Friday, September 08, 2023
Makmum Masbuq Ketika Imam Tahiyat Akhir, Perlu Membaca Tahiyat Akhir Atau Awal?
![]() |
Kredit: Saripkay.com |
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Pertama hendaklah difahami terlebih dahulu maksud makmum muwafiq dan masbuq. Makmum yang muwafiq ialah makmum yang mempunyai masa yang cukup untuk membaca al-Fatihah selepas takbiratul ihram dengan bacaan kadar kelajuan sederhana ketika imam sedang berdiri pada rakaat pertama.[1]
Manakala makmum yang tidak sempat menyempurnakan bacaan al-Fatihah selepas takbiratul ihram pada rakaat pertama dan berjemaah bersama imam selepas itu maka ia merupakan makmum masbuq.[2]
Dalam hal ini seorang makmum sama ada masbuq atau muwafiq hendaklah mengikut kepada imamnya dalam solat berjemaah. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW bahawa Baginda bersabda:
إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا رَكَعَ، فَارْكَعُوا وَإِذَا رَفَعَ، فَارْفَعُوا
Oleh yang demikian, makmum hendaklah mengikuti kepada perbuatan zahir imam dalam solat berjemaah. Apabila makmum mengikuti imam ketika sedang duduk tahiyyat akhir, maka hendaklah makmum membaca bacaan tahiyat akhir.
Ini sepertimana yang disebutkan dalam banyak kitab Fiqh al-Syafie, antaranya dijelaskan oleh Imam Zakaria al-Ansari bahawa:
أَمَّا الْمَسْبُوقُ إذَا أَدْرَكَ رَكْعَتَيْنِ مِنْ الرُّبَاعِيَّةِ فَإِنَّهُ يَتَشَهَّدُ مَعَ الْإِمَامِ تَشَهُّدَهُ الْأَخِيرَ وَهُوَ أَوَّلُ لِلْمَأْمُومِ وَلَا يُكْرَهُ لَهُ الدُّعَاءُ فِيهِ بَلْ يُسْتَحَبُّ.
Maksudnya: Adapun makmum yang masbuq, jika dia sempat mengikut imam dua rakaat terawal daripada solat empat rakaat, maka dia hendaklah membaca bacaan tahiyat akhir bersama imam walaupun ia merupakan tahiyat awal baginya (makmum). Selain itu, tidak makruh baginya untuk membaca doa yang lain ketika duduk tahiyat tersebut bahkan disunatkan. [3] (Rujuk Asna al-Mathalib, 1:166)
Apa yang dimaksudkan dengan ‘doa’ tersebut ialah selawat dan salam ke atas ahli keluarga Nabi SAW dan selepas itu daripada bacaan tahiyat akhir. Ini apa yang disebutkan oleh Imam al-Syarwani dalam Hasyiah-nya bahawa:
وَالْمُرَادُ بِالدُّعَاءِ الصَّلَاةُ عَلَى الْآلِ وَمَا بَعْدَهُ كَمَا يُصَرِّحُ بِهِ مَا يَأْتِي عَنْ سم وَقَوْلُهُ م ر أَنَّهُ لَا يُكْرَهُ لَهُ الدُّعَاءُ إلَخْ وَمِنْهُ الصَّلَاةُ عَلَى الْآلِ كَمَا نَقَلَهُ سم عَلَى حَجّ عَنْ إفْتَاءِ الشِّهَابِ الرَّمْلِيِّ اهـ
Maksudnya: Apa yang dimaksudkan dengan doa tersebut ialah selawat dan salam ke atas ahli keluarga Nabi SAW dan bacaan yang selepasnya daripada tahiyat akhir seperti yang dijelaskan Imam Ahmad Ibn Qasim al-’Abadi. Kata beliau iaitu Imam Syamsuddin al-Ramli, bahawa tidak dimakruhkan baginya doa, antaranya ialah selawat dan salam ke atas ahli keluarga Nabi SAW seperti dinyatakan oleh Imam al-’Abadi daripada Ibn Hajar al-Haitami dinukil daripada fatwa Imam Syihabuddin al-Ramli.[4] (Rujuk Hasyiah al-Syarwani, 2:87)
Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa makmum masbuq yang berjemaah bersama imam yang sedang keadaan tahiyat akhir, maka makmum disunatkan membaca bacaan tahiyat akhir juga iaitu termasuk selawat dan salam ke atas ahli keluarga Nabi SAW dan bacaan selepas daripada itu.
WaAllahu a’lam.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan