Jom Ke Bazaar Ramadhan Taman Dato Senu

Panjang bebenor tajuk entry kali ni.

Jumaat lepas aku kekeringan idea nak memasak. Dalam peti sejuk ada ikan kembung dan udang, tapi tak rasa nak makan makanan laut. Jadi bila Suami Terchenta balik dari ofis, aku pun ajak dia ke bazaar Ramadhan. Asalnya aku dah berniat nak beli nasi kukus ayam planta (terpengaruh lepas baca blog nohas), tapi Suami Terchenta nak cuba bazaar Ramadhan yang baru. Jadi kiteorang pun ke bazaar di Taman Dato Senu.


Bazaar Ramadhan Taman Dato Senu

Aku rasa lagi seronok meninjau gerai-gerai di bazaar ni berbanding dengan bazaar di Jalan TAR. Mungkin sebab tak sesesak di Jalan TAR dan lebih banyak gerai jual lauk-pauk kot. Memang rambang mata bila tengok pelbagai juadah yang dijual kat sini. 

Lepas berjalan-jalan tengok semua gerai, akhirnya kiteorang decide beli nasi kukus ayam berempah (pilihan Suami Terchenta dan aku), apam beras, agar-agar pandan dan kuih ketayap (pilihan Khadeeja) dan sate, sayap ayam dan ketupat palas (pilihan Khayla). Minuman pulak, kiteorang beli air kelapa, tebu dan macam biasa Khayla pilih milo ais. Oh ya, aku beli kuih lopes jugak sebab dah lama tak makan.

Sebelum balik Suami Terchenta sempat singgah bayar zakat fitrah di kaunter zakat:



Untuk WP KL, kadar zakat fitrah yang telah ditetapkan oleh MAIWP mengikut beras yang kita makan ialah RM7 (beras tempatan), RM14 (beras import) dan RM21 (untuk beras merah, beras basmathi dan beras Jepun).

So ni la hasil tangkapan di bazaar Ramadhan Taman Dato Senu:


Bazaar Ramadhan Taman Dato Senu

Tak menyesal beli nasi kukus ayam goreng berempah ni walaupun mahal (RM9.50) tapi sedap sangat! Portion nasinya agak banyak tapi dapat dihabiskan. Ayam goreng berempah macam biasa aku pilih bahagian peha, sedap dan lembut isinya, cukup semua rempah.


Bazaar Ramadhan Taman Dato Senu
Cuma serdak rempahnya limited edition. Kalau lagi banyak, mesti lagi layannnn...

Walaupun kekenyangan lepas menghabiskan nasi kukus ayam goreng berempah, aku jamah jugak kuih lopes yang dibeli tadi. OK, sedap. Tekstur agak kering sikit tapi bila dah rendam dengan air gula melaka tu sedap je.


kuih lopes

Cuma sate panggang je yang kurang laku sebab anak-anak kata lebih banyak kulit dari isi. Ya, anak-anak aku tak suka makan kulit ayam. Kalau bagi kepak dengan dada ayam, dieorang lebih suka dada ayam sebab takde kulit 😅. Takpe, Louis dah sedia menunggu habuan lebihan dari makanan berbuka puasa. Kemain seronok dia dapat makan banyak ayam!

Menu Berbuka Puasa 8 Ramadhan

7 Ramadhan aku masak corned beef goreng, sayur kobis dan telur mata. Sedap tau corned beef goreng makan dengan telur mata goyang. Sampai terlupa nak ambik gambar. Untuk sahur aku goreng kepak ayam. Dah cukup.

Seterusnya 8 Ramadhan aku buat kari ayam. Sayur kobis semalam tak habis lagi jadi aku keluarkan dan panaskan untuk makan dengan kari ayam. 

Malam sebelumnya Khadeeja request sagu gula melaka. Nak didih sagu tu ambik masa betul sebab kena kacau-kacau selalu. Pernah sekali aku tinggal camtu je sagu mendidih, 20 minit kemudian aku tengok semua sagu dah cair! Tapi aku tunaikan jugak permintaan Khadeeja sebab dia suka sangat sagu gula melaka ni. Petang tu kiteorang sekeluarga bekerjasama buat karipap sardin.

Last sekali, Khayla bawak dari sekolah bawak bubur lambuk. Katanya cikgu edarkan kepada semua pelajar hari ni. Alhamdulillah, terima kasih kepada pemberi.



Buat kerja gila berbasikal ke Taman Tasik Titiwangsa

Sebelum aku terpengsan petang nanti, baik aku update siap-siap aktiviti pagi ni. Kiteorang buat kerja gila berbasikal ke Taman Tasik Titiwangsa! 😅

Sebenarnya berlaku salah faham sikit dengan Suami Terchenta. Plan aku sebenarnya nak angkut basikal dalam kereta Exora lepas tu drive ke Taman Tasik Titiwangsa. Tapi Suami Terchenta ingatkan nak berbasikal terus ke Taman Tasik. Ah sudah. Nak tak nak terpaksa la ikutkan Suami Terchenta hehe.

Jarak ke Taman Tasik Titiwangsa tu takde la jauh sangat cuma yang mencabarnya nak menyeberang jalan raya yang sibuk. Pagi tu sebab gerak awal pukul 7.30, trafik ok lagi tapi masa nak balik tu rasanya dekat 20 minit jugak la kiteorang tunggu jalan clear sikit baru dapat menyeberang jalan besar.

Itulah cabarannya di negara tercinta ni, tak mesra basikal dan pejalan kaki. Sebab tu la Malaysia dinobatkan negara ketiga tertinggi di dunia malas berjalan kaki. 🫣 Kita bukan malas tapi infrastruktur nak berjalan / berbasikal tu nan hado...


berbasikal ke Taman Tasik Titiwangsa
Dah sampai...

berbasikal ke Taman Tasik Titiwangsa
Ambik gambar sebagai bukti hihi...

Dah sampai di Tasik Titiwangsa, kiteorang pusing satu round je lepas tu Khayla complain penat. Mengenangkan perjalanan pulang lagi, kiteorang follow je. Oh ya, Khadeeja tak ikut sebab lepas sahur dia terus masuk tidur balik.

On the way balik, kiteorang ikut jalan pintas yang tembus di sebelah sekolah Khayla. Dekat sikit. Patutnya awal-awal lagi ikut jalan pintas huhu.

Petang ni nak masak apa ye? Masalah ibu-ibu betul. Tapi sebelum tu, aku nak lelap sekejap la. Penat jugak mengayuh basikal 6km 😮‍💨.

Buat Karipap Sardin Untuk Berbuka Puasa

Semalam tetiba terasa nak makan karipap sardin. Nak beli di pasar Ramadhan takut dapat karipap oksigen pulak, jadi aku cuba buat sendiri. #siscuba 

Part membuat kulit karipap dan masak inti sardin tu OK lagi, tapi part mengelim karipap tu aku serahkan dekat Khayla sebab hasil kelimannya lebih kemas dan cantik daripada aku buat. 😂


karipap sardin
Khayla kena kerah mengelim karipap lepas balik dari sekolah

Jadi kiteorang pun bahagikan tugas - Khadeeja meleperkan doh, aku meletak inti, Khayla mengelim karipap dan Suami Terchenta menggoreng karipap. #apayangpentingkerjasama


karipap sardin
Masing-masing bekerjasama buat karipap

Inilah hasil kerjasama anak-beranak, alhamdulillah menjadi:


karipap sardin
Alhamdulillah cantik kejadiannya

karipap sardin
Tercapai hasrat makan karipap inti sardin

Inti karipap aku guna sambal sardin yang kering.

Resipi buat kulit karipap aku rujuk kat sini.

i-Sayang you 2%...

Sumber imej: KWSP

Psst... korang tau tak pasal i-Sayang? i-Sayang yang telah dilancarkan oleh KWSP ni merupakan pemindahan sukarela sebanyak 2% caruman KWSP daripada akaun suami kepada akaun isteri.

Buat pengetahuan korang, i-Sayang ni baru je lagi dilancarkan pertengahan bulan ni. Masa nilah para isteri boleh tuntut 'kasih sayang' para suami masing-masing 😄.

2% mungkin tak banyak bagi sesetengah orang, tapi bagi para isteri yang memilih jadi 'stay-at-home partner', inisiatif ni sesuatu yang amat dialu-alukan. Bukan apa, kita isteri yang sekarang bergelar pengurus rumahtangga ni pun nak pastikan kestabilan ekonomi pada hari tua kelak. 

Bila dapat tau je KWSP dah lancarkan i-Sayang ni, aku pun apa lagi terus bagitau Suami Terchenta hehe. Alhamdulillah ternyata dia memang cinta sejati aku, tanpa banyak soal terus daftar i-Sayang dan dapatkan kelulusan 😆 🥰.

Syarat-syarat kelayakan untuk pemberi (suami) dan penerima (isteri) ialah mestilah seorang ahli KWSP, berumur kurang dari 75 tahun dan perkahwinan didaftarkan bawah undang-udang Malaysia. So yang kahwin lari di negara sempadan dan tak daftar perkahwinan tu, sorry. Anda tak memenuhi syarat kelayakan. 

Untuk mendaftar i-Sayang, suami cuma perlu mendaftar masuk ke dalam i-Akaun (ahli) atau pergi ke pejabat KWSP yang terdekat berserta dengan Borang Permohonan Pendaftaran i-Sayang - KWSP 16G (SY) yang telah lengkap diisi. 

Selepas pendaftaran diluluskan, KWSP akan membuat potongan untuk gaji bulan depan dan  masukkan ke akaun 1 KWSP isteri. Berita baik buat para isteri,  caruman ni TAK BOLEH ditarik balik atau dibatalkan melainkan berlaku perceraian atau kematian isteri ✌🏻.

Untuk keterangan lanjut, boleh pergi ke laman web KWSP.