KLMJ - Pengalaman Jadi Wakil Sekolah Pertandingan Bercerita Kisah-kisah Nabi

Masa aku mengemas kabinet buku, aku terjumpa 'harta-karun' yang membawa aku mengimbau kenangan lama di bangku sekolah rendah dulu.

Waktu aku darjah 6, Ustaz Nasir pilih aku dan kawan baik aku, R mewakili sekolah dalam pertandingan bercerita kisah-kisah Nabi. Setiap petang aku dan R (dia wakil untuk kategori pelajar lelaki) kena berlatih menghafal dan bercerita depan ustaz. Ustaz akan semak intonasi, bacaan ayat-ayat Quran dan timing kiteorang bercerita. Bila tiba hari pertandingan bercerita antara sekolah-sekolah bahagian Bintulu, eh tak sangka pulak kiteorang menang 🤭. Secara automatik, kiteorang pun terpilih ke peringkat seterusnya di Bekenu (menang lagi), kemudian antara daerah Bintulu dan Miri di SM Agama Miri (menang jugak). Memang banyak pusingan sebab Sarawak besar dan ada banyak bahagian dan daerah yang terbahagi kepada 3 zon masa tu. 

Disebabkan aku kena travel untuk mengikuti pertandingan di luar daerah, beberapa kali jugak la aku 'ponteng' sekolah. Dah la tahun tu kena menduduki UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah), cikgu kelas risau aku tak boleh catch up dengan pelajaran. Jadi walaupun aku sibuk bertanding, aku tetap kena mengangkut buku sekolah ke mana-mana dan buat kerja rumah dan latihan yang cikgu bagi.


pertandingan bercerita kisah-kisah Nabi
Teks cerita yang ustaz sediakan. Setiap kali pertandingan, kiteorang kena hafal 3 buah cerita sebab tak tau kisah mana yang akan dapat masa cabut undi tajuk cerita yang akan disampaikan. Atas teks tu ustaz conteng masa yang kiteorang ambik untuk habiskan cerita; tak boleh cepat dan tak boleh lambat sangat sebab ada had masa.

Setiap kali pertandingan, aku dan R bersaing siapa yang akan menang. Alhamdulillah kiteorang menang dan mara ke peringkat antara daerah zon 3 di Lawas, Sarawak. Perjalanan ke Lawas memakan masa yang agak lama dalam 7 jam yang mana kiteorang kena naik kereta dan feri, melalui sempadan Brunei (tapi aku tak ingat camane boleh masuk Brunei tanpa passport masa tu, mungkin ada pelepasan khas kot 😅). dan akhir sekali naik bot ekspres ke sekolah tempat kiteorang bertanding di Lawas. Beberapa kali aku dan kawan aku termuntah dalam kereta sebab jalan raya masa tu tak bagus sangat dan ambik masa berjam-jam nak sampai ke destinasi.


pertandingan bercerita kisah-kisah Nabi
Setiap kali menang, dapat wang saguhati. Paling banyak RM300 bila aku menang peringkat negeri, satu jumlah yang agak banyak bagi aku masa tu 😄

Alhamdulillah, berbaloi jugak melalui perjalanan yang 'azab' tu sebab kiteorang menang sekali lagi dan mara ke peringkat negeri mewakili zon 3. Tapi bila sampai ke peringkat negeri, R tewas dengan wakil dari Kuching (zon 1) 🥲. Sedih giler masa tu walaupun aku muncul johan dan terpilih jadi wakil negeri ke peringkat kebangsaan di Terengganu. Takde lagilah kawan yang akan sama-sama berlatih bercerita dengan aku. 


pertandingan bercerita kisah-kisah Nabi
Surat dari Guru Besar kepada parents aku memaklumkan itinerari perjalanan aku ke Terengganu. Zaman tu tiket kapal terbang mahal dalam RM2k seorang kot, tu setakat dari Bintulu-Kuching-KL. Belum termasuk tiket flight ke Kuala Terengganu 😅

Buat pertama kali dalam hidup, aku kena terbang seorang diri dari Bintulu ke Kuching sebab aku seorang je wakil dari bahagian Bintulu. Yang lain semua dari Kuching dan daerah lain. Aku kena mendaftar masuk sebagai YPTA (young passenger travelling alone). Jadi lepas bapak hantar aku masuk ke balai berlepas, ada pramugari yang dah menunggu aku. Pramugari tu bawak aku masuk ke dalam kapal terbang dan hantar sampai ke tempat duduk. Bila dah landing, pramugari yang sama bawak aku keluar berjumpa ketua kontinjen yang dah menunggu di luar pintu ketibaan. Dari Kuching, barulah aku fly dengan kontinjen Sarawak (terdiri dari kategori sekolah rendah dan sekolah menengah, dengan 2 orang guru pengiring dan pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri) ke KL dan seterusnya ke Kuala Terengganu. Kiteorang bertanding di SMKA Sheikh Abdul Malek (SHAMS) masa tu.

Dekat Terengganu, aku kena berlatih seorang diri sebab Ustaz Nasir tak ikut sama. Kawan baik aku pun tak ikut. Bila naik ke pentas, aku rasa gemuruh sebab takde muka yang aku kenal. Biasanya tengok muka ustaz terus jadi confident 😅. Disebabkan tu, ada beberapa bahagian aku gagap dan terlupa. Nampaknya sampai di situ je la rezeki aku. Peserta yang menang tu memang hebat, siap berseloka dan menyanyi lagi masa bercerita.


pertandingan bercerita kisah-kisah Nabi
Aksi bercerita semasa di atas pentas

Bila dapat tau aku kalah di peringkat kebangsaan, aku rasa kecewa dengan diri-sendiri sebab aku tau bukan mudah Guru Besar nak memohon dana dari Pejabat Pendidikan untuk menghantar aku ke Terengganu. Aku bayangkan Guru Besar dan Ustaz Nasir kecewa bila dengar aku tak dapat sebarang tempat. Tapi sangkaan aku meleset. Dieorang bangga sebab selama ni asyik wakil dari Miri je yang menang peringkat zon 3, dan wakil negeri biasanya dari sekolah-sekolah di Kuching. Tiba-tiba tahun tu, ada seorang wakil dari Bintulu yang berjaya menjadi wakil negeri ke peringkat kebangsaan.

Sebenarnya bermula dari pengalaman ni la aku aktif masuk sebarang pertandingan public speaking - pidato, bersyair, bersajak dan berdebat masa sekolah menengah dan di universiti. Kadang-kadang aku terfikir kalau ustaz tak pilih aku jadi wakil sekolah dalam pertandingan bercerita, adakah aku akan ada keberanian untuk naik ke pentas? Dekat sini ustaz bukan setakat melatih aku bercerita dengan baik, tapi melatih aku jadi berani dan yakin dengan diri-sendiri jugak sebenarnya. Aku pernah kena gelak satu dewan masa pertandingan bersyair sebab pagi tu aku bangun tidur dengan suara serak sebab sakit tekak. Tapi walaupun malu giler, aku teruskan jugak sampai habis. Next pertandingan, aku join lagi 😅. 

Aku bersyukur dan berterima kasih kepada Guru Besar, Cikgu Noromi yang sentiasa menyokong kiteorang dan Ustaz Nasir yang gigih melatih aku dan R sampai kiteorang beberapa kali muncul johan pertandingan bercerita. Allah je yang boleh balas jasa dieorang 🥹. Tak lupa jugak dekat cikgu kelas, Cikgu Siti Masniah yang banyak bagi latihan dan kelas tambahan selepas aku balik dari Terengganu, sebab dia taknak tengok aku gagal UPSR semata-mata sebab aku selalu 'ponteng' sekolah. Hasil dedikasi cikgu-cikgu sekolah rendah aku la, alhamdulillah aku dapat 4A dalam UPSR walaupun banyak tercicir pelajaran dalam kelas selama dua bulan.

Apapun semuanya rezeki dari Allah 😊. Korang ada kenangan manis ke masa di bangku sekolah rendah? Cer share dekat komen.

Post a Comment

0 Comments