Braised shiitake mushroom chicken yang sedap dan mudah disediakan

 
Siapa suka sangat makan claypot rice, angkat tangan! 🙋🏻‍♀️

Tapi hari ni sebenarnya aku tak kongsi resipi claypot chicken rice tapi resipi braised shiitake mushroom chicken yang aku nampak kat IG reel. Resipi ni dikongsi oleh Kelly Cooks dan since aku tertarik dengan bahan-bahannya yang ringkas, aku pun cuba buat jugak. Resipi ni sebenarnya boleh digunakan jugak untuk buat claypot chicken rice. Masa zaman aku belajar di universiti dulu, aku pernah bekerja sambilan di gerai menjual masakan claypot dekat food court Jusco (sekarang AEON) Taman Universiti untuk menampung perbelanjaan hidup masa tu. Sebab tu bila aku cuba resipi ni rasanya mengingatkan aku dengan chicken rice claypot tu. Hujung ni aku kongsi cara nak jadikan hidangan ni sebagai claypot chicken rice.


braised shiitake mushroom chicken
Bahan-bahan asasnya cuma halia, bawang merah, ayam yang dipotong kecik dan cendawan shiitake

braised shiitake mushroom chicken
Lepas potong dan basuh ayam, perap dengan sos tiram, kicap cair, kicap pekat, minyak bijan, tepung jagung, sedikit air dan garam (aku tak letak garam sebab sos tiram dan kicap-kicap tu pun dah masin) sekurang-kurangnya setengah jam

sayur kobis tumis
Dah siap, makan dengan sayur kobis tumis

Braised Shiitake Mushroom Chicken

Bahan-bahan tumis:
  • 1 inci halia diricih (julienne cut)
  • 3-4 ulas bawang merah dihiris bulat
  • Sedikit minyak untuk menumis
Bahan perapan ayam:
  • 500gram ayam yang dipotong kecil
  • 6 keping cendawan shiitake (kalau guna yang kering, rendamkan dulu dalam air sampai lembut, kemudian potong 4)
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar kicap cair
  • 1 sudu besar kicap pekat
  • 1 sudu besar minyak bijan
  • 1 sudu besar tepung jagung
  • 1/2 cawan air
  • 1/2 sudu teh garam
Cara-cara:
  1. Gaul rata semua bahan perapan dalam satu mangkuk besar dan perap selama 1/2 jam.
  2. Menggunakan periuk berpenutup, panaskan sedikit minyak dan tumis bawang merah dan halia sehingga wangi dan kelihatan garing.
  3. Masukkan bahan perapan ayam dan gaul rata dengan bahan tumisan. Biarkan ianya mendidih sekejap.
  4. Tutup periuk dengan penutupnya dan renehkan dengan api kecil selama 20 minit.
  5. Hias dengan taburan hirisan daun bawang. Sedia untuk dihidang.

Untuk buat claypot chicken rice pulak, masak nasi dalam periuk tanah liat sampai air kering, lepas tu gunakan senduk untuk tuang ayam, cendawan shiitake dengan kuahnya sekali ke atas nasi dan biarkan sampai nasi masak. Confirm rasanya sama dengan claypot chicken rice kat food court 🤌🏻.