Salam tahun baru semua,
Pagi-pagi lagi aku dan Suami Terchenta bersiap-siap untuk ke pasar. Asalnya Suami Terchenta mengajak ke Pasar Selayang iaitu tempat biasa kami membeli barang-barang basah tapi aku mencadangkan pergi ke Pasar Chow Kit je. Lagipun sepanjang 2 tahun kami duduk di Sentul, kami tak pernah lagi menginjak kaki ke Pasar Chow Kit. Pasar Sentul ada jugak cuma kami lebih suka ke Selayang sebab lebih besar dan selesa. Pernah jugak kami ke pasar sayur dalam bangunan UTC Sentul yang lebih dekat dengan rumah tapi oleh sebab ada banyak lipas berkeliaran, itulah kali pertama dan terakhir aku ke sana. Lipas kat sana pun nampak macam otai, silap-silap hari bulan boleh terbang ke muka tak ke naya!
Pasar Chow Kit sebenarnya tak la jauh sangat, jaraknya kurang dari 5km dari Sentul kalau ikutkan Google Maps. Kalau nak kesini eloklah gerak awal dalam pukul 7pagi supaya dapat cari parking yang lebih dekat. Tak pun naik motor lagi senang. Memandangkan kami gerak pukul 8 pagi, kami decide untuk naik motor je.
Suasana dalam Pasar Chow Kit |
Bahagian ayam |
Daging segar dengan kepala lembu sebagai bukti agaknya |
Sebenarnya aku nak ambik lebih banyak gambar tapi disebabkan keadaan yang sangat sesak dan berhimpit-himpit jadi aku cuma ambik gambar di bahagian-bahagian yang kurang sesak.
Sempatlah kami singgah di gerai buah-buahan membeli anggur kesukaan anak-anak, rambutan, nangka dan jagung. Kemudian membeli beberapa sayur-sayuran, 2 jenis ikan, udang dan daging segar. Ikutkan hati nak beli ayam jugak tapi Suami Terchenta kata beg yang dibawa dah terlalu berat takut tak muat pulak atas motor. Lagipun daging ayam ada lagi dalam freezer di rumah, jadi aku batalkan hasrat membeli ayam.
Itulah perangai kaum isteri bila diajak ke pasar, memang rambang mata. Nampak ikan kembung, dah terbayang nak masak ikan kembung goreng masak asam ini. Nampak udang dah berangan-angan nak buat udang masak kunyit. Nampak daging terus plan nak buat sup daging. Nasib baik Suami Terchenta ingatkan aku yang kami naik motor je ke pasar, kalau naik Exora agaknya jadi boros berbelanja! Hehe.