|
Sumber imej: Freepik.com |
Burrppp... erkkkk...
Pernah tak duduk sebelah orang yang bersendawa lepas makan petai? Terus keluar bau petai hihi.
Sendawa ialah bunyi yang keluar dari kerongkong akibat gas yang ditolak naik dari dalam perut. Sebab tu bila seseorang bersendawa lepas makan makanan yang berbau kuat, orang sekeliling boleh terhidu bau makanan yang sedang dihadam dan tak semua merasakan bau tu enak.
Menurut Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi), seorang penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah, terdapat beberapa adab ketika bersendawa menurut pendapat para ulama.
1. Menahan sendawa
Terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tarmizi, seorang lelaki sendawa di sisi Rasulullah SAW lalu Rasulullah SAW bersabda:
Tahanlah sendawamu di hadapan kami. Kerana orang yang paling kenyang di dunia, (dibimbangi) paling lama laparnya di hari kiamat.
Hadis ini merujuk kepada perbuatan sendawa akibat makan sehingga kekenyangan kerana makan berlebihan ditegah dalam Islam untuk mengelakkan seseorang dari lemah fikiran dan tubuh badan sehingga malas beribadah.
Oleh itu, apabila seseorang ingin bersendawa, hendaklah dia menahannya kerana akan menyebabkan orang sekeliling berasa tidak selesa akibat bunyi yang kuat dan bau yang kurang menyenangkan.
2. Mengucapkan 'Alhamdulillah' selepas sendawa
Tiada hadis yang menyatakan seseorang perlu mengucapkan 'Alhamdulillah' selepas bersendawa, namun sebagai hamba Allah, kita disyariatkan untuk mensyukuri nikmat Allah. Mengucapkan 'Alhamdulillah' selepas sendawa ialah tanda syukur seseorang atas nikmat makanan yang diberikan oleh Allah kepadanya.
3. Menutup mulut ketika sendawa dan tidak sendawa di depan orang lain
Sebagai umat Islam, kita ditegah daripada menyakiti saudara kita dan juga orang sekeliling baik dari perbuatan mahupun percakapan.
Oleh itu, apabila kita tidak dapat menahan diri dari sendawa, hendaklah kita menutup mulut supaya menghindari bau yang terkeluar dari mengganggu dan menimbulkan rasa tidak selesa kepada orang lain. Sekiranya kita boleh beredar, hendaklah kita beredar dan mengeluarkan sendawa jauh dari orang lain.
Sumber: MStar